Borderlands boleh dikatakan sebagai antara permainan terawal yang membawa genre looter shooter ke industri permainan video, melalui Borderlands yang dikeluarkan pada 2009 dan Borderlands 2 pada tahun 2012. Gearbox kemudiannya mengeluarkan satu lagi permainan iaitu The Pre-Sequel pada tahun 2014 kemudian Borderlands tidak menerima permainan baharu.
Di dalam kekosongan itu, barulah kita mula mendapat permainan-permainan lain yang menggunakan genre ini, iaitu Warframe pada tahun 2013, Destiny pada tahun 2014, The Division pada tahun 2016 dan terbaru Anthem pada awal tahun ini.
Pada 13 September 2019, permainan terbaru Borderlands iaitu Borderlands 3 akhirnya dikeluarkan. Berbeza dengan Borderlands sebelum ini, di mana ia tidak mempunyai sebarang persaingan, Borderlands 3 dikeluarkan untuk mengambil kembali takhta genre ini. Adakah ia berjaya? Ini adalah ulasan saya untuk Borderlands 3.
Cerita
Siri permainan Borderlands mempunyai DNA tersendiri apabila bercakap mengenai penceritaan yang disediakan dan Borderlands 3 mengekalkan DNA tersebut. Bagi pemain yang sudah biasa dengan gaya penceritaan Borderlands, dan menyukainya, anda tidak akan kecewa dengan yang disertakan di dalam permainan ini. Namun, jika anda tidak menyukainya, saya tidak merasakan ia akan mengubah persepsi anda.

Bagi saya yang tidak sangat berpengalaman bermain Borderlands, ini adalah pengalaman pertama saya untuk gaya serta jalan penceritaan Borderlands kerana satu-satunya penceritaan Borderlands yang saya habiskan adalah permainan oleh Telltale Games iaitu Tales from the Borderlands.
Pada pendapat saya, ia mempunyai penceritaan yang lebih baik berbanding dengan permainan-permainan looter shooter yang lain tetapi masih ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan permainan yang menjadikan penceritaan sebagai asas utama seperti RPG ataupun permainan aksi pengembaraan.
Ringkasan yang saya boleh katakan mengenai penceritaan di dalam Borderlands 3 adalah ia mempunyai jalan cerita menarik tetapi ringkas, watak yang pelbagai tetapi mendatar. Gaya penceritaan pula merupakan kelebihan dan juga kekurangan untuk permainan ini.

Borderlands sentiasa menerapkan elemen komedi, tidak kira apa yang berlaku, tidak kira adegan apa ia akan menyelitkan komedi di dalamnya dan bagi saya ia adalah menarik untuk beberapa ketika, tetapi kemudian saya merasa penat dengan jenaka-jenaka yang disediakan dan tidak lagi merasakan ia adalah lawak.
Walaupun ia menjadikan Borderlands, Borderlands tetapi gaya penceritaan ini tidak memberi ruang untuk menjadikan mana-mana watak lebih menyerlah. Ia mempunyai watak yang ‘terang’ tetapi dimalapkan dengan gaya penceritaan yang membuatkan saya tidak mengambil tahu mengenai mana-mana watak. Bagi saya ia adalah satu pembaziran.
Namun ia masih lagi satu pengisian yang baik jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan looter shooter yang lain, dan ia adalah permainan looter shooter yang tidak membuatkan saya berasa keseorangan walaupun bermain secara solo.
Grafik
Seperti penceritaan, Borderlands 3 juga mengekalkan arahan seni seperti mana permainan-permainan Borderlands sebelum ini. Juga seperti penceritaan, jika anda menyukainya sebelum ini, anda akan lebih menyukainya sekarang, jika anda tidak, tidak banyak perubahan yang boleh mengubat perasaan anda mengenainya.

Ia sudah semestinya menyediakan kualiti yang lebih baik berbanding permainan yang dikeluarkan pada bertahun-tahun yang lepas tetapi kerana masih menggunakan arahan seni yang sama, anda akan masih merasa ia adalah Borderlands.
Saya bermain di PC yang menggunakan kad grafik GTX 970 dan menggunakan tetapi campuran Low dan Medium untuk mendapat kadar kelancaran yang stabil 60 bingkai sesaat. Apabila saya mencubanya di HP Omen 15 yang menggunakan kad grafik GTX 1050, dengan tetap Low saya mendapat kadar kelancaran yang stabil setakat 30 bingai sesaat sahaja.
Sepanjang permainan, saya boleh katakan ia mempunyai kestabilan yang baik, hanya di beberapa kawasan sahaja yang kelancaran mungkin naik turun secara mendadak tetapi ia sangat jarang berlaku dan tidak mengganggu pengalaman bermain secara keseluruhan.
Borderlands 3 juga menyediakan banyak kawasan dengan rekaan yang unik, kerana di dalam permainan ini pemain dapat mengembara di beberapa planet berbeza. Setiap kawasan mempunyai keluasan berbeza tetapi secara keseluruhan ia adalah sangat luas, dan akan mengambil masa jika anda ingin pergi ke setiap sudut.
Tiga perkara yang saya boleh katakan masalah yang berterusan adalah tekstur lambat untuk keluar, walaupun saya memasang permainan ini di storan SSD. Apabila memasuki kawasan baharu, ataupun menukar ke senjata berlainan, ia akan mengambil sedikit masa sebelum tekstur dikeluarkan.

Perkara kedua adalah di bahagia menu, di mana ia sangat bermasalah. Apabila anda membuka menu, terutama di bahagian senjata, ia akan mengambil sedikit masa sebelum anda boleh melakukan apa-apa seperti menukar senjata ataupun membuangnya. Oleh disebabkan anda akan membukanya dengan kekerapan yang tinggi, perkara ini sangat menjengkelkan.
Perkara ketiga adalah bagi saya rekaan watak-watak NPC, terutama penjahat tidak mempunyai keunikan yang menjadikan senang untuk dibezakan dengan persekitaran. Ia lebih mengelirukan jika anda bermain bersama rakan, anda tidak boleh membezakan di antara rakan dan penjahat.
Oleh kerana saya hanya mencubanya di PC, tetapi semasa sesi pandang pertama, saya bermain di PlayStation 4 Pro serta berdasarkan laporan media, hanya versi PC sahaja yang mempunyai masalah kestabilan oleh disebabkan itu saya boleh merumuskan ia juga akan mempunyai prestasi yang baik di konsol.
Bentuk Permainan
Sebelum saya menjelaskan lebih lanjut mengenai bentuk permainan yang disediakan oleh Borderlands 3 yang bagi saya merupakan perkara terbaik di dalam permainan ini, saya ingin terlebih dahulu ingin menyatakan sesuatu yang saya sangat kagum dengan Borderlands 3.
Ini adalah permainan looter shooter pertama yang saya main tidak menghasut saya untuk berbelanja wang ringgit bagi mendapatkan barangan ‘kosmetik’ bahkan di dalam permainan ini tidak disediakan langsung tempat untuk saya melakukannya. Jika ada, saya tidak tahu di mana.

Segala barangan yang anda peroleh di dalam permainan ini adalah mesti diperoleh dengan bermain, tiada jalan pintas menggunakan wang ringgit, walaupun ia sepatunya menjadi perkara yang asas tetapi di zaman sekarang ia adalah satu perkara yang harus dipuji.
Berbalik kepada bentuk permainan, seperti saya katakan di atas, ia adalah perkara terbaik di dalam permainan ini dan merupakan kekuatan utama. Pada permulaan permainan anda perlu memilih daripada 4 watak iaitu Zane, Amara, Fl4k dan Moze. Saya menggunakan Amara sepanjang sesi bermain saya, tetapi saya tidak akan terangkan lanjut mengenai setiap watak kerana saya sendiri tidak mencubanya tambahan ia tidak terlalu penting kerana sebab yang saya akan terangkan kemudian.
Perkara asas adalah misi utama dan misi sampingan. Misi utama menggerakkan penceritaan dan misi sampingan perkara-perkara lain yang berlaku di dunia Borderlands.
Misi utama saya habiskan dalam masa 30 jam (kebanyakan sesi permainan adalah secara solo), saya hanya melakukan beberapa misi sampingan sahaja dan selebihnya sekadar memfokuskan misi utama. Saya menasihatkan anda untuk melakukan perkara yang sama, dan meninggalkan misi sampingan kemudian, di mana saya akan terangkan di bahagian Endgame.

Setiap misi akan memerlukan anda bertempur dengan ramai serta pelbagai jenis penjahat, dan ia adalah keseronokan utama permainan ini. Pertempuran yang pantas, dengan serangan hadir dari pelbagai sudut menjadikan setiap sesi pertempuran adalah satu kegilaan yang boleh mengeluarkan endorfin.
Jika anda ingin merasa perasaan seperti adiwira Borderlands 3 akan memberikan anda ‘rush’ tersebut. Anda akan bergerak dengan pantas, dari satu tempat ke tempat lain untuk mengelak daripada penjahat dan pada masa yang sama menembak menggunakan senjata anda. Ia menjadikan pertempuran sangat mengujakan walaupun sudah bermain lebih 30 jam.
Selain penjahat yang berbeza, anda juga akan mendapat senjata yang pelbagai jenis. Anda mempunyai 6 jenis, iaitu pistol, rifle, sub-machine gun, sniper rifle, shotgun dan heavy. Setiap satu pula mempunyai pelbagai rekaan serta kebolehan yang berbeza.
Menurut Gearbox, terdapat lebih satu bilion senjata berbeza di dalam Borderlands 3, walaupun saya tidak mendapat kesemua satu bilion tersebut, tetapi saya boleh katakan permainan ini tidak kedekut dalam memberikan senjata dari semasa ke semasa.
Saya boleh katakan yang senjata paling lama saya guna adalah satu-dua misi sahaja sebelum bertukar ke senjata yang lebih baik ataupun yang mempunyai kebolehan yang lebih unik. Di dalam permainan ini agak mustahil untuk anda mempunyai senjata ‘kegemaran’.

Selain senjata terdapat juga kuasa bergantung kepada watak yang anda guna di dalam permainan ini. Namun, selepas menghabiskan permainan ini sekurang-kurangnya untuk penceritaan, saya boleh katakan kuasa yang disediakan tidak sangat memain peranan yang penting kerana 90% pertempuran berlaku menggunakan senjata.
Setiap watak mempunyai pokok kebolehan tersendiri, yang menjadikan watak anda sedikit berbeza tetapi bagi saya ia tidak segalanya mengenai permainan ini. Jadi saya merasakan anda tidak akan meluangkan masa yang lama untuk memikirkan kebolehan yang ingin dipilih.
Selain misi utama dan misi sampingan, terdapat juga pelbagai aktiviti lain untuk anda meluangkan masa. Antaranya mencari audio log Typhon Logs ataupun mencari barangan untuk Claptrap. Seperti misi sampingan, saya juga mengesyorkan anda untuk menyimpan aktiviti-aktiviti ini pada bahagian endgame.

Satu kekurangan utama untuk bentuk permainan adalah rekaan pertempuran akhir ataupun boss fight. Bagi saya boss fight harus membuatkan anda keluar daripada keselesaan bermain dengan kata lain anda harus melakukan cara yang berbeza untuk mengalahkan boss tersebut berbanding anda melawan penjahat-penjahat biasa.
Namun, di dalam Borderlands 3 saya tidak merasakan sebarang perbezaan sebaliknya boss adalah sekadar mempunyai ketahanan yang lebih tinggi, menjadikan setiap pertempuran boss rasa terlalu bosan dan mengambil masa terlalu lama.
Anda akan menemui banyak boss, tetapi tiada satupun yang akan membuatkan anda merasa ‘wow’ sebaliknya selepas mengalahkan boss tersebut akan mengeluh ‘bosannya’.
Endgame
Terdapat dua mod berbeza untuk Endgame di dalam Borderlands 3 iaitu mod True Vault Hunter dan mod Mayhem. True Vault Hunter boleh dikatakan sebagai New Game+ di mana anda akan memulakan semula permainan Borderlands 3 tetapi mengekalkan senjata, mod dan tahap watak anda ia juga menjadikan tahap kesukaran lebih tinggi. Ia adalah mod khusus untuk anda yang merasakan misi-misi utama terlalu mudah dah inginkan lebih cabaran. Ia juga boleh digunakan untuk meningkatkan tahap anda dengan lebih cepat.

Seterusnya adalah Mayhem mod, dan bagi saya mod ini lebih menarik jika anda ingin meluangkan sedikit masa lagi bermain tetapi tidak ingin bermula daripada awal. Mod ini mempunyai tiga tahap di mana setiap tahap akan menjadikan sesi permainan anda lebih sukar, namun ia akan memberikan loot yang lebih baik serta pengalaman yang lebih banyak.
Mod ini juga merupakan sebab saya sebelum ini mengatakan anda perlu menyimpan misi serta aktiviti sampingan kerana anda boleh melakukan segala misi dan aktiviti tersebut dengan menggunakan mod Mayhem tersebut. Ia akan memberikan lebih cabaran serta memberi sebab yang lebih baik untuk anda melakukan segala kandungan yang disediakan di dalam permainan ini.
Jika anda inginkan satu sesi permainan yang Endgame sebenar, anda boleh melalukan True Vault Hunter kemudian menggunakan Mayhem selepas menyelesaikan mod tersebut. Ia menjadikan tahap kesukaran berlipat ganda.
Selain itu, terdapat juga dua aktivi baharu iaitu Circle of Slaughter dan Proving Grounds. Circle of Slaughter akan memerlukan anda untuk bertempur dengan pelbagai ombak penjahat. Satu sesi mungkin ada 5 pusingan dan setiap pusingan akan mempunyai 3-6 jumlah ombak berbeza.
Manakala Proving Grounds adalah ‘dungeon’ yang boleh dicari oleh pemain dengan menggunakan Eridian Analyzer yang diperoleh oleh pemain pada pengakhiran permainan. Secara keseluruhan terdapat 6 Proving Grounds yang boleh dicari oleh pemain, tetapi Gearbox menjanjikan lebih banyak dari masa ke semasa.

Selepas anda menghabiskan permainan, satu tahap baharu akan hadir iaitu Guardian Rank. Ia adalah tahap yang tidak mempunyai had, ia adalah untuk memberi alasan kepada pemain untuk terus meningkatkan tahap walaupun sudah mencapai tahap maksimum watak iaitu tahap 50.
Guardian Rank akan meningkat sepertimana tahap biasa, dan setiap kali tahap meningkat anda akan mendapat Gurdian Token untuk digunakan bagi meningkatkan kebolehan watak anda. Ia adalah satu sistem yang baik untuk menjadikan watak anda sehebat yang mungkin.
Bagi saya walaupun Endgame untuk Borderlands 3 adalah ringkas tetapi sudah mencukupi terutama jika anda sangat menyukai bentuk permainan yang disediakan. Ia memberi alasan untuk anda terus mencari senjata terhebat dan menguji kebolehan anda sendiri.
Mod Multi-Pemain
Borderlands 3 ataupun mana-mana Borderlands adalah permainan looter shooter yang kita tidak boleh labelkan sebagai “lebih seronok bermain bersama rakan” seperti mana permainan looter shooter yang lain. Ia adalah permainan yang cukup baik bermain secara solo, tetapi multi-pemain akan memberikan pengalaman yang lebih berbeza.

Terdapat dua mod berbeza untuk sesi multi-pemain iaitu Cooperation dan Coopetition. Cooperation adalah mod baharu untuk multi-pemain di mana setiap pemain akan mendapat ganjaran tersendiri, manakala Coopetition adalah mod yang hadir di Borderlands sebelum ini di mana anda perlu berkongsi ganjaran dengan pemain lain di sesi multi-pemain tersebut. Saya tidak pasti jika anda pemain yang menyukai Coopetition tetapi bagi saya Cooperation adalah penambahan yang baik untuk siri permainan Borderlands.
Anda boleh melakukan kesemua misi utama ataupun misi sampingan secara multi-pemain, dengan menjemput rakan anda ataupun secara rawak menggunakan Matchmacking. Jika anda bermain bersama rakan yang sudah mempunyai tahap yang tinggi, penjahat serta ganjaran yang diperoleh masih mengikut tahap anda, ia adalah penting untuk memastikan anda mendapat senjata yang terus boleh digunakan tanpa meningkatkan tahap terlebih dahulu.

Jika anda bermain dengan rakan yang sudah jauh di depan untuk misi utama ataupun misi sampingan dan menyelesaikan misi tersebut, apabila anda kembali bermain secara solo, anda akan diberikan pilihan untuk “fast forward” dan tidak perlu melakukan misi tersebut sekali lagi. Jika anda memilih untuk melakukannya, ganjaran yang diperoleh berkurangan tetapi anda masih mendapat pengalaman semasa bertempur.
Buat masa ini, Borderlands 3 tidak menyertakan mod PvP selain daripada Duel, yang sekadar pertempuran ringkas di antara anda dan rakan anda tanpa menyertakan sebarang ganjaran selain keseronokan. Jika anda mendapatkan Borderlands 3 versi konsol, ia juga menyediakan mod koperasi setempat yang tidak disediakan untuk PC.
Kesimpulan
Akhir kata, Borderlands 3 adalah permainan yang saya boleh syorkan untuk anda dengan mudah. Tidak kira anda biasa dengan permainan looter shooter ataupun tidak. Melainkan jika anda pernah mencuba Borderlands dan tidak sangat menyukainya, saya tidak merasakan yang Borderlands 3 mempunyai kelainan yang besar untuk mencuri minat anda.
Borderlands 3 menyertakan penceritaan walaupun ringkas tetapi lebih baik berbanding permainan yang mempunyai genre sama, grafik walaupun tidaklah sebaik permainan yang lebih realistik tetapi mempunyai tarikan tersendiri, bentuk permainan yang pantas dan ganjaran ataupun loot yang banyak menjadikan sesi bermain yang sangat baik. Endgame yang menarik serta tidak terlalu memerlukan multi-pemain untuk menjadikan ia seronok membuktikan Borderlands 3 yang memulakan genre ini masih lagi terbaik walaupun sudah mempunyai banyak pencabar daripada pelbagai pembangun.
Ini ditambah lagi walaupun ketika industri yang menjadikan pembelian di dalam permainan, kotak tikam sesuatu yang biasa, Gearbox Software tidak merosakkan permainan ini dengan meletaknya di dalam permainan ini. Oleh disebabkan itu, saya boleh katakan Borderlands 3 adalah permainan yang anda akan mempunyai masa yang baik bermain.

Penafian: Kod Ulasan Borderlands 3 disediakan oleh 2K Games iaitu pengedar Borderlands 3 untuk Gearbox Software. Borderlands 3 sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC (secara eksklusif untuk Epic Games Store)