Lanjutan daripada pengumuman Activision berkenaan kandungan baharu buat acara Grand Prix bagi permainan perlumbaan Crash Team Racing Nitro-Fueled semalam, Activision kini akhirnya mengumumkan secara rasmi yang mana acara pertama daripada tiga acara tersebut iaitu Spooky Grand Prix akan berlangsung bermula hujung minggu ini.
Menurut Activision, Spooky Grand Prix bakal bermula 4 Oktober sehingga 3 November 2019 ini yang mana ianya menyertakan pelbagai kandungan dan tema seram berdasarkan bulan Halloween.
Seperti biasa, acara ini akan dilancarkan secara percuma di semua platform permainan tersebut iaitu di Playstation 4, Xbox One dan Switch yang mana pemain hanya perlu memuat-turun kemaskini terkini untuk mendapat akses acara ini.
Melaluinya, Activision mengumumkan yang mana mereka akan membawa beberapa watak baharu seperti Nino Corterx, Dr. N. Biro dan Komodo Moe bersama-sama dengan litar baharu iaitu Nina’s Nightmare. Selain itu, acara ini juga menyertakan pelbagai ganjaran Kart yang pemain boleh dapatkan dengan melengkapkan cabaran-cabaran yang tersedia.
Imej di atas merupakan senarai ganjaran yang pemain boleh dapatkan termasuklah cabaran-cabaran yang pemain perlu lakukan untuk mendapatkan barangan tersebut.
Selain itu, menurut Activision, mereka juga mengemaskini permainan ini dengan beberapa gaya pemanduan yang baharu mengikut tahap kesukaran dan pilihan pemain, sekaligus menyenangkan pemain untuk berlumba dengan mana-mana pilihan watak.
Activision juga menyertakan pelbagai lagi kandungan baharu seperti piala The Lost Cup untuk pemain berlumba dan juga bonus hujung minggu Wumpa berganda bersempena dengan pelancaran acara ini.
Bagi anda yang memiliki permainan Crash Team Racing Nitro-Fueled, pastikan anda bermainnya hujung minggu ini untuk mendapat kesemua kandungan-kandungan yang disertakan.
Crash Team Racing Nitro-Fueled telah pun dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan Switch pada Jun lepas di mana kami sebelum ini juga telah pun membuat ulasan penuh buat permainan tersebut, di mana anda boleh membacanya di pautan di bawah.