Sebelum ini kami ada berkongsi yang mana Skydance Interactive dan Skybound Entertainment akan melancarkan satu permainan realiti-maya berdasarkan siri The Walking Dead.
Terkini, tarikh pelancaran permainan tersebut iaitu The Walking Dead: Saints & Sinners akhirnya diumumkan yang mana ianya disahkan bakal tiba pada 23 Januari 2020 di PC melalui Steam dan Oculus.
Seperti yang dikongsikan oleh kami sebelum ini, The Walking Dead: Saints & Sinners akan memfokuskan lokasi kawasan bandar New Orleans dan pemain perlu mengembara di kawasan tersebut dengan meneruskan hidup dengan bertempur dengan zombi-zombi. Menariknya, berdasar tajuk permainan tersebut, iaitu Saint (Wali) atau Sinner (Pendosa), pemain berupaya untuk membuat pilihan yang baik ataupun buruk untuk meneruskan hidup dan menggerakkan penceritaan permainan.
Selain itu, pembangun juga mengesahkan bahawa permainan ini mempunyai pelbagai pertempuran yang sangat mendalam antara musuh zombi dan juga manusia untuk meneruskan hidup.
Berdasarkan video acah yang diperlihatkan, permainan ini sememangnya kelihatan sangat menarik dan visualnya mengingatkan kami seakan permainan The Walking Dead dari Telltale. Seperti biasa, akan kami kongsikan sebarang informasi lanjut berkenaannya setelah ia diumumkan kelak.