Salah satu permainan kesukaan kami di Apple Arcade kini akhirnya tiba di PC iaitu What The Golf? yang mana ianya merupakan permainan parodi simulasi sukan golf yang agak pelik dengan bentuk permainan yang sangat melucukan.
What The Golf? merupakan permainan parodi simulasi golf yang mana tidak seperti sukan golf betul, permainan ini menyertakan sebilangan bentuk pukulan golf yang berbeza seperti memukul pemukul golf itu sendiri, ataupun mengawal kenderaan untuk ke lubang golf.
Namun, menariknya pemain tidaklah perlu memukul ‘bola’ golf tersebut ke lubang golf, namun perlu hanya berada berdekatan di bendera golf sahaja untuk melengkapkan peringkat permainan tersebut. Permainan ini juga menyertakan pelbagai peringkat permainan yang pemain boleh mainkan.
Bagi anda yang berminat, ianya kini boleh dibeli di Epic Games Store dengan harga hanya $9.99(~RM42). Manakala bagi anda yang ingin bermainnya di peranti iPhone, ianya disertakan secara bersama buat langganan Apple Arcade yang hanya berharga RM19.90 sebulan.
Menariknya, Triband juga mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan permainan ini di konsol Switch sekitar tahun ini.