SCRYSoft dan Mixed Realms minggu ini mengumumkan yang mana mereka akhirnya akan membawa permainan realiti-maya Sairento VR ke pasaran Malaysia bermula 22 Oktober 2019 di konsol Playstation 4 melalui Playstation VR.
Sairento VR dibangunkan oleh Mixed Realms, iaitu pembangun dari Singapura yang mana ianya sebelum ini telah pun dilancarkan di rantau lain dan ianya mendapat pelbagai pujian oleh pemain dengan bentuk permainannya yang menarik dan beraksi.
Menurut Mixed Realms, mereka akan melancarkan permainan ini secara digital dan fizikal, yang mana versi fizikal akan menyertakan bekas besi khas buat edisi hari pertama buat pasaran Malaysia yang mana pemain boleh dapatkannya melalui pengedar-pengedar rasmi permainan tersebut dengan harga bermula RM169 sahaja.

Sairento VR merupakan permainan realiti-maya yang memfokuskan pemain berada era siber Jepun, dengan pelbagai jenis senjata yang pemain boleh gunakan seperti pedang katana, senjata api, panah dan sebagainya. Selain itu, pemain juga berupaya untuk mempelajari kemahiran-kemahiran dan tingkatkan kuasa watak pemain.
Dengan elemen Ninja dan Samurai, pemain juga akan bertempur dengan pelbagai jenis musuh dengan sebilangan kemahiran seperti keupayaan untuk melompat sebanyak 3 kali, gelongsor dan memperlahankan masa untuk memudahkan sesi pertempuran.
Menariknya juga, permainan ini akan menyertakan mod koperasi sebanyak dua pemain serentak yang mana pemain boleh bekerjasama untuk menumpaskan musuh secara atas-talian.
Bersempena dengan pengumuman ini, Mixed Realsm juga berkongsi satu video khas yang memperlihatkan bentuk permainan Sairento VR dengan lebih terperinci seperti keupayaan pemain untuk bertempur dengan menggunakan senjata panah.
Melaluinya, pemain bukan sahaja berupaya untuk melompat dengan lebih tinggi, malah berupaya untuk memperlahankan masa untuk menyasar ke arah musuh dengan lebih senang. Pemain juga akan diberi pelbagai jenis anak panah yang berbeza seperti anak panah yang akan meletup apabila ianya dipanahkan ke arah musuh.
Video seterusnya pula memperlihatkan senjata Glaive yang mana ianya adalah satu senjata jarak dekat dengan keupayaan untuk dibalingkan ke arah musuh.
Semestinya dengan senjata ini, ianya mengingatkan kami seakan seorang Ninja dan pasti dengan bentuk realiti-maya, permainan ini pasti akan membawa bentuk simulasi pertempuran seorang ninja yang sangat menarik sekali.
Memandangkan permainan ini adalah permainan khas secara realiti-maya, semestinya permainan ini memerlukan pemain untuk memiliki set realiti-maya Playstation VR bersama-sama dengan Playstation Camera. Selain itu, permainan ini juga menggunakan alat kawalan Playstation Move, untuk dimainkan.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan permainan ini, pastikan anda boleh membelinya melalui PSN Store bagi versi digital ataupun versi fizikal melalui pengedar rasmi permainan ini bermula 22 Oktober kelak.