Pada bulan Januari tahun ini, terdapat satu video acah mengenai satu filem DC baharu. Filem ini adalah Birds of Prey (and the Fantabulous Emancipation of one Harley Quinn). Ya, nama filem ini agak panjang dan agak “gila” seperti mana Harley Quinn itu seorang yang tidak waras. Filem ini akan memfokuskan sepenuhnya kepada watak Harley Quinn, bersama dengan beberapa adiwirawati dan juga penjahat DC lain yang terkenal.
Baru-baru ini video acah baharu telah diterbitkan lagi. Kali ini, jalan cerita adalah lebih jelas berserta dengan sinopsis yang terdapat di arena web. Filem ini adalah kisah Harley Quinn yang baru berpisah dengan Joker. Harley dalam video menyatakan yang “fungsi” seorang Harley Quinn adalah untuk “melayan” seseorang. Jadi, dengan perpisahan dengan Joker ini – beliau mula teruskan hidup (move on) dan sertai Black Canary, Huntress dan Renee Montoya sebagai pasukan adiwirati.

Pasukan Harley Quinn ini akan bertempur dengan pasukan Black Mask dan Victor Zsasz, iaitu seorang ketua mafian dan pembunuh “gila”. Misi utama mereka adalah menyelamatkan seseorang (mungkin Cassandra Cain) dari penjahat-penjahat ini. Filem ini dilihat berlaku (mungkin) selepas Suicide Squad 2016. Filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada Februari 2020, sama-sama kita nantikan.