Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan Astral Chain – Permainan Beraksi Terbaik Oleh Platinum Games Namun Di Konsol Yang Salah

Ulasan Astral Chain – Permainan Beraksi Terbaik Oleh Platinum Games Namun Di Konsol Yang Salah

Diterbitkan pada Okt 10, 2019 oleh .

Platinum Games sememangnya terkenal sebagai pembangun siri permainan beraksi yang sangat baik sekali di mana salah satu permainan keluaran mereka merupakan permainan aksi kesukaan saya sendiri seperti NieR: Automata dan Metal Gear Rising: Revengence yang dilancarkan beberapa tahun lepas.

Terkini, mereka meneruskan legasi permainan beraksi seterusnya dengan permainan Astral Chain di mana ianya dilancarkan pada 30 Ogos 2019 lepas secara eksklusif di Switch.

Sebagai seorang penggemar permainan keluaran Platinum Games, boleh dikatakan ini merupakan permainan terbaik oleh mereka dan ia adalah seakan satu bentuk kompilasi untuk keseluruhan permainan-permainan Platinum Games. Untuk mengetahui kenapa saya bercakap sedemikian, anda boleh membaca ulasan saya di bawah.

Cerita

Sekilas pandang, boleh katakan penceritaan Astral Chain agak ringkas, bahkan saya boleh simpulkan ianya adalah penceritaan yang sering kita lihat di antara anime-anime dengan genre yang sama di mana anda akan bermain sebagai seorang polis dan perlu menumpaskan satu kuasa penjahat yang cuba menakluk dunia. Saya perlu akui, permulaan permainan ini memaparkan beberapa adegan yang sangat mengasyikkan, dan boleh dikatakan salah satu pendahuluan permainan terbaik yang pernah saya mainkan.

Pada awal permainan, Astral Chain meletakkan pemain untuk memilih bermain sebagai watak lelaki ataupun perempuan yang mana kedua-dua mereka merupakan adik beradik kembar dan pilihan watak tersebut akan meletakkan watak yang tidak di pilih, menjadi penggerak penceritaan utama permainan ini.

Pemain kemudian akan bertugas sebagai seorang ahli polis, di mana pada hari pertama, pemain akan bertembung dengan satu raksasa ataupun penjahat dari dunia lain, yang dipanggil Chimera. Namun, memandangkan pemain seorang ahli polis biasa, pemain akan diselamatkan oleh satu pasukan yang dipanggil Task Force Neuron, di mana mereka berupaya untuk menumpaskan Chimera dengan menggunakan Legion, iaitu Chimera yang ditangkap dan dijinakkan sebagai peneman ahli polis tersebut.

Seperti kebanyakan penceritaan di dalam anime ataupun filem, pemain kemudian akan direkrut ke dalam pasukan tersebut dan mempunyai Legion sendiri untuk membantu pasukan tersebut bertembung dan menumpaskan ancaman Chimera tersebut.

Semestinya permainan ini tidaklah mempunyai sebarang penceritaan yang baharu, malah kebanyakan plot yang tersedia agak klise pada pendapat saya. Namun, sekurang-kurang penceritaan permainan ini tidaklah terlalu besar dan tidak cuba untuk menjadi sesuatu yang terlalu berlainan.

Akan tetapi, perkara yang agak mengecewakan saya adalah permainan ini sememangnya mempunyai ‘umpan’ untuk sekuel yang mana ianya agak menghampakan akibat terdapat beberapa aspek penceritaan yang tergantung. Terdapat juga beberapa aspek penceritaan yang tidak disimpulkan dengan baik yang mana saya berasa pembangun mungkin akan teruskannya melalui sekuel ataupun DLC pernambahan.

Meskipun begitu, semestinya penceritaan Astral Chain agak mendalam dengan pelbagai cerita sebalik yang pemain boleh baca melalui laporan polis dan juga melakukan beberapa misi sampingan. Namun, dari segi aspek penceritaan utama, ianya hanyalah sekadar satu penceritaan permainan yang bertemakan sains fiksyen di dunia moden berteknologi yang sering kita lihat di anime ataupun filem lain.

Grafik

Astral Chain sememangnya satu permainan yang sangat menawan sekali dengan arah seni dan rekaan dunia yang sangat cantik. Dicampur dengan elemen-elemen rekaan moden dan berteknologi, dunia yang terdapat di dalam permainan ini sememangnya diterjemahkan dengan begitu baik sekali.

Tambahan itu, rekaan watak yang dihasilkan oleh Masakazu Katsura juga direka dengan baik sekali yang mana ia masih mengekalkan elemen rekaan watak beliau di samping juga rekaan kostum dan musuh yang terdapat di dalam permainan ini, yang mana saya boleh katakan mempunyai rekaan terbaik di dalam mana-mana rekaan permainan berunsurkan anime.

Bahkan saya sendiri berharap agar Nintendo dan Platinum Games akan mengembangkan siri Astral Chain ini kepada bentuk anime dan saya pasti ia akan mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat.

Saya juga amat menyukai rekaan paparan antara muka permainan ini yang mana ianya sedikit sebanyak mengingatkan saya terhadap elemen rekaan seperti Metal Gear Solid: Peace Walker dengan pelbagai ikon yang ringkas dan tepat untuk dimainkan secara mudah alih.

Namun, bercakap berkenaan mudah-alih, permainan ini pada pendapat saya mempunyai beberapa masalah apabila ianya dimainkan. Saya akui, bermain dengan menggunakan alat kawalan yang lebih besar seperti alat kawalan Pro Controller Switch adalah lebih baik. Tetapi apabila dimainkan secara mudah-alih, alat kawalan JoyCon buat permainan ini semestinya akan memberi pengalaman yang agak kurang selesa, terutamanya untuk mereka yang mempunyai jari yang besar seperti saya.

Akan tetapi, sebab utama yang saya ingin tekankan berkenaan mod permainan semestinya berkenaan prestasi permainan ini yang mana saya dapati apabila bermain melalui TV secara mod dermaga, permainan ini mempunyai beberapa masalah prestasi. Terutamanya ketika bertempur dengan ketua musuh yang mempunyai serangan yang menggunakan sumber kuasa Switch yang tinggi ataupun ketua-ketua musuh yang besar.

Saya juga mempunyai masalah yang sama ketika bermain secara mudah-alih, namun ianya tidaklah terlalu terkesan berbanding bermain secara mod dermaga melalui TV.

Saya sendiri tidak pasti sama ada masalah ini adalah disebabkan konsol Switch saya adalah versi pertama yang dilancarkan oleh Nintendo ataupun disebabkan kad Mikro SD. Namun, prestasi tersebut sememangnya membuatkan pengalaman sesi permainan saya rosak dan sangat sukar apabila bertempur dengan sebilangan ketua musuh yang terdapat di dalam permainan ini.

Oleh sebab itu, seperti tajuk ulasan yang letakkan di atas, saya berasa permainan ini akan lebih menarik dan seronok dimainkan jika ianya dilancarkan di platform lain seperti di PC ataupun di konsol lain. Namun, bercakap berkenaan eksklusif ini bukanlah satu perkara yang ringkas memandangkan penerbitan memainkan peranan penting untuk sesuatu pelancaran permainan dan saya pasti Nintendo telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mempunyai hak eksklusif buat permainan ini.

Meskipun begitu, pendapat saya berkenaannya hanyalah akibat prestasi permainan ini bahkan saya percaya mungkin pada masa akan datang jika Nintendo mengambil keputusan untuk melancarkan konsol Switch yang lebih berkuasa, saya percaya permainan ini akan dimainkan dengan baik sekali.

Audio

Masalah utama apabila permainan oleh pembangun Jepun semestinya masalah pelakon suara latar bagi versi global yang mana ianya sering sekali tidak diterjemahkan dengan baik buat pelakon suara latar bagi bahasa Inggeris.

Semestinya permainan ini mempunyai pelakon suara latar yang bagus untuk sesetengah watak, akan tetapi salah seorang watak utama permainan ini iaitu Yoseph Calvert mempunyai hasil lakonan suara yang sangat teruk sekali, bahkan saya berasa beliau hanya membaca skrip permainan tersebut tanpa sebarang perasaan.

Saya sendiri tidaklah begitu kritikal apabila mengulas permainan berkenaan pelakon suara latar. namun watak beliau tersebut sememangnya salah satu kekecewaan utama buat permainan ini, memandangkan beliau merupakan salah satu watak penting di dalam permainan ini.

Meskipun begitu, bagi anda yang tidak menyukainya, anda masih lagi boleh menukarkan kepada suara latar bahasa Jepun. Tetapi anda mungkin akan hadapi masalah untuk memahami sebilangan dialog permainan apabila watak-watak tersebut mula bercakap ketika pemain bertempur.

Permainan ini tidaklah mempunyai masalah lain dari segi audio di mana muzik latar permainan ini sememangnya pada pendapat saya merupakan muzik latar permainan beraksi yang sangat baik sekali. Semestinya muzik latar permainan ini tidak setanding NieR: Automata, namun pada pendapat saya, Satoshi Igarashi masih lagi melakukan satu muzik yang sangat baik sekali dan tepat dengan elemen dunia moden berteknologi dengan muzik rancak dan techno.

Bahkan, saya sendiri menyukai sebilangan muzik-muzik yang terdapat di dalam permainan ini terutamanya muzik tema yang seakan satu muzik pembukaan anime yang mana sangat mengasyikkan yang anda boleh tonton di atas.

Kawalan

Jika ingin saya terangkan kesemua konsep kawalan permainan buat Astral Chain, saya pasti ianya akan mengambil masa yang sangat lama kerana permainan ini mempunyai elemen bentuk pertempuran yang agak kompleks di campur dengan pelbagai jenis gaya serangan yang berbeza.

Seperti kebanyakan permainan beraksi oleh Platinum Games, Astral Chain sedikit sebanyak mempunyai bentuk yang seakan sama di mana pemain akan bertempur dengan sebilangan musuh dengan menggunakan senjata jarak dekat ataupun jarak jauh.

Permainan ini mempunyai 3 senjata utama untuk pemain gunakan iaitu X-Baton di mana ia berupaya untuk menukar kepada 3 gaya berbeza iaitu Baton biasa, iaitu senjata jarak dekat yang mempunyai kombinasi serangan yang pantas, Gladius iaitu senjata jarak dekat seakan pedang yang besar di mana ia mempunyai bentuk serangan berkuasa namun perlahan. Akhir sekali adalah gaya Blaster, iaitu senjata jarak jauh yang berupaya untuk menembak ke arah musuh.

Ketiga-tiga gaya senjata ini boleh ditukarkan dengan bersahaja dengan menggunakan D-pad di alat kawalan pemain dan pada pendapat saya merupakan satu bentuk yang sangat memuaskan. Mungkin ramai akan beranggapan bahawa 3 jenis gaya senjata ini adalah sedikit jika ingin dibandingkan dengan permainan Platinum Games yang lain, namun pada pendapat saya ianya cukup dan masih lagi mengekalkan elemen bentuk serangan pelbagai dicampur dengan kombinasi pertempuran yang sangat menarik jika pemain bijak memilih jenis gaya senjata ketika bertempur.

Walaubagaimana pun, bentuk pertempuran utama permainan ini semestinya berkaitan dengan Legion, yang mana ianya adalah makhluk Chimera yang dikawal oleh pemain di mana mereka bukan sahaja akan membantu pemain dari segi pertempuran, malah membantu dari segi penerokaan pemain. Menariknya, kawalan tersebut dilakukan melalui tangan kiri watak yang digunakan oleh pemain dengan rantai “Astral Chain” yang mana ianya adalah merupakan nama utama buat permainan ini.

Pada permulaan permainan ini, pemain akan diberi satu sahaja Legion untuk digunakan sebagai Legion utama pemain, namun setelah pertengahan penceritaan permainan ini, pemain akan diberi beberapa Legion tambahan yang pemain boleh gunakan dan menarik sekali, setiap Legion tersebut mempunyai beberapa fungsi yang berbeza.

Setiap Legion mempunyai bentuk pertempuran dan kemahirannya tersendiri, seperti contohnya Sword Legion mempunyai bentuk pertempuran menggunakan pedang. Menariknya, dari segi fungsi tambahan lain, Sword Legion berupaya untuk memotong sesetengah garisan “hubungan” yang terdapat di persekitaran permainan ataupun musuh. Menarik, mod memotong tersebut dilakukan melalui mod seakan “Blade Mode” yang terdapat di dalam permainan Metal Gear Rising: Revengence.

Ini juga mengapa saya katakan di atas yang mana permainan ini mempunyai beberapa bentuk permainan seakan permainan lain oleh Platinum Games. Satu lagi bentuk yang mengingatkan saya berkenaan permainan lain oleh Platinum Games adalah bentuk mengelak yang mana ianya adalah seakan permainan Bayonetta di mana setiap kali pemain berjaya mengelak daripada serangan musuh, pemain diberi peluang untuk melakukan serangan balas.

Selain itu, Legion tersebut juga boleh dikawal secara berasingan dengan menekan butang ZL, dan menggerakkan nya dengan Analog kanan. Ini juga memberi kebebasan buat pemain untuk menggerakkan Legion dan juga melakukan sebilangan bentuk serangan seperti mengelilingi musuh untuk mengikat ataupun menahan serangan musuh dengan rantai “Astral Chain” tersebut.

Konsep ini merupakan salah satu bentuk kesukaan saya sendiri buat permainan ini yang mana ianya sedikit sebanyak mengingatkan saya akan permainan NieR: Automata dimana pemain perlu menekan butang bahu untuk menembak menggunakan Pods. Walaupun di NieR: Automata ianya tidaklah terlalu mendalam seperti permainan Astral Chain, konsep tersebut masih lagi seakan konsep kawalan yang sama pada pendapat saya dan dikembangkan dengan baik sekali.

Selain daripada itu, Legion-Legion yang terdapat di dalam permainan ini juga akan membantu pemain bukan sahaja ketika bertempur, malah ketika pemain meneroka di dalam permainan ini seperti keupayaan untuk bergerak dengan lebih pantas, untuk mengelak beberapa perangkap dan juga paling penting sekali untuk melompat ke beberapa lokasi berbeza.

Lompatan tersebut merupakan aspek yang paling penting di dalam permainan kerana Astral Chain tidak mempunyai butang khas untuk pemain melompat, sekaligus segala bentuk “Platformer” di dalam permainan ini memerlukan pemain untuk menggerakkan Legion tersebut ke lokasi yang pemain inginkan, dan pemain perlu menekan butang ZL dan ZR serentak, untuk melompat ke lokasi tersebut.

Ini pada pendapat saya adalah satu bentuk yang paling teruk buat permainan ini di mana ianya bukan sahaja menghasilkan satu bentuk kawalan yang menyusahkan malah ianya menyebabkan segala bentuk “Platformer” di dalam permainan ini berasa rosak. Ini kerana hampir keseluruhan permainan ini, pemain akan mengembara di dalam satu dunia yang dipanggil Astral Plane di mana melaluinya terdapat pelbagai bentuk “platforming” yang pemain perlu lakukan seperti bergerak dari blok ke blok dengan melompat dan menyelesaikan sebilangan tekaria untuk melengkapkan sesuatu misi.

Satu lagi konsep yang saya tidak menyukai berkenaan permainan ini juga adalah mod IRIS, yang mana ianya adalah seakan mod Detektif yang terdapat di dalam siri permainan Batman Arkham oleh Rocksteady. Melaluinya, pemain perlu mencari sebilangan klu-klu dengan menyelesaikan beberapa persoalan untuk meneruskan ke misi seterusnya. Bentuk ini pada pendapat saya agak remeh dan kebanyakan cara penyelesaiannya agak ringkas, sekaligus memerlukan pemain untuk mencari klu-klu hanyalah satu keadaan yang membuang masa pada pendapat saya.

Permainan ini juga mempunyai beberapa peringkat yang memerlukan pemain untuk menyelinap secara senyap di pangkalan-pangkalan musuh yang mana ianya agak pelik pada pendapat saya kerana permainan ini tidaklah mempunyai sebarang mekanik khas untuk menyelinap. Sekaligus, apabila pemain diberi arahan untuk menyelinap di sebahagian peringkat permainan, ianya berasa agak janggal akibat kawalannya yang agak terhad.

Kesan daripada mod selinap tersebut juga menjadi lebih teruk kerana kamera permainan ini juga sedikit bermasalah terutamanya ketika pemain meneroka kawasan-kawasan bandar ini kerana terdapat beberapa saat di mana kamera diletakkan terlalu dekat ataupun terlekat di beberapa lokasi. Ianya menjadi lebih teruk ketika bertempur sehingga membuatkan sebilangan aksi dan pergerakkan yang dilakukan oleh pemain sukar untuk diperlihatkan.

Walau bagaimana pun, permainan ini sememangnya satu permainan beraksi yang menarik, ianya bukan sahaja mempunyai bentuk permainan yang mendalam dengan pelbagai jenis musuh yang akan pemain tempuhi, tetapi bentuk pergunaan rantai “Astral Chain” di campur dengan pelbagai misi sampingan yang pemain boleh lakukan yang mana pasti akan memberi tempoh masa yang sangat panjang untuk pemain habiskan permainan ini.

Selain daripada itu, permainan ini juga mempunyai pelbagai elemen RPG seperti keupayaan untuk menaik-taraf senjata yang saya cakapkan di atas, dan juga mempelajari kemahiran baharu buat Legion-Legion yang pemain miliki.

Permainan ini juga mempunyai pelbagai lagi bentuk permainan lain seperti mod foto, keupayaan menukar pakaian dan warna kostum pemain. Selain itu, pemain juga berupaya untuk membersih Legion-Legion pemain untuk tingkatkan kuasa mereka.

Menariknya, permainan ini juga menyertakan mod koperasi di mana pemain boleh mainkan secara berkongsi alat kawalan JoyCon di mana seorang pemain akan bermain sebagai watak Polis tersebut dan seorang lagi pemain akan mengawal Legion. Namun mod koperasi ini agak sukar di kawal akibat kamera kawalan permainan ini di kawalkan oleh watak yang mengawal Legion.

Dengan mempelajari kemahiran-kemahiran tersebut, bentuk pertempuran permainan ini juga dikembangkan dengan pelbagai bentuk kombinasi serangan yang sangat mendalam dan pelbagai, yang mana pasti adalah satu permainan beraksi terbaik oleh Platinum Games yang pernah saya mainkan.

Kesimpulan

Astral Chain sememangnya satu permainan yang sangat cantik untuk dilihat dengan pelbagai rekaan watak dan dunia moden yang sangat menawan, ianya berasa seolah satu siri anime “Cyberpunk” yang diterjemahkan dengan baik sekali di dalam dunia permainan video.

Bahkan juga, bentuk pertempuran Astral Chain yang sangat pantas dan beraksi, ianya meningkatkan lagi kualiti permainan yang dihasilkan oleh Platinum Games. Di campur pula dengan pelbagai elemen dari permainan mereka sebelum ini dengan mengembangkan lagi elemen tersebut kepada bentuk kawalan yang lebih kompleks, semestinya ia membuatkan permainan Astral Chain merupakan satu permainan kompilasi beraksi terbaik oleh mereka.

Akan tetapi, akibat beberapa masalah prestasi permainan dan juga beberapa elemen permainan seperti “platforming” yang agak rosak, ianya membuatkan keseluruhan permainan ini terbantut untuk menjadi permainan terbaik untuk tahun ini dengan pelbagai perkara remeh yang pemain perlu lakukan, hanya untuk membuatkan permainan ini berasa lebih panjang.

Meskipun begitu, Platinum Games sememangnya berjaya membawa satu permainan beraksi yang epik dengan bentuk permainan yang mendalam melalui Astral Chain ini di mana kami pasti mereka akan meneruskan siri permainan ini dengan sekuel pada masa akan datang.

Penafian: Permainan Astral Chain disediakan oleh RentOri


TIPS & ULASAN