Sebagai pasukan yang sering ke peringkat akhir untuk setiap Stage bagi pusingan Playoff, San Francisco Shock akhirnya dinobatkan sebagai juara untuk peringkat akhir Overwatch League musim ke-2 selepas mengalahkan Vancouver Titans dengan kiraan 4-0.
Pada peringkat musim biasa, Shock merupakan pasukan di-tempat ke-3 secara keseluruhan dengan rekod 23 kemenangan dan 5 kekalahan. Sebagai pasukan di tempat ke-3, mereka berjumpa dengan pasukan di tempat ke-6 iaitu Atlanta Reign pada pusingan pertama peringkat akhir.
Mereka dikejutkan apabila kalah dengan kiraan 3-4 yang memaksa mereka untuk bermain di pusingan untuk pasukan yang kalah. Namun, kekalahan tersebut tampaknya menjadi satu dorongan untuk mereka apabila mengalahkan kesemua lawan iaitu London Spitfire, Los Angeles Gladiator, Hangzhou Spark, dan New York Excelsior dengan kiraan 4-0 untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir bertemu dengan Titans.
Mengekalkan momentum mereka, Shock terus mengalahkan Titans dengan kiraan sama yang iaitu 4-0 menjadikan mereka juara dan membawa pulang hadiah $1.1 juta (RM4.6 juta).
San Francisco Shock dimiliki oleh NRG Esports dan dianggotai oleh sinatraa, Architect, Striker, Rascal, super, smurf, Nevix, ChoiHyoBin, Viol2t dan Moth.