Skip to main content

Nintendo beberapa minggu lepas telah mengumumkan Ring Fit Adventure iaitu set aksesori baharu untuk Switch yang memfokuskan senaman. Hari ini, Nintendo berkongsi satu trailer baharu yang berkongsi lanjut mengenainya.

Ring Fit Adventure akan menyertakan dua aksesori iaitu Ring-Con dan Leg Strap. Ring-Con boleh digunkan untuk mengawal pergerakan tangan dan juga badan. Ia boleh ditekan dan juga ditarik, satu Joy-con akan diletakkan sebagai penjejak.

Manakala Leg Strap yang akan dipakai di peha berfungsi untuk mengesan pergerakan kaki, ia akan menjadikan pergerakan di luar walaupun secara setempat akan diperlihatkan bagaikan anda berjalan ataupun berlari di dalam Ring Fit Adventure. Ia juga mempunyai mod senyap jika anda tidak ingin mengeratkan kaki terlalu kuat.

Apa yang menarik mengenai Ring Fit Adventure adalah bahagian ‘adventure’ yang disertakan di mana ia menjadikan senaman anda sebagai satu permainan RPG untuk menyelamatkan dunia daripada serangan Drago.

Pemain perlu melalui pelbagai kawasan dan menumpaskan pelbagai penjahat untuk menyelesaikan misi. Pemain akan bergerak dengan berjalan atau berlari secara setempat yang akan dijejak oleh Leg Strap sepertimana saya terangkan di atas. Semasa bergerak, permainan tersebut juga memperlihatkan jumlah kalori yang telah ‘terbakar’.

Pemain akan menggunakan Ring-con untuk melakukan pergerakan tangan, termasuk juga untuk melompat, mengayuh kayak, terbang dan mengelak daripada halangan.

Seperti permainan klasik JRPG, ia juga menyertakan pertempuran rawak dengan pelbagai jenis penjahat, untuk melakukan serangan, pemain boleh memilih pelbagai jenis bentuk senaman untuk melakukan serangan berbeza. Saya boleh katakan ‘squat’ adalah serangan yang kurang digemari oleh pemain. Terdapat lebih 40 serangan atau gaya senaman berbeza yang boleh dilakukan.

Ia akan dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu skill merah yang memfokuskan senaman tangan, skill kuning memfokuskan badan, skill biru memfokuskan kepada kaki dan skill hijau untuk pergerakan yoga. Bagi memastikan pemain melakukan senaman yang seimbang, setiap penjahat mempunyai kelemahan terhadap setiap warna skill.

Jika diserang, pemain boleh menekan Ring-con ke perut sebagai pertahanan. Lagi kuat anda menekan, lagi kurang damage yang diterima kepada watak anda.

Menumpaskan penjahat akan memberikan mata pengalaman kepada pemain, dengan jumlah yang cukup pemain akan meningkatkan tahap untuk menambah tahap serangan dan juga jumlah nyawa termasuk juga menerima skill serangan baharu.

Satu lagi bahagian penting untuk RPG adalah ubatan, permainan ini juga menyertakannya. Sepanjang pengembaraan, pemain akan memperoleh pelbagai bahan seperti buah-buahan yang boleh digunakan untuk menghasilkan minuman. Setiap minuman mempunyai kegunaan yang berbeza seperti menjadi ubat atau menguatkan lagi serangan.

Pemain juga boleh mengembara ke bandar-bandar dan berjumpa dengan pelbagai NPC untuk mendapatkan misi sampingan, selain itu pemain juga boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk juga membeli barangan kosmetik untuk menghias watak pemain.

Mengikut video tersebut lagi, jika anda bermain 30 minit setiap hari, Ring Fit Adventure boleh dimainkan sehingga berbulan sebulan pengembaraan yang disertakan dihabiskan.

Walaupun pengembaraan sudah dihabiskan, terdapat juga pelbagai mod lain untuk dimainkan antaranya adalah Quick Play di mana anda boleh memilih jenis senaman yang ingin dilakukan. Tedapat tiga jenis iaitu Simple, Minigames dan juga Sets.

Mengikut tahap kecergasan sendiri, pemain juga boleh mengubah kesukaran setiap pergerakan akan ia boleh dilakukan dengan baik mengikut pilihan pemain.

Selepas setiap permainan/senama diselesaikan ia akan memperlihatkan maklumat anggaran untuknya, antara yang diperlihatkan adalah jumlah kalori terbakar, jarak berlari/berjalan, pemain juga boleh menggunakan joy-con untuk memeriksa kadar denyutan nadi (ia anggaran sahaja).

Aksesori Ring-Fit juga boleh digunakan sambil melakukan aktiviti lain seperti menonton televisyen dan anda boleh menetapkan Switch anda untuk mengambil kiraan bagi senaman yang dilakukan oleh anda tanpa perlu merujuk ke paparan Switch.

Ring Fit Adventure akan dilancarkan 18 Oktober 2019 ini dengan harga $79.99(~RM334) di mana ianya akan menyertakan permainan Ring Fit Adventure dan 1 set aksesori Ring-Con dan Leg-Strap.

https://www.youtube.com/watch?v=wvHELogbm2E

Leave a Reply