Selain dari pengumuman berkenaan Outbreak Day dengan pelbagai kandungan seperti tema Playstation 4 dan mod multi-pemain yang tidak akan kembali, Naughty Dog dan Sony Interactive Entertainment hari ini juga berkongsi sebilangan informasi lanjut berkenaan permainan The Last Of Us Part II.
Melalui video ini, pengarha permainan tersebut iaitu Neil Druckmann berkongsi informasi seperti penceritaan, bentuk permainan dan sebagainya.
The Last Of Us Part II meletakkan 5 tahun selepas permainan pertama, di mana kali ini Ellie sudah berumur 19 tahun. Kali ini, permainan ini memfokuskan dengan tema balas dendam, di mana sejauh mana anda akan lakukan untuk membalas dendam dan mendapat pengadilan. Selain itu, seperti yang diperlihatkan di video acah sebelum ini, watak Joel juga disahkan akan kembali.
Neil Druckmann meneruskan kenyataan beliau dengan berkongsi lebih lanjut berkenaan demo yang dimainkan oleh media antarabangsa baru-baru ini, di mana demo tersebut bermula Ellie berada di lokasi perkampungan Jackson di Wyoming, Amerika Syarikat yang bersalji.

Pada permulaan tersebut, Ellie akan meronda di kawasan tersebut bersama Dina untuk memastikan ianya selamat. Beliau juga mengesahkan masa di dalam permainan demo tersebut berlangsung sehari selepas video acah di E3 tahun lepas yang mempertontonkan watak Ellie dan Dina di acara perayaan.
Bahagian kedua demo tersebut pula meletakkan jarak masa yang lebih ke hadapan di mana Ellie berada di lokasi Seattle dan beliau akan bertempur dengan sebilangan musuh-musuh.

Menariknya, kali ini dari segi bentuk permainan The Last Of Us Part II, sememangnya Naughty Dog mengembangkan lagi dengan beberapa elemen yang lebih mendalam seperti keupayaan untuk mengelak dan memasuki ruangan yang sempit. Selain itu, pergerakan Ellie juga lebih pantas, sekaligus memberi lebih banyak bentuk pergerakan buat pemain.
Tambahan itu, kali ini The Last Of Us Part II akan menyertakan satu butang khas untuk pemain mengelak serangan musuh di mana ini sekaligus memberi ruangan dan bentuk pertempuran yang lebih mendalam. Selain itu, Ellie juga berupaya untuk meniarap di rumput-rumput yang tinggi untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh dan sebagainya.

Dari segi musuh, pemain juga akan bertembung dengan musuh baharu seperti anjing yang akan mengesan pemain. Selain itu, dari segi musuh baharu yang dijangkiti wabak virus pula adalah Shambler, di mana musuh tersebut berupaya untuk menghembus semburan asid yang berbahaya.
Tambahan itu, Neil Druckmann juga menyatakan musuh manusia kali ini adalah lebih mencabar di mana mereka sering akan berkomunikasi sesama mereka dan pada masa yang sama menghasilkan bentuk sistem kecerdasan buatan yang lebih menyata, sekaligus pasti akan memberi cabaran buat pemain.

Fungsi untuk menghasilkan barangan juga kembali di mana pemain berupaya untuk menghasilkan pelbagai kelengkapan untuk menumpas musuh, mengalih perhatian dan juga pernaik-tarafan senjata termasuklah barangan-barangan menyembuh diri, seperti mana permainan sebelum ini.
Seperti biasa, kami pasti akan mengemaskini sebarang informasi lanjut berkenaan permainan setelah ianya diumumkan kelak.
The Last Of Us Part II akan dilancarkan pada 21 Februari 2020 ini di konsol Playstation 4. Bagi anda yang ingin tahu berkenaan pra-tempahan dan edisi permainan yang akan tiba, anda boleh ke artikel ini.