Kami sebelum ini telah melaporkan yang mana MFL (Malaysia Football League) dan Gamesbond akan membawa kejohanan E-Piala Malaysia FIFA 20 di mana kini mereka akhirnya mengumumkan bahawa kejohanan tersebut bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketika acara persidangan E-Piala Malaysia FIFA 20 yang berlangsung awal hari ini, MFL menyatakan bahawa kejohanan tersebut akan berlangsung bermula minggu ini, bagi pusingan suku akhir pada 26 September ini. Kejohanan tersebut akan diteruskan untuk pusingan separuh akhir pada 17 Oktober kelak dan pusingan akhir akan berlangsung pada 2 November.
Menariknya, pusingan akhir kejohanan tersebut akan ditayangkan sebelum kejohanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. MFL juga mengesahkan kejohanan tersebut akan ditayangkan di secara langsung di Facebook rasmi FLC dan iFlix, bermula esok jam 8 di mana ianya akan diulaskan oleh pengulas profesional Hafiz “Desaifer” Sudin dan Matthews “Matt” Izzac.
Seperti yang dilaporkan oleh kami, kejohanan ini akan menggunakan permainan FIFA 20 yang akan dilancarkan pada 27 September ini di konsol Playstation 4 dengan wang hadiah terkumpul sebanyak RM10,000. Menurut MFL, johan akan membawa pulang wang hadiah sebanyak RM5,000 bersama piala. Kejohanan ini juga disokong oleh BenQ, THermaltake, Seagate, eGG Network dan iFlix.
Menariknya juga, Kevin Ramalingam iaitu ketua pegawai eksekutif MFL menyatakan bahawa kejohanan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang di mana mereka akan membuka lebih banyak pendaftaran buat pemain dari seluruh Malaysia untuk menyertai dengan pusingan kelayakan dan sebagainya. Beliau juga berhasrat dengan rasminya kejohanan ini, Electronic Arts ataupun EA akan berminat untuk membawa pemain bola sepak profesional dari Liga Malaysia untuk permainan FIFA 21 akan datang.

Meskipun begitu, setakat ini kejohanan E-Piala Malaysia adalah terhad kepada pemain jemputan sahaja di mana melalui imej di atas, anda boleh melihat senarai 8 pemain yang akan mewakili pasukan rasmi negeri buat E-Piala Malaysia yang diundi awal hari ini dan ianya terdiri daripada:
- Muhammad Luqman Haziq Bin Hajiman (LuqmanHzq) mewakili pasukan Terengganu FC
- Nur Amirul Bin Afandi (Amtuah) mewakili pasukan Perak FA
- Muhammad Syahril Mispardi (Syahril) mewakili pasukan Pahang FA
- Kathireswaran Sugumaran (Infamous9) mewakili pasukan PKNP FC
- Mirza Mohammad Nabil Beg Bin Mirza Mohammad Taiyab Beg (Bale) mewakili pasukan Melaka United
- Iskandar Mirza Bin Mohd Mustafa (IsMirza) mewakili pasukan Selangor FA
- Ahmad Shahrin Bin Shaharudin (Ayen) mewakili pasukan Kedah FA
- Putera Sufrie Nizam Bin Subardron (Killer) mewakili pasukan JDT FC
Pastikan anda memberi sokongan terhadap pemain pilihan anda bermula esok.