Control merupakan antara permainan aksi terbaik untuk tahun ini, dan mungkin satu perkara yang menjadi penghalang untuk sesetengah pemain daripada membelinya adalah kerana di PC ia dikeluarkan secara eksklusif untuk di Epic Games Store.

Jika anda ingin tahu berapa jumlah Epic Games membayar untuk mendapat hak eksklusif Control, laporan kewangan Digital Bros iaitu syarikat induk untuk 505 Games yang merupakan penerbit permainan tersebut mungkin serba sedikit memberi input untuknya.

Berdasarkan laporan tersebut, Epic Games membayar 505 Games sebanyak 9.49 juta Euro (RM43 juta) untuk mendapat hak eksklusif tersebut. Jumlah tersebut dibahagikan di antara Remedy Entertainment sebagai pembangun mendapat 55% dan 45% untuk 505 Games.

Jumlah tersebut bukanlah bayaran khusus untuk hak eksklusif tersebut, sebaliknya ia adalah bayaran awal untuk jualan di masa hadapan. Dengan kata lain, selagi mana penjualan Control tidak mencapai jumlah tersebut, Epic Games tidak lagi perlu memberi bayaran untuk sebarang pembelian di Epic Games Store bagi permainan tersebut.

Kami tidak pasti apa yang akan berlaku, jika Control tidak mencapai jumlah tersebut, tetapi kami menjangkakan ia akan diambil sebagai kerugian untuk Epic Games. Jika Control telah mencapai jumlah tersebut, sebarang penjualan seterusnya walaupun perlu dibahagikan dengan pembangun masih merupakan satu keuntungan untuk Epic Games Store.

Manakala untuk Remedy dan juga 505 Games, pendapatan yang diberikan oleh Epic Games Store, merupakan satu jaminan pendapatan yang sangat bernilai untuk pembangun permainan video, seperti mana kami terangkan di dalam penulisan sebelum ini.

Apa pendapat anda? Adakah Epic Games membuat keputusan yang tepat dengan jumlah tersebut? Bagi kami, Control adalah permainan yang sangat baik, ia adalah satu bayaran yang setimpal.

Sohor Kini