Apple minggu lepas baru sahaja melancarkan Apple Arcade secara rasmi yang mana ianya adalah langganan khas yang membenarkan pemilik peranti Apple untuk bermain sebilangan permainan video dengan harga langganan bulan yang murah.
Terkini, tampaknya Google juga bakal mencabar langganan tersebut di mana mereka hari ini mengumumkan Google Play Pass, iaitu langganan yang seakan sama dengan Apple Arcade.
Seperti Apple Arcade, Google Play Pass akan mempunyai harga langganan mengikut bulanan di mana ianya akan boleh dilanggan dengan harga serendah $4.99(~RM21) iaitu harga yang sama dengan Apple Arcade. Menariknya, Google juga melancarkan 10 hari percubaan secara percuma dengan 12 bulan pertama dengan langganan serendah $1.99(~RM9) sebulan.
Namun buat masa ini ianya masih lagi terhad di pasaran Amerika Syarikat sahaja. Berdasarkan laman rasmi Google, bagi pelancaran secara global, mereka akan kongsikannya kemudian.

Dari segi permainan video yang bakal tiba buat langganan ini pula, setakat ini terdapat beberapa permua yang disenaraikan oleh Google, termasuklah Stardew Valley, Star Wars: Kotor, Limbo dan sebagainya. Mereka juga menjanjikan lebih dari 350 permua dan aplikasi yang bakal tiba buat langganan tersebut.
Google juga menjanjikan langganan ini akan menyertakan permua yang tidak mempunyai sebarang mikro-transaksi dan pengiklanan di dalam permainan.
Semestinya dengan langganan ini, permainan mudah-alih ataupun permua di peranti telefon pintar semestinya akan menjadi satu tarikan utama buat mereka yang ingin bermain permainan secara mudah-alih. Akan tetapi, memandangkan langganan ini masih belum tiba secara global, semestinya Apple Arcade mempunyai kelebihan atas sebab ianya dilancarkan secara global dengan harga rasmi Ringgit Malaysia.
Seperti biasa kami akan mengemaskini jika terdapat sebarang informasi tambahan oleh Google kelak.