Jika anda adalah seorang peminat siri Persona, anda pasti mengetahui berkenaan permainan Catherine, yang mana ianya dibangunkan oleh pembangun yang sama untuk siri Persona dan juga diarahkan oleh Katsura Hoshino iaitu pengarah untuk permainan Persona 5.

Catherine sebelum ini telah pun dilancarkan pada 2011 lepas di konsol Playstation 3 dan Xbox 360 di mana kemudiannya ia juga tiba di PC melalui Steam. Kini, Atlus dan SEGA membawa semula permainan ini sebagai permainan pernambah-baikkan dengan sebilangan kandungan baharu dengan nama Catherine: Full Body di mana ia tiba di konsol Playstation 4 pada 3 September 2019 lepas.

Melalui permainan pernambah-baikkan ini, Atlus menyertakan sebilangan kandungan baharu untuk permainan ini seperti watak “Catherine” ke-3, mod yang lebih senang dan juga beberapa pengakhiran baharu.

Namun, setelah 8 tahun permainan ini dilancarkan, adakah ianya masih lagi satu permainan yang menarik untuk dimainkan tahun ini? Ini adalah ulasan saya

Cerita

Seperti tajuk ulasan ini, permainan ini sememangnya satu permainan bertemakan “Dewasa” ataupun matang di mana ianya tidak sama sekali bersesuaian untuk pemain bawah umur. Ini kerana, permainan ini memfokuskan elemen kecurangan di dalam hubungan dan beberapa elemen hubungan seks dengan pelbagai wanita. Meskipun begitu, permainan ini tidak langsung memaparkan sebarang adegan-adegan yang terlampau kerana ianya masih lagi menapis jika terdapat watak yang bogel ataupun sebagainya.

Dari segi penceritaan asasnya, permainan ini memfokuskan watak Vincent Brooks, seorang lelaki berumur 32 tahun yang mempunyai teman wanita bernama Katherine. Teman wanita beliau berhasrat untuk mengahwini Vincent, namun secara tidak sengaja, Vincent curang dengan tidur bersama Catherine, iaitu seorang wanita Vincent temui di bar. Untuk versi Full Body ini, Atlus juga menambahkan watak baharu iaitu Qatherine ataupun nama pendeknya Rin, dikejar oleh seorang lelaki dan Vincent menyelamatkan beliau.

Sekaligus, selepas sahaja insiden-insiden yang dihadapi oleh Vincent tersebut, beliau kemudiannya mengalami mimpi ngeri setiap malam yang mana pemain akan bermain sebagai Vincent, dan perlu menyelesaikan tekaria platformer yang memerlukan pemain untuk mengubah blok, dan melarikan diri ke tingkat atas. Ini merupakan elemen permainan utama dan kami akan kongsikanya lebih lanjut di ruangan kawalan permainan.

Sememangnya asas penceritaan permainan ini adalah berkenaan hubungan yang mana ianya sedikit sebanyak bertemakan elemen dewasa kerana ia banyak memfokuskan hubungan seks, arak dan juga beberapa elemen transeksual.

Pada pendapat saya sendiri, permainan ini sememangnya mempunyai penceritaan yang menarik kerana ianya menitik beratkan penceritaan yang sememangnya berkaitan dengan dunia sebenar. Sebagai seorang dewasa sendiri, perkara seperti curang di dalam hubungan percintaan sememangnya satu bentuk penceritaan di dalam permainan yang jarang sekali diperlihatkan di dalam permainan video.

Oleh demikian, permainan ini sememangnya berjaya menterjemahkan elemen “dewasa” tersebut di dalam permainan video dengan baik sekali, yang mana saya sendiri amat teruja dengan plot dan kisah penceritaan permainan ini. Namun, ini tidak bermakna permainan ini sempurna dari segi penceritaan dan ia pasti mempunyai beberapa masalah.

Pertama sekali adalah pilihan dialog dan tindakan watak Vincent yang mana pada pendapat saya agak mendatar. Semestinya permainan ini mempunyai pilihan dialog yang akan memberi kesan terhadap cabang penceritaan ini, namun ianya tidaklah terlalu meluas malah, ianya lebih kepada mempunyai dua pilihan dan pilihan kecil lain seperti membalas teks mesej dan sebagainya.

Semestinya bentuk sebegini bukanlah masalah besar, namun saya berharap sebagai satu permainan yang mempunyai pengakhiran yang berbeza, kebebasan untuk membuat pilihan sepatutnya dibuka dengan lebih mendalam dengan pelbagai cabang yang lebih bebas.

Ini juga mengapa membuatkan watak utama permainan ini iaitu Vincent Brooks agak mengjengkel. Atas sebab terdapat beberapa pilihan yang tidak dapat dilakukan oleh pemain, terdapat beberapa pilihan yang membuatkan watak ini berasa sangat bodoh dan terus membuatkan saya membencinya.

Masalah kedua saya hadapi adalah berkaitan dengan bentuk permainan utama ini iaitu mod tekaria, mimpi ngeri yang terdapat di dalamnya yang mana pada pendapat saya tidak langsung diterjemahkan dengan baik. Pada penghujung permainan ini, ia cuba untuk menerangkan mengapa mod tersebut relevan dengan naratif permainan ini, namun saya sendiri tidak berasa ianya diterjemahkan dengan baik untuk membawa penceritaan permainan ini lebih menarik, malah ianya hanya berasa seolah satu bentuk “mod tambahan” sahaja.

Saya berasa jika pemain tidak langsung bermain peringkat tekaria “mimpi ngeri” tersebut, pemain masih lagi akan memahami penceritaannya dengan hanya menonton adegan-adegan permainan sahaja.

Grafik

Dari segi grafik, saya sendiri pernah bermain versi Playstation 3 beberapa tahun lepas dan melihat versi Playstation 4 ini pada pendapat saya ianya tidaklah mempunyai pernaik-tarafan visual yang besar memandangkan permainan ini sudah pun mempunyai visual yang cantik.

Selain itu, bagi anda yang pernah bermain Persona 5, anda pasti akan melihat beberapa persamaan dari segi visual buat permainan Catherine: Full Body. Ini kerana, permainan ini dibangunkan dengan menggunakan enjin permainan yang sama dengan Persona 5 dan juga dibangunkan sebelum Atlus membangunkan Persona 5.

Dari segi reka antara muka juga, kesemuanya dihasilkan dengan baik dan ianya boleh dikatakan satu permainan dengan rekaan visual yang tepat dengan bertemakan “dewasa” di bandaraya Jepun. Di campur pula dengan rekaan-rekaan watak yang moden, semestinya membuahkan permainan ini lebih “dekat” dengan penonton dan berasa ianya adalah satu siri anime harian yang ditonton oleh pemain.

Meskipun begitu, permainan ini juga banyak menggunakan beberapa elemen adegan Anime dengan adegan lukisan yang mana pada pendapat saya agak pelik akibat ianya sering menukar antara visual anime dan visual 3 dimensi. Sememangnya ianya tidaklah merosak keseluruhan sesi permainan saya, namun akibat beberapa adegan sering menukar antara satu sama lain, ianya agak janggal untuk sesetengah bahagian.

Tambahan itu, adegan anime yang diperlihatkan tidaklah begitu terperinci seperti adegan 3 dimensi, sekaligus membuatkan ianya berasa seakan satu anime harian yang sering saya tonton di Netflix sahaja.

Dari segi masalah lain, pergerakan bibir yang tidak menyegerak untuk permainan keluaran Jepun adalah tidak asing, dan permainan Catherine: Full Body semestinya mempunyai isu yang sama. Walau bagaimana pun, isu ini adalah perkara biasa dan ianya tidaklah menjadi satu masalah besar terhadap saya sendiri.

Audio

Dari segi audio, seperti kebanyakan permainan lain, ianya menyedia pilihan buat pemain untuk memilih suara latar bahasa Inggeris ataupun bahasa Jepun. Saya perlu akui pilihan untuk memilih suara latar merupakan satu aspek yang penting untuk permainan sebegini kerana ianya memberi beberapa gaya yang berbeza setiap kali saya bermainnya.

Ini kerana, memandangkan permainan ini mempunyai beberapa adegan dalam bentuk anime, dengan mendengar suara-suara watak di dalam permainan ini di dalam bahasa Jepun, ia memberi satu pengalaman permainan yang lebih mendalam. Ini juga mungkin disebabkan saya sudah terbiasa dengan melihat adegan anime dengan suara bahasa Jepun.

Akan tetapi, ini tidak bermakna pelakon suara latar bagi bahasa Inggeris adalah teruk, tidak sama sekali. Pelakon suara latar bagi bahasa Inggeris semestinya melakukan lakonan yang sangat baik sekali, terutamanya watak utama Vincent yang dilakonkan oleh pelakon suara latar terkenal, iaitu Troy Baker. Termasuklah juga watak-watak lain seperti Rin, yang mana masih lagi mengekalkan perwatakan yang comel walaupun berbahasa Inggeris. Namun saya sendiri perlu akui, mendengar suara beliau di dalam bahasa Jepun adalah lebih comel dan mencairkan hati.

Meskipun begitu, terdapat juga beberapa masalah bagi pelakon suara latar yang lain, terutamanya watak-watak sampingan yang mana pada pendapat saya agak janggal dari semasa ke semasa.

Dari segi aspek lain, saya juga menyukai muzik-muzik yang tersedia di dalam permainan ini dengan beberapa elemen Jazz, yang sangat tepat dengan tema “matang” yang terdapat di dalam permainan ini. Selain itu, ketika berada di dalam bentuk permainan “mimpi ngeri”, permainan ini juga berjaya memberi muzik yang mengerikan dan memberi saya pengalaman yang sangat mencemaskan setiap kali saya cuba menyusun blok-blok tekaria tersebut.

Kawalan

Apabila bercakap berkenaan kawalan permainan ini, saya ingin mulakan berkenaan bentuk permainan utama permainan ini, iaitu mod tekaria yang dipanggil “mimpi ngeri” di mana pemain akan menghabiskan hampir keseluruhan masa pemain di dalam Catherine: Full Body dengan menyelesaikan blok-blok tekaria tersebut.

Jadi, perkara pertama yang saya ingin katakan adalah tekaria permainan ini sememangnya sangat sukar. Terdapat beberapa peringkat yang mana saya sendiri tidak berjaya untuk menyelesaikannya dan terpaksa melihat jalan penyelesaiannya di Internet.

Meskipun begitu, perkara pertama sekali saya ingin kongsikan, bagaimanakah mod tekaria permainan Catherine: Full Body ini berfungsi? Mod ini hanya dimainkan ketika watak Vincent tidur di mana ianya dipanggil mimpi ngeri buat watak tersebut di mana asasnya, beliau perlu menyusun blok-blok dengan tarik ataupun tolak blok tersebut untuk beliau panjat ke atas. Tujuan utama pemain semestinya untuk melarikan diri dari tenggelam ke dalam dengan mencari pintu keluar yang berada di tingkat atas sekali.

Secara asasnya, ianya agak ringkas dan mudah, namun memandangkan terdapat beberapa aspek had yang pemain perlu hadapi, ianya membuatkan tekaria permainan ini agak sukar. Asasnya adalah pemain tidak boleh melangkau panjatan blok tersebut yang mana pemain hanya berupaya untuk memanjat satu peringkat blok sahaja. Selain itu, pemain juga tidak berupaya untuk bergayut di blok yang tidak mempunyai ruangan untuk pegang.

Ini sekaligus memberi beberapa had buat pemain dan pemain perlu bijak memilih blok mana yang pemain ingin tarik ataupun tolak, untuk menghasilkan satu ‘jalan’ untuk pemain panjat ke atas.

Selain itu, melalui versi pernambah-baikkan ini, Catherine: Full Body juga menyediakan mod tambahan baharu yang dipanggil “Remix Mode” di mana mod ini mempunyai blok-blok yang bercantum, sekaligus jika pemain menggerakkan blok tersebut, pemain akan menggerakkan nilai blok yang lebih banyak, dan sekaligus memberi cabaran yang lebih sukar.

Dari segi aspek pergerakan, pemain berupaya untuk bergerak di atas blok dan juga bergayut di tepi blok, sekaligus itu sahaja aspek pergerakan asas buat permainan ini.

Namun begitu, permainan ini masih lagi menyertakan beberapa barangan sokongan yang pemain boleh guna seperti keupayaan untuk melompat dengan minum minuman tenaga, menyerang musuh-musuh yang menghalang blok-blok di dalam permainan ataupun memanggil blok tambahan di sekeliling pemain untuk memudahkan pemain menarik atau menolak blok. Namun, barangan tersebut adalah terhad dan hanya boleh dipegang dan digunakan sekali sahaja.

Dari segi variasi bentuk permainan, permainan ini juga menyertakan beberapa jenis cabaran lain setelah pemain berjaya menyelesaikan peringkat-peringkat tekaria yang tersedia di mana ianya menyediakan beberapa jenis ataupun bentuk blok berbeza. Contohnya, terdapat blok ais yang mana jika pemain berjalan atasnya, pemain akan terjatuh dan terus gelongsor ke hadapan. Terdapat juga blok yang akan retak dan pecah jika pemain berjalan atasnya berkali-kali. Dengan penyertaan cabaran ini, setiap tindakan pemain untuk mengubah blok-blok tersebut semestinya memberi kesan terhadap cara pemain untuk menyelesaikan tekaria tersebut.

Namun ianya tidaklah begitu menghukum pemain di mana permainna ini masih lagi menyertakan keupayaan untuk “Undo” ataupun ulang semula jika pemain ingin mengubah pilihan gerakan blok yang pemain lakukan. Namun ianya agak terhad dan hanya boleh dilakukan beberapa kali sahaja.

Dari segi peringkat permainan, mod mimpi ngeri tekaria ini menyertakan beberapa peringkat yang pemain perlu lakukan untuk menghabiskan bahagian-bahagian permainan ini yang mana pada pendapat saya agak berulangan. Ini kerana seperti yang saya terangkan di atas, ianya tidak langsung mempunyai kaitan utama yang besar untuk menjadi satu bentuk naratif permainan, bahkan ianya berasa satu bentuk yang menyusahkan untuk permainan ini.

Betul, bentuk tekaria permainan ini agak menarik dan mencabar. Namun, untuk bermainnya berulang kali dan hanya terdapat beberapa perbezaan minima sahaja untuk setiap peringkat, ianya membuatkan bentuk tersebut berasa sangat bosan.

Menariknya juga, permainan ini juga membenarkan pemain untuk menukar tahap kesukaran di mana ianya akan membenarkan pemain untuk menyelesaikan tekaria tersebut secara automatik dan sekaligus ini adalah buat mereka yang hanya ingin melihat penceritaan permainan ini sahaja.

Namun, kesan ini sekaligus membuat sesi permainan ini agak kurang berbaloi dan lebih baik pemain hanya menonton adegan permainan ini di Internet sahaja jika pemain ingin menggunakan tahap kesukaran tersebut dan membenarkan setiap tekaria diselesaikan secara automatik.

Permainan ini juga menyertakan bentuk multi-pemain yang mana pemain boleh bermain secara atas-talian ataupun secara setempat dengan menyelesaikan mod tekaria blok tersebut. Ianya juga menyertakan bentuk secara pertempuran sesama pemain ataupun bentuk koperasi di mana pemain perlu bekerjasama untuk menyelesaikan blok tersebut.

Namun, saya sendiri tidak dapat mencuba secara atas-talian memandangkan saya tidak langsung menjumpai pemain di atas-talian. Apabila mencuba mod ini secara setempat pula, ianya sememangnya agak ringkas dan tidaklah mengubah keseluruhan permainan ini.

Bahkan seperti yang kami kongsikan sebelum ini, mod ini juga membenarkan pemain untuk menggunakan watak-watak DLC seperti watak Joker dari Persona 5. Namun, memandangkan ianya adalah DLC berbayar, saya sendiri tidak membelinya dan agak kecewa ia tidak disertakan secara bersama.

Dari segi aspek bentuk permainan lain, Catherine: Full Body menyertakan bentuk pengembaraan yang ringkas di mana pemain berupaya untuk berinteraksi dengan watak-watak lain di bar, membalas teks mesej di telefon dan beberapa aspek pemilihan dialog yang ringkas.

Asasnya, bentuk ini agak ringkas dan pemain hanya diberi ruangan kebebasan untuk bergerak di dalam bar yang sering Vincent lepak, iaitu Stray Sheep sahaja. Melalui mod ini, pemain juga berupaya untuk mengetahui lebih banyak penceritaan sebalik secara lebih mendalam, namun ianya tidaklah memberi sebarang kesan permainan yang terlalu besar.

Dari segi aspek pilihan dialog, untuk pengakhiran berdasarkan watak Catherine ataupun Katherine, ianya agak jelas. Namun bagi watak Rin, ianya memerlukan pemain untuk melakukan sebilangan pilihan yang agak tersembunyi, namun ianya boleh dilakukan jika pemain mengikut atur cara yang pemain boleh dapatkan di Internet, ataupun seperti saya sendiri, saya hanya menontonnya di Internet sahaja, akibat saya tidak ingin bermain tekaria permainan ini berulang kali.

Meskipun begitu, sekurang-kurang watak Rin yang ditambahkan melalui versi pernambah-baikkan ini menyertakan kandungan yang lebih banyak dan berbaloi terutamanya buat mereka yang telah pun bermain permainan ini sebelum ini.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan adalah permainan ini sememangnya mempunyai bentuk penceritaan yang sangat mendalam di mana ia memfokuskan tema “dewasa” dan isu kecurangan di dalam hubungan percintaan yang jarang sekali di terjemahkan di dalam bentuk permainan video.

Di campur dengan sebilangan watak yang menarik dan pelbagai elemen-elemen transeksual dan pengakhiran berbeza, semestinya permainan ini merupakan satu permainan yang pasti akan menarik minat peminat anime “matang” di luar sana.

Akan tetapi, dari segi aspek bentuk permainan tekaria dan kandungan yang tersedia, ianya berasa seakan satu mod tambahan sahaja yang mana tidak memberi kesan secara menyeluruh buat penceritaan permainan ini dan saya berasa jika pemain tidak langsung bermain mod tekaria tersebut dengan mengambil tahap kesukaran yang senang, pemain hanya akan menerima permainan ini seakan satu bentuk siri anime sahaja.

Walaupun mod tekaria yang terdapat di dalam permainan ini sangat menguji minda, ianya masih lagi agak berulangan dengan hanya beberapa perbezaan sahaja untuk setiap peringkat permainan, sekaligus membuahkan separuh daripada permainan ini agak membosankan.

Walaubagaimana pun, saya perlu beri pujian terhadap Atlus kerana mereka ingin mencuba sesuatu yang baru dan dengan membawa semula permainan ini di konsol Playstation 4 untuk menarik minat lebih banyak pemain yang terlepas ketika ia dilancarkan beberapa tahun lepas.

Penafian: Kod Ulasan Catherine: Full Body disediakan oleh EpicSoft Asia dan ianya boleh dibeli melalui pengedar rasmi EpicSoft

Sohor Kini