Lanjutan daripada pengumuman Epic Games berkenaan acara kolaborasi Fortnite X Batman, kini acara tersebut akhirnya berlangsung secara rasmi melalui permainan Fortnite yang mana ianya menyertakan sebilangan kandungan Batman seperti kostum, senjata dan juga lokasi bandaraya Gotham City.
Menurut Epic Games, acara kolaborasi ini akan berlangsung bermula hari ini sehingga 6 Oktober 2019 ini di mana ianya adalah acara khas bersempena dengan ulang tahun ke-80 buat adiwira Batman.
Melaluinya, Fortnite kini akan menyertakan lokasi bandaraya Gotham City di Rift Zone yang mana pemain berupaya untuk meneroka lokasi tersebut di pulau utama permainan ini. Selain itu, Epic Games juga menyertakan senjata-senjata Batman yang pemain boleh gunakan seperti Grapple Gun Batman dan juga senjata ikonik Batman, iaitu Batarang.

Dari segi kostum pula, pemain boleh dapatkan dua kostum Batman iaitu dari siri komik Batman dan juga kostum Batman dari filem The Dark Knight. Pemain juga boleh dapatkan kostum Catwan, juga melalui kedai di dalam permainan tersebut.
Tambahan itu, bagi anda yang melengkapkan sebilangan cabaran yang tersedia melalui bandaraya Gotham City, anda juga berpeluang untuk mendapatkan beberapa kelengkapan dan semburan khas bertemakan Batman seperti Catwing Glider dan sebagainya.
Bagi anda yang ingin mendapatkan kelengkapan dan kostum bertemakan Batman di dalam permainan Fortnite, pastikan anda bermain Fortnite bermula hari ini.