Ketika acara Tokyo Game Show 2019 yang berlangsung minggu ini, Bandai Namco akhirnya memperlihatkan video acah baharu buat permua Tales Of Crestoria, iaitu permua berdasarkan siri Tales Of. Sebelum ini Bandai Namco mengesahkan yang mana permua tersebut akan dilancarkan secara global di peranti iOS dan juga Android.
Bersempena dengan itu, mereka juga memperlihatkan video acah khas yang memperlihatkan bentuk permainannya dengan lebih lanjut.
Tidak seperti siri Tales Of terkini, bentuk Tales Of Crestoria lebih memfokukan bentuk pertempuran seakan klasik permainan JRPG yang mana pemain akan bertempur secara terututan. Ini sekaligus membenarkan pemain untuk bertempur dengan lebih taktikal dan tidak terlalu beraksi seperti siri Tales Of di konsol.
Selain itu, Tales Of Crestoria juga akan menyertakan beberapa watak dari siri Tales Of lain, disamping mempunyai penceritaannya tersendiri dengan watak tersendiri.
Kami pasti akan mengemaskini setelah Bandai Namco mengumumkan tarikh pelancaran permua tersebut.