Sebelum ini, kami melaporkan yang mana pencipta siri Danganronpa dan Zero Escape iaitu Kazutaka Kodaka dan Kotaro Uchikoshi telah pun menubuh satu studio pembangun permainan baharu iaitu Too Kyo Games. Melaluinya, mereka berkongsi sebilangan permainan seterusnya yang bakal tiba di bawah studio baharu tersebut.

Salah satunya iaitu Death March Club, minggu ini menerima satu video acah baharu sempena Tokyo Game Show 2019 di mana mereka memperlihatkan sebilangan adegan dan bentuk permainan.

Seperti yang anda sedia maklum, permainan-permainan oleh pencipta Danganronpa semestinya akan menyertakan beberapa elemen pembunuhan dan keganasan, dan semestinya ianya dapat diperlihatkan di dalam video ini.

Death March Club bertempatkan pada tahun 1995 yang mana sekumpulan budak sekolah rendah dari kelas “bodoh” menaiki bas ke Kamakura dan secara tiba-tiba sebuah meteorit telah terjatuh ke bumi. Sekaligus, apabila kanak-kanak tersebut terjaga, mereka secara tiba-tiba berada di taman tema bawah air.

Seperti siri Danganronpa, kanak-kanak tersebut kemudiannya dipaksa untuk menyertai permainan pembunuhan yang dipanggil “Assignment Game” dan setiap mereka dipakaikan satu “bangle” gelang tangan yang akan memberi misi pembunuhan buat pemain dan jika cuba untuk melarikan diri, akan disuntik racun melalui gelang tangan tersebut.

Berdasarkan video acah yang diperlihatkan, permainan ini juga mempunyai beberapa elemen pengembaraan secara platformer 2 dimensi yang mana pemain juga perlu menyelesaikan beberapa tekaria.

Buat masa ini, ianya disahkan bakal tiba di PC. Namun, menurut Too Kyo Games, ianya juga akan tiba di konsol. Namun, tarikh rasmi dan senarai konsol masih belum diumumkan.

Sebagai seorang peminat buat siri Danganronpa dan Zero Escape, permainan ini semestinya kelihatan sangat menarik dan kami pasti akan berkongsi informasi lanjut berkenaannya setelah ia diumumkan kelak.

Sohor Kini