Sebelum ini, Bandai Namco berkongsikan yang mana mereka akan melancarkan permainan seterusnya buat siri Tales Of iaitu Tales Of Arise di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.

Terkini bersempena dengan acara Tokyo Game Show 2019, mereka berkongsi satu lagi video acah baharu buat permainan tersebut yang mana ianya bukan sahaja memperlihatkan adegan baharu malah bentuk pertempuran secara rasmi.

Melalui video tersebut, watak Alphen dan Shionne diperlihatkan yang mana seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Alphen tidak akan merasai sebarang kesakitan, sekaligus hanya beliau boleh menggunakan pedang “The Fire Sword”.

Manakala Shionne pula berupaya untuk menggunakan kuasa magis, namun kuasa tersebut akan menggunakan tenaga Astral, iaitu ia seakan tenaga yang terdapat di dalam dunia permainan tersebut.

Menariknya, pada penghujung video tersebut, Bandai Namco juga mengacahkan watak baharu yang mana kelihatan seorang gadis muda yang pengsan ketika menemui Alphen dan Shionne.

Buat masa ini, informasi lain masih belum dikongsikan dan berdasarkan bentuk pertempuran yang diperlihatkan, kelihatan permainan ini nampak sangat menarik sekali untuk dimainkan dan penuh beraksi.

Seperti biasa, kami akan kemaskini sebarang informasi lanjut berkenaannya setelah ia diumumkan kelak.

Sohor Kini