Control merupakan antara permainan aksi terbaik, anda boleh membaca mengapa di ulasan kami untuk permainan ini. Minggu ini, Remedy Entertainment berkongsi penambahan kandungan yang akan disertakan sepanjang tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan.

Kandungan yang akan hadir pada tahun ini adalah, mod foto dan juga mod permainan baharu iaitu Expeditions. Mod foto yang akan hadir sekitar akhir tahun ini, membolehkan pemain mengambil gambar dengan lebih baik.

Manakala mod permainan baharu iaitu Expeditions akan tiba sekitar bulan Disember tahun ini. Ia adalah kandungan selepas anda menghabiskan permainan dan ia akan menyertakan pelbagai cabaran yang lebih sukar.

Kedua-dua mod tersebut akan disertakan melalui kemaskini secara percuma.

Bagi kandungan tambahan berbayar pula, mereka akan menyertakan dua DLC iaitu The Foundation yang akan dikeluarkan sekitar awal tahun 2020 dan AWE sekitar pertengahan tahun 2020. Ia menjanjikan misi, penjahat serta mekanik permainan baharu.

The Foundation akan memfokuskan sejarah Oldest House iaitu bangunan yang menjadi tempat utama permainan ini. Pemain akan mengembara di kawasan baharu dan akan berjumpa dengan pelbagai benda yang lebih aneh.

AWE pula, akan membawa pemain ke bahagian baharu iaitu Investigations Sector di mana mereka akan menyiasat mengenai kejadian aneh yang sedang berlaku di dunia.

Buat masa ini masih tiada pengumuman mengenai harga, Control juga tidak ada menjual pas semusim buat masa ini. Seperti biasa, apabila lebih banyak maklumat dikongsi pada masa kelak, kami akan kemaskini.

Control sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Epic Games Store.

Sohor Kini