Bersempena dengan acara Tokyo Game Show 2019 yang berlangsung minggu ini, Kojima Produtions hari ini akhirnya mempertontonkan video acah buat bentuk permainan Death Stranding yang mana mereka sebelum ini menjanjikan akan terdapat 3 bahagian bentuk permainan yang akan diperlihatkan sepanjang minggu ini.
Acara tersebut dipertayangkan secara langsung melalui pentas Playstation di Tokyo Game Show 2019 yang mana Hideo Kojima sendiri berkognsi informasi lanjut berkenaannya di atas pentas tersebut.
Melalui video acah di atas, adegan pertama yang diperlihatkan adalah watak Sam Porter Bridges sedang memakai kelengkapan dan pakaian beliau untuk memulakan misi beliau ke “barat” di dalam permainan tersebut. Selain itu, watak Deadman juga kelihatan sedang memberi arahan dan penerangan misi kepada Sam.

Seterusnya, bentuk permainan diteruskan tetapan awal misi yang mana pemain boleh tetapkan nilai barangan yang pemain boleh bawa, namun ianya terhad sehingga 120KG sahaja. Akan tetapi, kesan barangan yang banyak juga akan memberi kesan terhadap keseimbangan watak Sam tersebut yang mana pemain juga tampaknya perlu sentiasa mengimbangkan berat pemain ketika berlari dan bergerak.
Selain itu, pemain juga kelihatan berupaya untuk membawa beberapa kelengkapan lain seperti kasut tambahan, tali dan juga tangga untuk membantu pemain bergerak di dalam lokasi permainan tersebut. Menariknya, permainan ini juga menyertakan satu robot kecil yang akan membantu pemain untuk membawa barangan, dan jika pemain ingin bergerak dengan pantas, pemain boleh menggunakan robot kecil tersebut sebagai papan luncur terapung.
Menariknya sekali, seperti yang sering diperkatakan oleh Hideo Kojima, permainan ini akan menyertakan kandungan multi-pemain secara perhubungan antara pemain lain, melalui lokasi-lokasi yang dilawati oleh pemain. Contohnya seperti kelengkapan tangga yang ditinggalkan oleh pemain lain, boleh diakses oleh pemain. Selain itu, pemain juga boleh meninggalkan mesej, memberi “Like” terhadap kesan-kesan permainan lain dan sebagainya.

Selain itu, permainan ini juga mempunyai beberapa elemen pertahanan diri yang mana pemain perlu minum, menukar kasut dan juga rehat sebelum meneruskan perjalanan. Death Stranding juga menyertakan kenderaan motosikal dan beberapa lokasi yang pemain boleh istirehat seperti menyelam di kolam air panas dan sebagainya.
Pemain juga berupaya untuk menyelinap di pangkalan musuh dan mencuri kenderaan, barangan dan juga bertempur sama ada secara senyap ataupun menggunakan senjata api yang tersedia.

Seperti yang anda sedia maklum, permainan ini juga akan menyertakan beberapa “raksasa” yang akan pemain tempuhi dan video tersebut, Hideo Kojima juga memperlihatkan beberapa bentuk pertempuran yang mana pemain boleh membaling bom ataupun menembak dengan senjata api.

Semestinya permainan Death Stranding ini kelihatan sangat menarik sekali dengan kandungan permainan yang sangat pelbagai dari penjagaan bayi BB Pod, sehinggalah penerokaan bandaraya yang sangat meluas. Dicampur pula dengan sistem sosial “atas-talian” yang membenarkan pemain untuk membantu sesama pemain secara tidak langsung, membuatkan permainan ini mungkin menjadi satu lagi permainan terbaik yang bakal dilancarkan tahun ini.
Menurut Hideo Kojima, video seterusnya, mereka akan memfokuskan bentuk aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh pemain-pemain. Semestinya, bahagian seterusnya akan kongsikan menjelang hujung minggu apabila ianya dipertayangkan secara rasmi.
Death Stranding merupakan permainan dunia terbuka oleh Kojima Productions dan ia bakal tiba 8 November 2019 ini di konsol Playstation 4. Bagi anda yang berminat, pra-tempahan sudah pun bermula dan senarai edisi dan harga permainan tersebut boleh dibaca melalui artikel ini.