Sebelum ini, SEGA mengumumkan permainan Yakuza seterusnya iaitu Yakuza 7 yang mana mereka membuat beberapa perubahan dari segi bentuk permainan termasuklah watak baharu.
Terkini, bagi pasaran global, permainan tersebut akhirnya diumumakn secara rasmi dengan nama Yakuza: Like A Dragon dan ianya bakal tiba di konsol Playstation 4 sekitar tahun hadapan.
Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Yakuza: Like A Dragon akan memfokuskan Ichiban Kasuga di mana beliau adalah ahli Yakuza bertaraf rendah dan ingin membuktikan dirinya. Seperti permainan Yakuza sebelum ini, permainan ini akan mempunyai pelbagai penceritaan drama di bandaraya Kamurocho.
Menurut SEGA, bersempena dengan ulang tahun ke-15 buat siri tersebut, mreka juga mengubah keseluruhan permainan tersebut yang mana ianya tidak lagi akan menjadi permainan beraksi dan bentuk pertempuran permainan ini akan memfokuskan bentuk pertarungan secara turutan, seakan permainan klasik JRPG.
Dari segi tarikh pelancaran, versi bahasa Jepun akan dilancarkan pada 16 Januari 2020 ini manakala versi global pula disahkan bakal tiba sekitar tahun yang sama.
Kami pasti akan mengemaskini sebarang informasi lanjut setelah ianya dikongsikan kelak.