Informasi Permainan Video Terkini
Playstation 4 Dengan Rekaan Persona 5 Royal Diumumkan – Hanya Tiba Buat Pasaran Jepun Sahaja

Playstation 4 Dengan Rekaan Persona 5 Royal Diumumkan – Hanya Tiba Buat Pasaran Jepun Sahaja

Diterbitkan pada Sep 12, 2019 oleh .

Dengan pelancaran permainan Persona 5 Royal yang semakin hampir buat pasaran Jepun, Sony dan Atlus hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan konsol Playstation 4 dengan rekaan khas Persona 5 Royal secara terhad.

Melaluinya, terdapat 3 rekaan konsol iaitu Playstation 4 Pro dan dua rekaan hitam dan putih buat Playstation 4 Slim di mana buat masa ini, ianya hanya akan tiba buat pasaran Jepun sahaja bermula 31 Oktober 2019 ini, iaitu bersamaan dengan tarikh pelancaran permainan Persona 5 Royal.

Bagi Playstation 4 Pro, ianya akan menyertakan rekaan khas Persona 5 Royal dengan rekaan berwarna putih yang memaparkan watak-watak Phantom Thieves dari permainan tersebut dan juga alat kawalan Dualshock 4 juga dengan rekaan khas.

Playstation 4 Pro tersebut juga akan disertakan dengan storan 1TB ianya tidak akan menyertakan permainan Persona 5 Royal secara bersama. Dari segi harga, ianya akan dijual pada ¥44,980(~RM1,739).

Bagi konsol Playstation 4 slim pula, Sony juga akan melancarkan dengan pilihan storan 500GB ataupun 1TB dan ianya akan menyertakan dua rekaan berbeza sama ada berwarna putih dengan rekaan Morgana ataupun berwarna hitam dengan rekaan ahli Phantom Thieves. Seperti biasa, Dualshock 4 juga akan menerima rekaan khas bertemakan Persona 5 Royal.

Dari segi harga, bagi Playstation 4 berstorankan 500GB, ianya akan dijaul dengan harga ¥34,980(~RM1,353) manakala bagi 1TB pula adalah ¥39,980(~RM1,546).

Menariknya juga, Sony juga mengumumkan bahawa mereka akn menjual alat kawalan Dualshock 4 dengan rekaan Persona 5 Royal secara berasingan dengan harga ¥7,840(~RM304) dan juga bekas luaran Playstation 4 Slim dengan rekaan Persona tersebut dengan harga ¥4,000(~RM155).

Semestinya buat masa ini ianya adalah terhad buat pasaran Jepun sahaja dan kami pasti akan mengemaskini jika terdapat sebarang informasi lanjut berkenaan pelancarannya secara global.


TIPS & ULASAN