Seperti yang dijanjikan oleh Square-Enix sebelum ini, sempena acara Tokyo Game Show 2019 yang berlangsung minggu ini, mereka akhirnya mempertontonkan video acah baharu buat permainan Final Fantasy VII Remake yang mana ianya menyertakan pelbagai bentuk kandungan permainan dan watak-watak dari syarikat Shinra Electric Power.

Seperti yang diperlihatkan di atas, video acah tersebut memperlihatkan sebilangan adegan-adegan yang bakal tiba buat permainan tersebut bersama-sama dengan watak-watak dari pasukan Turks seperti Reno, Rude dan juga Tseng yang mana pasti akan membuat peminat tidak sabar untuk bermain permainan ini termasuklah saya sendiri.

Selain itu, Square-Enix juga memperlihatkan sebilangan bentuk permainan yang bakal tiba seperti mini-mini permainan yang terdapat di gim dan juga adegan Cloud berlakon menjadi wanita yang sangat terkenal tersebut. Namun dukacitanya adegan tersebut tidak dikongsikan dengan terperinci termasuklah Cloud berpakaian wanita. Meskipun begitu watak Don Corneo akhirnya diperlihatkan secara rasmi.

Selain itu, fungsi panggilan Summons juga dipertontonkan yang mana kelihatan Summons Ifrit dan Shiva diperlihatkan bersama-sama dengan bentuk pertempuran yang sangat pantas. Kelihatan juga, seperti yang dikongsikan oleh Square-Enix sebelum ini, permainan ini tampaknya akan memfokuskan lokasi Midgar, memandangkan keseluruhan video acah tersebut hanya memperlihatkan lokasi tersebut.

Meskipun begitu, sebagai peminat dan pemain Final Fantasy VII, permainan olahan semula ini sememangnya kelihatan sangat menarik sekali dan boleh dikatakan ianya adalah satu olahan yang sangat memberansangkan dengan kandungan baharu yang sangat pelbagai. Kami di Aksiz pasti akan berkongsi sebarang informasi tambahan setelah ianya diumumkan kelak.

Final Fantasy VII Remake akan dilancarkan 3 Mac 2020 ini khas di konsol Playstation 4.

Sohor Kini