Sebelum ini kami melaporkan harga langganan Apple Arcade mungkin akan dilancarkan dengan harga serendah $4.99(~RM21) sebulan dan kini, melalui acara Apple Events yang berlangsung hari ini, Apple akhirnya mengumumkan bahawa harga langganan tersebut adalah tepat.
Bermula dengan RM19.90 sebulan, pelanggan berupaya untuk mengakses lebih dari 100 permainan secara terus di peranti iOS yang mana menariknya, Apple juga menyatakan bahawa mereka akan menyediakan 1 bulan percubaan secara percuma.
Dari segi tarikh pelancarannya, Apple menyatakan ianya bakal dilancarkan bermula 19 September 2019 ini khas di pasaran Malaysia.

Untuk mengakses Apple Arcade, pelanggan hanya perlu ke aplikasi App Store yang mana mereka akan menyediakan satu ikon khas untuk anda terus ke bahagian Apple Arcade tersebut. Melaluinya, Apple akan menyediakan beberapa cadangan permainan dan juga kandungan yang dipilih khas oleh kurator Apple.
Juga ketika acara tersebut, 3 pembangun terkenal berkongsi sebilangan permua baharu yang bakal tiba secara eksklusif buat langganan Apple Arcade tersebut. Antara permainan yang diperlihatkan adalah Frogger In Toy Town oleh Konami, Shinsekai: Into The Depth oleh Capcom dan Sayonara Wild Hearts oleh Annapurna Interactive.

Selain itu, Apple juga menjanjikan pelbagai lagi permainan akan tiba di Apple Arcade dengan lebih 100 permua apabila ianya dilancarkan kelak. Antara senarai permainan lain yang diumumkan adalah
- Ballistic Baseball oleh Gameloft
- Chu Chu Rocket! Universe oleh SEGA
- LEGO Brawls oleh LEGO
- Pac-Man Party Royale oleh bandai Namco
- Rayman Mini oleh Ubisoft
- Steven Universe: Unleash The Light oleh Cartoon Network
- Where Cards Falls oleh Snowman
- Exit The Gungeon oleh Devolver Digital
- Overland oleh Finji
- Projection: First Light oleh Blowfish
- Shantae And The Seven Sirens Oleh WayFoward
- Skate City oleh Snowman
- Sneaky Sasquatch oleh RAC7
- Super Impossible Road oleh Rogue Games
- The Bradwell Conspiracy oleh Bossa
- The Enchanted World oleh Noodlecake
- Various Daylife oleh Square-Enix
Apple Arcade merupakan langganan khas permua khas buat semua peranti iOS yang mana ianya boleh diakses di iPhone bermula 19 September ini melalui iOS13. Manakala bagi peranti iPad dan juga Apple TV ianya bakal tiba pada 30 September kelak melalui iPadOS dan tvOS. Di Mac pula ianya bakal tiba menjelang Oktober ini melalui macOS Catalina.
Menurut Apple, langganan tersebut bukan sahaja akan menyertakan permainan penuh, malah segala kandungan tambahan dan kemaskini lain akan disertakan secara bersama. Ianya juga boleh dimainkan secara luar-talian dan langganan tersebut boleh dikongsikan sehingga 6 ahli keluarga.
Bagi anda yang ingin mengetahui apa itu Apple Arcade lebih lanjut, kami sebelum ini berkongsi informasi lanjut berkenaannya di mana anda boleh membacanya di bawah.