Selepas mengeluarkan Quantum Break tiga tahun lepas, Remedy Entertainment kembali lagi dengan permainan aksi pengembaraan melalui Control. Ia dikeluarkan pada 27 Ogos 2019 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC (melalui Epic Games Store).
Selepas bermain hampir 11 jam masa permainan, saya boleh katakan ia adalah satu permainan aksi pengembaraan yang akan diingati untuk satu jangka masa yang lama, dan akan menjadi permainan yang saya akan kembali dari semasa ke semasa.
Ia bukan sahaja mempunyai bentuk permainan yang baik, ia juga disertakan dengan penceritaan, serta rekaan yang sangat menarik. Ingin tahu lebih lanjut? Berikut adalah ulasan penuh saya untuk Control.
Dua tema yang menjadi tiang untuk penceritaan Control adalah fiksyen sains dan misteri. Ia merupakan satu kombinasi yang sudah menjadi kebiasaan, dan melalui permainan ini ia sekali lagi membuktikan kombinasi tersebut adalah bagai pinang dibelah dua.
Tema fiksyen sains membuatkan setiap penceritaan menarik, ia juga membantu untuk menghasilkan dunia yang sentiasa membuatkan saya berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Ia ditambah lagi dengan tema seterusnya iaitu misteri. Setiap watak, setiap perkara yang berlaku dikelilingi dengan aura misteri yang membuatkan ia sukar untuk dijangka, apa yang akan berlaku seterusnya.
Bahkan, watak utama permainan ini, iaitu watak yang juga dikawal oleh pemain, Jesse Faden sendiri tidak pasti apa yang sedang dilalui oleh beliau dan apa yang sedang berlaku. Membongkar setiap misteri bersama dengan Jesse Faden memberi perasaan yang sangat puas.
Walaupun permainan sudah tamat, terdapat beberapa penceritaan yang tidak diterangkan dengan jelas, dan akan terus kekal sebagai misteri. Namun, ia tidak akan menjejas pengalaman penceritaan, sebaliknya ia memberi ruang kepada pemain untuk melakukan konklusi sendiri, sesuatu yang sudah menjadi ruji bagi fiksyen sains.
Cerita yang disampaikan di dalam permainan ini adalah dengan kelajuan yang sangat baik, ia tidak terlalu perlahan untuk membuatkan anda bosan, ia juga tidak terlalu cepat yang boleh mengelirukan pemain terutama dengan kepelbagaian misteri yang disertakan.
Jika anda pernah bermain Quantum Break, Remedy Entertainment berpengalaman menyertakan kuasa untuk digunakan dengan senjata api menjadikan ia satu permainan yang lebih pelbagai.
Melalui Control, mereka melakukan perkara yang sama, dan bagi saya jauh lebih menarik. Bahkan, senjata api yang disertakan juga adalah satu perkara yang sangat unik.
Permainan ini akan menyertakan banyak pertempuran, ada masa ia mungkin terlalu banyak, satu perkara yang membuatkan ia lebih menarik adalah kepelbagaian serangan yang boleh dilakukan oleh pemain. Terdapat tiga perkara utama yang membantu untuk menghasilkan kepelbagaian tersebut iaitu;
Pertama adalah senjata api, anda akan menggunakan satu senjata api sahaja di dalam permainan ini yang dipanggil sebagai ‘service weapon’. Walaupun ia adalah satu senjata sahaja, akan tetapi ia boleh diubah menjadi 6 bentuk berbeza iaitu Grip, Shatter, Spin, Pierce dan Charge.
Pada satu masa anda boleh menggunakan 2 bentuk untuk ditukar-tukar, tetapi ia boleh diubah bila-bila masa sahaja termasuk semasa sedang bertempur. Setiap bentuk akan mempunyai kelebihan serta kesesuaian tersendiri dengan keadaan semasa.
Satu lagi perkara yang menarik, service weapon tidak akan mempunyai pengisian peluru, sebaliknya ia akan terisi dengan tersendiri. Oleh disebabkan itu butang ‘R’ yang selalunya menjadi butang untuk pengisian semula akan sekadar menukar kedudukan kamera. Sesuatu yang saya ambil masa untuk membiasakan diri.
Kedua adalah kuasa, terdapat 6 kuasa berlainan iaitu Lunch, Shield, Evade, Melee, Seize dan Levitate. Kebanyakan kuasa agak jelas berdasarkan nama, seize membolehkan pemain untuk menjadikan penjahat yang hampir mati, membantu anda.
Kesemua kuasa ini apabila digabungkan dengan senjata, menjadikan pertempuran adalah antara kekuatan utama permainan ini. Satu kuasa yang saya sangat gemari adalah Levitate yang membolehkan anda terbang untuk satu jangka masa pendek. Apabila saya mendapat kuasa tersebut, ia terus menukar cara saya bermain dan ia juga menjadikan pertempuran yang sudah menyeronokkan menjadi lebih baik.
Semasa pertempuran, permainan ini memfokuskan kepada penjahat yang ramai. Mereka akan menyerang daripada pelbagai sudut, dan setiap serangan mempunyai kesan yang besar, oleh disebabkan itu, anda perlu sentiasa bergerak, kuasa seperti Evade dan Levitate akan membantu perkara ini.
Ketiga adalah mod dan pokok kebolehan. Terdapat dua jenis mod, iaitu mod senjata dan juga personal mod,. Mod senjata akan memberikan senjata pelbagai kelebihan. Setiap bentuk senjata, boleh diletakkan mod tersendiri. Manakala personal mod adalah khas untuk kuasa yang digunakan oleh Jesse serta menambah nyawa dan juga tenaga untuk menggunakan kuasa.
Manakala pokok kebolehan adalah sesuatu yang biasa disertakan untuk permainan RPG, menggunakan ‘ability point’ yang diperoleh dengan menyelesaikan misi. Pokok kebolehan ini memfokuskan nyawa, tenaga dan juga kuasa. Selain itu terdapat juga material yang dikutip apabila bertempur, ia diperlukan untuk membina mod dan meningkatkan tahap senjata. Kesemua perkara tersebut membantu untuk pemain menghasilkan watak mengikut kesesuaian pemain sendiri.
Ketiga-tiga perkara yang saya terangkan di atas benar-benar membantu untuk menjadikan Control satu permainan aksi pengembaraan yang sangat baik. Saya juga berpendapat yang ia membantu untuk memberi pengalaman berbeza kepada setiap pemain.
Jadi, anda mempunyai segala senjata dan kuasa ini, apa yang boleh dilakukan dengannya? Seperti biasa, terdapat misi-misi yang perlu diselesaikan, dan permainan ini juga mempunyai misi utama dan misi sampingan.
Misi utama akan menggerakkan penceritaan manakala misi sampingan akan membantu untuk mendapatkan lebih ability point. Beberapa kuasa juga hanya diperoleh selepas menyelesaikan misi sampingan. Oleh kerana ia satu permainan pendek, saya merasakan adalah perlu untuk pemain melakukan kesemua misi yang ada. Bahkan, misi sampingan direka dengan baik, bahkan lebih baik berbanding beberapa misi utama.
Setiap misi tersebut juga dibantu dengan rekaan peringkat yang baik, Control tidak mempunyai jenis penjahat yang banyak, tetapi kekerapan setiap penjahat muncul membantu untuk menjadikan setiap pertempuran lebih segar.
Namun, satu kekurangan adalah misi utama, tidak sangat menggunakan konsep pertempuran boss, terutama di-bahagian akhir permainan di mana, ia hanya menyertakan jumlah penjahat yang ramai menjadikan ia agak membosankan dan mungkin menjengkelkan.
Berbeza dengan misi sampingan kebiasaan akan menyertakan pertempuran boss yang unik, menjadikan ia lebih seronok untuk dilakukan. Saya merasakan adalah lebih baik jika pertempuran boss yang disertakan di dalam misi sampingan menggantikan ‘ombak’ penjahat di dalam misi utama.
Satu lagi perkara yang menjengkelkan di dalam Control adalah sistem checkpoint ataupun digelar sebagai Control Point. Ia adalah tempat pemain melakukan pelbagai aktiviti seperti pokok kebolehan, mencipta mod, ia juga tempat untuk pemain rentas jarak ke Control Point di tempat berlainan.
Ia juga merupakan tempat apabila pemain mati, pemain akan dihidupkan semula di Control Point terakhir yang di-lawat oleh pemain. Sesetengah Control Point berada jauh dengan tempat yang mempunyai pertempuran utama, jika anda mati, anda terpaksa melalui kawasan yang sama berulang-ulang kali. Adalah lebih baik jika permainan ini menyediakan sistem berlainan ataupun menyertakan Control Point dengan lebih kerap.
Saya bermain permainan ini untuk kebanyakan bahagian di PC yang mempunyai GPU GTX 970, dengan tetapan gabungan Low dan Medium saya mendapat kelancaran secara purata lebih 60 kadar bingkai sesaat, manakala jika saya menggunakan HP Omen 15 yang mempunyai GPU GTX 1050, dengan tetapan Low ia mendapat kelancaran purata 30 kadar bingkai sesaat.
Kelancaran saya boleh katakan ia agak stabil, walaupun dengan keadaan yang sangat serabut, setiap barangan sekadar berterbangan ia masih mengekalkan kelancaran yang sama.
Walaupun tetapan Low, saya boleh katakan kualiti grafik yang disediakan cukup memuaskan, ini ditambah lagi dengan rekaan bangunan, persekitaran serta watak adalah sangat menarik. Jika anda mempunyai PC yang spesifikasi lebih tinggi, saya boleh katakan ia adalah permainan yang sangat cantik.
Seperti yang saya terangkan di atas, antara perkara yang menarik mengenai misi adalah rekaan peringkat, dan rekaan persekitaran adalah salah satu cara Remedy menjadikan setiap misi unik dan menarik. Di bahagian akhir permainan, saya boleh katakan ia adalah salah satu rekaan peringkat yang terbaik pernah ada di dalam permainan video.
Berdasarkan beberapa laporan dan juga Remedy sendiri, buat masa ini prestasi Control di PlayStation 4 dan juga Xbox One S kurang baik. Jika anda ingin mendapatkan Control di konsol tersebut, mungkin anda boleh tunggu sehingga ia diperbaiki, yang menurut Remedy akan datang secara berperingkat. Manakala prestasi Control adalah lebih baik di PlayStation 4 Pro dan Xbox One X.
Seperti Quantum Break, Control juga menyertakan adegan yang dilakukan secara aksi nyata, namun ia tidak sekerap. Bagi saya ia dilakukan dengan baik dan menambah aura misteri permainan ini.
Satu perkara yang saya boleh katakan menjejas pengalaman bermain adalah oleh kerana ia mempunyai kuasa yang dapat menerbangkan segala benda, barangan di kawasan tersebut contohnya meja, kerusi dan perabot lain menjadi sangat ringan. Jika anda melanggarnya dengan perlahan, ia akan bergerak.
Ia mungkin tidak nampak perbezaan semasa bertempur, tetapi semasa mengembara ia menjadi sedikit janggal.
Remedy Entertainment mempunyai pengalaman membangunkan permainan seram melalui Alan Wake, dan pengalaman tersebut digunakan di dalam permainan ini. Control, walaupun bukan permainan seram, tetapi penggunaan bunyi latar menjadikan ia sangat menyeramkan.
Oleh disebabkan perkara yang sedang berlaku di dalam permainan, anda akan sering mendengar bisikan-bisikan manusia yang membuatkan keadaan menjadi seram, kerana saya tidak gemari permainan seram saya terpaksa memasang lagu semasa bermain.
Selain itu, kesan bunyi lain seperti pertempuran, tembakan senjata adalah baik menjadikan pertempuran yang pantas lebih rancak.
Control banyak menggunakan pelakon suara serta pelakon untuk aksi nyata daripada permainan Quantum Break, kualiti lakonan suara yang disediakan sangat memuaskan. Setiap watak mempunyai keunikan tersendiri begitu juga dengan dialog.
Apabila anda menghabiskan permainan ini, saya boleh katakan lagu Take Control oleh Old Gods of Asgard akan menjadi lagu kegemaran anda.
Akhir kata, Control adalah satu permainan aksi pengembaraan yang baik, ia juga mungkin permainan terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Remedy Entertainment. Kesemua aspek permainan ini dilakukan dengan sangat baik.
Bentuk permainan terutama pertempuran sudah semestinya bintang yang paling bersinar di dalam permainan ini, senjata dan kuasa yang ada menjadikan ia sangat memuaskan hati.
Ini ditambahkan lagi dengan penceritaan yang menggabungkan fiksyen sains dan misteri, serta rekaan grafik dan penghasilan audio yang baik, menjadikan saya sangat mengesyorkan permainan ini.