Seperti yang anda sedia maklum, pada 15 November 2019 ini, Nintendo akan melancarkan permainan seterusnya buat siri Pokémon iaitu Pokémon Sword dan Pokémon Shield yang mana ianya bakal tiba secara eksklusif di konsol Switch.

Terkini, bersempena dengan acara Nintendo Direct yang berlangsung awal hari ini, The Pokémon Company memperlihatkan beberapa kandungan baharu buat permainan tersebut termasuklah beberapa Pokémon baharu.

Antara perkara baharu yang diperlihatkan adalah mod Pokémon Camp yang mana seperti di dalam permainan Pokémon sebelum ini, pemain berupaya untuk berinteraksi dengan Pokémon-Pokémon dengan lebih rapat seperti membelai mereka dan sebagainya.

Menariknya sekali, melalui Pokémon Camp tersebut, pemain juga berupaya untuk memasak kari bersama nasi di mana ianya salah satu masakan yang terkenal di rantau Galar tersebut. Pemain juga berupaya untuk menghasilkan pelbagai jenis resipi berlainan dan hasil masakan tersebut juga akan memberi beberapa kesan statistik buat Pokémon.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk melawat Pokémon Camp pemain lain yang mana pada masa yang sama pemain juga berupaya untuk berinteraksi dengan Pokémon pemain lain dan memasak bersama.

Sistem penukaran Pokémon juga bakal kembali di dalam permainan ini yang mana Nintendo juga memperlihatkan sebilangan bentuk penukaran baharu seperti penukaran Pokémon secara mengejut melalui sistem Y-Comm.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk mencari pelatih Pokémon lain yang ingin bertempur mahupun menukar Pokémon melalui sistem tersebut apabila pemain berada di atas-talian. Namun, akses untuk bermain secara atas-talian memerlukan pemain untuk melanggan Nintendo Switch Online.

Bagi anda yang menyukai kebebasan untuk menukar kostum watak pelatih Pokémon, melalui Pokémon Sword dan Shield ini, NIntendo juga mengesahkan fungsi tersebut bakal tiba dengan pelbagai tetapan yang pemain boleh lakukan seperti mengubah gaya rambut, pakaian, kasut dan sebagainya.

Pemain juga berupaya untuk menghasilkan kad liga secara tersendiri yang mana pemain boleh lakukan pelbagai jenis gaya yang menarik untuk dikongsikan ketika bermain secara atas-talian dan sebagainya.

Bagi Pokémon baharu pula, The Pokémon Company memperlihatkan dua Pokémon baharu iaitu Cramorant iaitu Pokémon jenis air dan terbang bersama-sama dengan Pokémon Polteageist iaitu Pokémon berjenis hantu.

Kedua-dua Pokémon tersebut sememangnya mempunyai sebilangan kemahiran unik yang tersendiri dan mereka adalah Pokémon baharu yang diperkenalkan khas buat rantau Galar ini.

Pokémon Sword dan Pokémon Shield bakal dilancarkan pada 15 November 2019 ini khas di konsol Switch.

Sohor Kini