Informasi Permainan Video Terkini
Deadly Premonition 2: A Blessing In Disguise Diumumkan – Deadly Premonition Origins Kini Dilancarkan Di Switch

Deadly Premonition 2: A Blessing In Disguise Diumumkan – Deadly Premonition Origins Kini Dilancarkan Di Switch

Diterbitkan pada Sep 5, 2019 oleh .

Deadly Premonition merupakan salah satu permainan yang mendapat sambutan yang baik di mana ianya diarah oleh SWERY, Hidetaka Suehiro iaitu beliau terkenal dengan permainan seram dan misteri.

Terkini, ketika acara Nintendo Direct yang berlangsung awal pagi ini, Nintendo dan Rising Star Games mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sekuel kepada permainan tersebut iaitu Deadly Premonition 2: A Blessing In Disguise menjelang tahun hadapan.

Menurut Nintendo, permainan kedua ini akan memfokuskan bentuk dunia terbuka di bandaraya Le Carre dan pemain akan bermain sebagai ejen FBI iaitu Francis York Morgan dan beliau perlu menyelesaikan misteri kes pembunuhan. Menariknya, permainan ini akan memfokuskan bentuk dua masa yang berbeza antara tahun 2005 dan 2019 yang mana pasti akan membawa misteri yang sangat menarik buat pemain.

Buat masa ini, tidak banyak informasi lain yang diumumkan. Namun apa yang pasti buat masa ini ianya disahkan bakal tiba di konsol Switch sahaja. Seperti biasa, kami akan mengemaskini setelah ianya diumumkan dengan lebih lanjut.

Selain itu, pada masa yang sama, Nintendo juga mengumumkan permainan pertama buat siri tersebut juga dilancarkan hari ini dengan nama Deadly Premonition Origins di mana boleh dibeli melalui Nintendo eShop dengan harga bermula $29.99(~RM126).

Ini sekaligus membenarkan anda untuk bermain permainan pertama dahulu sebelum bermain permainan kedua apabila ianya dilancarkan tahun hadapan kelak.

Deadly Premonition merupakan permainan seram yang mana sebelum ini ianya telah pun dilancarkan di PC dan juga konsol Xbox 360 dan Playstation 3. Ianya mendapat sambutan yang bercampur di kalangan pemain dan menjadi satu ikutan sebagai satu permainan sebagai karya seni beberapa tahun lepas.

Dengan pelancaran The Missing: J.J. Macfield and the Island of Memories oleh SWERY tahun lepas, semestinya permainan seterusnya oleh beliau akan menjadi sesuatu yang bakal mengejutkan dunia sekali lagi.


TIPS & ULASAN