Seperti yang diura-urakan sebelum ini, Overwatch akhirnya diumumkan secara rasmi akan tiba di konsol Switch. Pengumuman tersebut dibuat ketika acara Nintendo Direct awal pagi ini di mana Nintendo dan Blizzard Entertainment mengesahkan tarikh pelancaran permainan tersebut iaitu 15 Oktober 2019 ini.

Overwatch asalnya dilancarkan pada 2016 lepas di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC yang mana ianya adalah permainan penembak arena multi-pemain. Sejak pelancaran permainan tersebut, ianya telah pun menerima pelbagai kemaskini termasuk pelbagai watak-watak baharu dengan kostum-kostum menarik.

Terkini, menurut Blizzard Entertainment, Overwatch di Switch akan dilancarkan sebagai Overwatch Legendary Edition yang mana ianya akan menyertakan kostum Widowmaker khas bersama-sama dengan kod langganan Nintendo Switch Online sebanyak 3 bulan. Tambahan itu, bagi anda yang membuat pembelian sebelum 31 Disember 2019 ini, Blizzard juga akan menyediakan satu kotak tikam emas khas secara bersama.

Berdasarkan video acah di atas juga, permainan tersebut akan menyokong bentuk kawalan secara pergerakan untuk menyasarkan arah tembakan. Sekaligus ianya mungkin akan memudahkan pemain untuk bermain melalui versi Switch ini.

Pra-tempah buat permainan tersebut juga kini dibuka melalui laman rasmi Blizzard Entertainment di mana ianya akan dijual dengan harga bermula $39.99(~RM168) melalui Nintendo eShop.

Sohor Kini