Sebelum ini kami berkongsi tarikh kejohanan buat Mobile Legends: Bang Bang World Championship bakal berlangsung pada 11 hingga 17 November 2019 ini di mana ianya akan pertandingkan sebanyak 16 pasukan akan bertempur untuk bergelar juara dan membawa pulang wang hadiah terkumpul melebihi RM1 juta.
Bermula 11 November 2019 ini, pusingan kelayakan akan berlangsung antara pasukan dari Kemboja, Thailand, Laos, Vietnam, Jepun, Turki, Rusia, Amerika Syarikat dan Brazil untuk berebut tempat ke pusingan akhir yang bakal berlangsung pada 15 November 2019 kelak.
Manakala pasukan-pasukan dari kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) akan terus ke pusingan akhir iaitu pasukan Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Myanmar.
Bersempena dengan itu, pusingan akhir Mobile Legends: Bang Bang World Championship akan berlangsung pada 15 hingga 17 November 2019 ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur dan tiket jualan buat acara tersebut sudah mula dijual.

Seperti yang tertera di imej atas, terdapat 3 jenis tiket yang akan dijual mengikut peringkat Gangsa, Perak dan Emas di mana setiap satu jenis akan mempunyai lokasi tempat yang berbeza di Axiata Arena. Menariknya, buat mereka yang membeli tiket Emas, mereka juga berpeluang untuk mendapat barangan dan beg eksklusif khas.
Harga tiket juga akan terbahagi kepada dua sesi di mana sesi awal dengan harga yang lebih murah sudah pun mula dijual sehingga 13 September 2019 ini. Manakala harga biasa akan mula dijual pada 14 September 2019 kelak. Anda juga berupaya untuk membeli pas 1 hari sahaja bermula dengan harga RM15.
Bagi anda yang berminat untuk membeli tiket, ianya boleh dibeli secara atas-talian melalui laman rasmi My Ticket Asia.
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan harga tiket rasmi buat kejohanan tersebut bermula hari ini dan memberi sokongan buat pasukan-pasukan pilihan anda.