Tahun lepas, Koei Tecmo melancarkan Warriors Orochi 4 di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC yang mana ianya merupakan permainan aksi yang menyertakan lebih dari 170 watak daripada siri Dynasty Warriors dan Samurai Warriors.
Terkini, mereka mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan versi tambahan buat permainan tersebut dengan nama Warriors Orochi 4 Ultimate. Menariknya sekali, mereka juga akan membawa kembali watak Ryu Hayabusa daripada siri Ninja Gaiden.
Sememangnya ini bukan pertama kali Ryu Hayabusa disertakan di dalam siri permainan Warriors Orochi di mana sebelum ini di Warriors Orochi 3, beliau juga merupakan salah satu watak yang boleh dimainkan. Ryu Hayabusa juga berada di dalam siri permainan Dead Or Alive.

Melalui Warriors Orochi 4 Ultimate, Koei Tecmo juga akan memperkenalkan sebilangan kandungan tambahan seperti penceritaan senario baharu dan juga beberapa watak baharu, iaitu Gaia dan sebagainya. Mereka akan memperkenalkan beberapa mod baharu seperti mod infiniti yang akan mengembangkan lagi bentuk kemajuan watak dan sebagainya.
Menariknya, buat anda yang sudah memiliki permainan Warriors Orochi 4 sebelum ini, Koei Tecmo juga menyediakan DLC khas untuk pemain menaik-tarafkan versi permainan kepada versi Ultimate. Namun, Warriors Orochi 4 Ultimate juga boleh dibeli secara berasingan sama ada secara digital mahupun fizikal.
Warriors Orochi 4 Ultimate dijadualkan untuk dilancarkan pada Februari 2020 ini di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC.