Siri permainan Wolfenstein sememangnya terkenal dengan bentuk permainan penembak beraksi dengan bertemakan peperangan antara Nazi dan Allies yang bertempatkan di perang dunia kedua.
Siri tersebut merupakan salah satu permainan klasik penembak pandang pertama dengan bermulanya Wolfenstein 3D yang dilancarkan pada 1992 lepas dan ianya berkembang dengan pelbagai permainan sehinggalah siri Wolfenstein: The New Order yang memfokuskan watak William BJ Blazkowicz.
Terkini, selepas permainan Wolfenstein II: The New Colossus yang dilancarkan 2017 lepas, permainan seterusnya buat siri tersebut oleh Machine Games dan Arkane Studios iaitu Wolfenstein: Youngblood akhirnya dilancarkan secara rasmi Julai lepas di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC di mana kali ini ianya memfokuskan bentuk multi-pemain secara koperasi.
Namun, adakah bentuk sebegini merupakan satu pilihan yang baik untuk meneruskan legasi William BJ Blazkowicz? Ini adalah ulasan saya.
Cerita
Wolfenstein: Youngblood bertempatkan 20 tahun selepas permainan Wolfenstein II: The New Colossus yang mana pemain akan bermain sebagai anak kembar perempuan William BJ Blazkowicz iaitu Jessie dan Zofia di mana pada permulaan permainan ini, ayah mereka iaitu William telah menghilangkan diri. Ini sekaligus meletakkan kedua-dua mereka mengembara di bandaraya Neu-Paris untuk mencari beliau.

Secara asasnya, penceritaan permainan ini sememangnya meletakkan sesuatu yang menarik dari segi aspek plot dan misteri berkenaan dunia pasca-peperangan bersama Nazi tersebut. Ianya bukan sahaja mengembangkan lagi dunia berteknologi yang diperlihatkan di dalam permainan sebelum ini, malah permainan menghasilkan satu dunianya tersendiri yang sangat mendalam dengan pelbagai kisah.
Akan tetapi pelaksanaan yang dilakukan oleh pembangun buat permainan ini adalah sangat mengecewakan. Tanpa membeber sebarang penceritaannya utama, permainan ini masih lagi mengumpan pemain dengan bakal adanya sekuel, seperti mana yang mereka lakukan dengan permainan sebelum ini. Ini sekaligus menyebabkan penceritaannya agak tergantung dan beberapa elemen penceritaan juga tidak diceritakan dengan baik.

Untuk mengatakan permainan ini sebagai satu permainan sampingan adalah tidak betul, ini kerana ianya masih lagi memfokuskan watak utama di dalam siri Wolfenstein iaitu William BJ Blazkowicz dan pada masa yang sama ianya meletakkan 20 tahun selepas permainan kedua. Sekaligus, sebagai satu ‘sekuel’ buat siri tersebut, penceritaan permainan ini agak mengecewakan.
Selain itu, memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk permainan secara koperasi dengan elemen dunia terbuka, ianya sedikit sebanyak tidak terlalu memfokuskan naratif yang mana pada pendapat saya adalah tindakan yang paling mengecewakan oleh pembangun.
Jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini, penceritaan yang disampaikan melalui Wolfenstein: Youngblood tidak langsung setaraf dengan kualiti dan nilai epik yang dibawakan dengan permainan sebelum ini. Malah, penceritaannya menjadi semakin bosan ketika penghujung permainan tersebut kerana ia cuba untuk menyampaikan sesuatu yang baru, tetapi plot tersebut membuatkan ia berasa sangat malas dan tidak menarik.

Tambahan itu, permainan ini juga menyertakan beberapa misi sampingan dengan penceritaan sampingan yang pemain boleh selesaikan seperti menolong pasukan pemberontak tersebut dan sebagainya. Namun, sepanjang sesi permainan saya, saya sendiri tidak langsung ambil kisah kerana penceritaan yang tersedia tidak langsung menarik minat saya.
Ini juga meletakkan permainan ini menjadi lebih bosan dan kurang menarik, yang mana saya sendiri tidak langsung merasai elemen-elemen epik yang pembangun bawakan untuk dua permainan sebelum ini dan semestinya ia membuahkan satu pengalaman yang sangat mengecewakan.
Grafik
Dari segi aspek visual grafik, permainan ini sememangnya menyediakan visual yang sangat menawan. Segala rekaan watak dipertayangkan dengan baik dan boleh katakan visual grafik terbaik untuk siri Wolfestein.
Meskipun begitu, terdapat juga beberapa masalah ketika adegan permainan yang mana pada pendapat saya, terdapat beberapa bahagian, ekspresi riak wajah watak terdapat sedikit kecacatan. Namun, ianya tidaklah berlaku di dalam keseluruhan permainan tersebut.

Perkara yang saya sangat menyukai berkenaan permainan ini dari segi aspek grafik semestinya rekaan-rekaan senjata dan dunia ‘Teknologi’ yang dipaparkan di dalam dunia Wolfenstein kali ini, di mana pada pendapat saya ianya dihasilkan dengan baik sekali dengan elemen-elemen perindustrian yang sangat menawan. Selain itu rekaan musuh-musuh yang menarik dengan pelbagai elemen robotik yang sangat sesuai dengan dunia pasca-peperangan Nazi.
Saya juga menyukai beberapa aspek kesan-kesan penembakan di dalam permainan seperti senjata laser dan juga senjata-senjata api yang berkuasa seperti serangan elektrik dan sebagainya. Ianya juga menjadi lebih menarik apabila ia menyertakan sebilangan jenis senjata yang mempunyai kuasa berbeza, di mana setiap satunya memaparkan visual yang berlainan.

Akan tetapi, dari segi aspek keganasan, saya merasai kali ini, ianya agak berkurangan jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini. Bahkan, permainan ini lebih ‘selamat’ berbanding Wolfenstein II: The New Colossus. Namun, ianya masih lagi memaparkan beberapa adegan ganas seperti darah, mayat dengan kehilangan badan dan sebagainya.
Dari segi prestasi pula, saya sendiri bermain dengan menggunakan Playstation 4 Pro dan pada pendapat saya ianya dimainkan dengan baik sekali. Saya tidak menghadapi sebarang masalah dari segi kadar bingkai sesaat mahupun sebarang kecacatan visual lain. Bahkan saya berasa tahap prestasi permainan ini adalah terbaik buat kesemua siri Wolfenstein.
Audio
Dari segi audio, perkara pertama yang saya harus puji semestinya kesan bunyi tembakan yang sangat memuaskan. Jika anda bermain permainan ini dengan menggunakan fon kepala, saya pasti anda akan berpuas hati dengan segala kesan bunyi yang dilakukan oleh pembangun.

Bukan setakat itu sahaja, kesan bunyi efek seperti pergerakan musuh dan juga bunyi mesin robotik daripada robot-robot musuh yang pemain tempuhi, termasuklah dron-dron di udara, ianya dihasilkan dengan baik sekali. Bahkan saya, perasaan seram akibat kesan bunyi yang dihasilkan ketika pemain dikelilingi juga memberi saya satu pengalaman ‘peperangan’ yang sangat mengasyikkan.
Dari segi muzik audio pula, permainan ini semestinya mempunyai muzik yang baik dan saya sendiri berpuas hati dengan segala yang dimainkan di dalam keseluruhan permainan ini. Gaya muzik yang dihasilkan juga mengingatkan saya dengan muzik-muzik untuk siri Wolfenstein, yang mana pasti akan memberi pengalaman yang menyeronokkan buat peminat siri ini.
Dari segi aspek suara latar, terdapat beberapa aspek yang agak pelik pada pendapat saya. Mungkin saya sendiri tidak biasa dengan loghat Texas, namun sebahagian watak, terutamanya watak utama Zofia dan Jessie mempunyai lakonan suara yang agak janggal. Mereka juga kedengaran seakan mempunyai menokok tambah bunyi-bunyian loghat tersebut.
Namun, seperti yang saya katakan di atas, ini juga mungkin disebabkan saya sendiri tidak biasa dengan loghat tersebut. Namun, ianya masih lagi berasa agak pelik ketika watak-watak tersebut sering bercakap ketika sesi permainan.
Dari segi watak lain, ianya tidak mempunyai sebarang masalah, termasuklah beberapa watak yang mempunyai loghat berbahasa asing seperti bahasa Perancis dan sebagainya.
Kawalan
Aspek utama buat permainan ini yang mana pada pendapat saya pembangun berjaya menghasilkan dengan baik semestinya adalah bentuk kawalan. Jika anda pernah bermain siri permainan Wolfenstein, anda sendiri pasti biasa dengan bentuk penembak yang sangat baik sekali dengan keupayaan untuk menembak dengan dua belah tangan dan juga fungsi sandar dan toleh yang mana pasti memberi kepuasan setiap kali pemain bertempur dengan musuh.

Selain daripada aspek penembakan yang sangat seronok sekali untuk dimainkan, permainan ini juga berjaya membuatkan senjata api menjadi lebih menarik dengan sebilangan jenis senjata yang berbeza. Apa yang saya sangat sukai adalah ianya tidaklah mempunyai pelbagai pilihan senjata yang terlalu banyak dan memeningkan, ianya mempunyai senjata mengikut kategori yang dihasilkan dengan baik sekali.

Contohnya, permainan ini mempunyai beberapa bahagian senjata untuk senjata api ringan, berat dan sebagainya yang mana kategori tersebut pula dibahagikan kepada senjata berlainan jenis seperti senapang, senapang patah, pistol dan sebagainya.
Selain itu, seperti permainan sebelum ini, permainan ini juga menyertakan sebilangan senjata yang berkuasa lain seperti kuasa api, elektrik dan semestinya senjata laser, Laserkraftwerk yang mana salah satu senjata kesukaan saya sendiri dengan tembakan laser yang sangat berkuasa dan boleh menumpaskan musuh dengan hanya satu tembakan sahaja.

Selain itu, senjata-senjata tersebut juga memainkan peranan penting di mana pemain perlu menggunakan senjata-senjata berkuasa tersebut untuk membuka pintu ataupun kotak yang dikunci. Ini sememangnya mempunyai beberapa elemen “tekaria” yang ringkas di mana terdapat beberapa lokasi memerlukan pemain untuk menembak sesuatu pintu dengan senjata berkuasa seperti Laserkraftwerk untuk bergerak ke lokasi seterusnya. Namun, ianya adalah ringkas sahaja dan pemain akan sentiasa mendapat senjata-senjata tersebut mengikut kemajuan pemain.

Tambahan itu, satu lagi aspek kesukaan saya berkenaan permainan ini adalah keupayaan untuk menaik-tarafkan senjata dengan pelbagai aksesori dan kelengkapan tambahan seperti stok, sasaran dan mengubah-suai ‘badan’ senapang yang memberi kadar tembakan yang lebih tinggi ataupun lebih berkuasa.
Konsep ini semestinya tidak asing untuk permainan penembak dari siri lain, namun kali ini dengan tibanya fungsi ini, ianya memberi beberapa gaya permainan yang berlainan mengikut tetapan senjata yang dilakukan, sekaligus membuka lebih banyak cabang bentuk permainan yang berbeza.

Juga seperti senjata, pemain juga boleh menaik-taraf kemahiran watak-watak seperti tingkatkan nilai nyawa, kemahiran serangan berbeza dan juga kemahiran lain seperti keupayaan untuk menyelinap dengan lebih pantas ataupun keupayaan untuk menggunakan dua senjata berat pada masa yang sama.
Pada pendapat saya, bentuk pernaik-tarafan ini sememangnya membuka satu cabang yang menarik untuk permainan ini, namun ianya agak lambat untuk pemain menaik-tarafkan kerana pemain perlu sentiasa bertempur untuk meningkatkan taraf peringkat pemain, dan ia sedikit sebanyak memerlukan pemain untuk sering bertempur secara berulang kali.

Dari segi aspek mengembaraan, permainan ini sememangnya menyertakan bentuk seakan dunia terbuka, namun ianya lebih kepada beberapa bahagian peta yang luas sahaja. Ianya tidaklah mempunyai bentuk dunia terbuka seperti permainan lain. Wolfenstein: Youngblood lebih memfokuskan pemain untuk bergerak ke beberapa lokasi yang berbeza dan setiap bahagian tersebut mempunyai ruangan penerokaan yang luas dan pelbagai cabang perjalanan untuk pemain mengembara.

Menariknya juga, dari segi aspek penerokaan, permainan ini memberi kebebasan untuk pemain menyelinap ataupun terus menyerang musuh secara membabi buta. Namun, pada pendapat saya sendiri, menyerang terus ke arah musuh sememangnya memberi cabaran yang lebih tinggi berbanding bentuk menyelinap. Namun, seperti biasa bentuk menyelinap pasti akan memakan masa yang lebih.

Dari segi aspek ‘pangkalan’ seperti permainan Wolfenstein sebelum ini, sememangnya Wolfenstein: Youngblood masih lagi mempunyai elemen yang sama di mana pemain berupaya untuk kembali ke pangkalan pemberontak tersebut untuk berinteraksi dengan watak-watak lain ataupun bermain permainan mini Wolfenstein klasik. Pemain juga berupaya untuk ke lokasi baharu dengan menyah-kunci lokasi “Metro” untuk kembali ke pangkalan. Di pangkalan juga pemain berupaya untuk berlatih menembak, dan juga bercakap dan mendapatkan misi-misi sampingan dengan membantu ahli pemberontak tersebut.
Semestinya ianya menyertakan sebilangan bentuk misi sampingan yang pelbagai melaluinya, tetapi ianya tidaklah memberi sebarang kesan buat keseluruhan permainan malah kebanyakkan misi sampingan yang tersedia agak berulangan dan mempunyai bentuk yang sama seperti menyelamatkan ahli lain, membunuh ataupun menghapus barangan musuh Nazi dan sebagainya.

Seperti permainan Wolfenstein sebelum ini, ianya tidaklah menyertakan sebarang bentuk ‘ketua musuh’ yang berbeza, memandangkan kebanyakkan musuh-musuh yang berkuasa, pemain akan temui sekali lagi di dalam lokasi seterusnya di dalam permainan. Namun, sebilangan musuh yang pelbagai di dalam permainan ini sememangnya agak mencabar mengikut tahap kesukaran yang pemain pilih.
Seperti yang kami kongsikan di atas, permainan ini sememangnya memfokuskan bentuk koperasi secara multi-pemain yang mana kami akan kongsikan lebih lanjut di ruangan multi-pemain di bawah.
Multi-Pemain
Permainan ini sememangnya boleh dimainkan secara multi-pemain ataupun secara solo yang mana saya lebih menyukainya dengan bermain secara bersendiri. Ini kerana, multi-pemain Wolfenstein: Youngblood lebih seronok jika dimain bersama rakan kerana ianya mempunyai elemen koperasi yang menarik.

Semestinya ianya tidaklah mempunyai bentuk koperasi yang mendalam seperti permainan multi-pemain lain, namun ianya masih lagi menggunakan beberapa elemen koperasi seperti menghidupkan semula pemain jika tertumpas, ataupun membuka sebilangan pintu yang besar untuk bergerak ke lokasi seterusnya.

Pemain juga berupaya untuk menyorak pemain lain untuk tingkatkan perisai permainan tersebut yang mana pada pendapat saya tidaklah begitu penting dan mengubah sebarang bentuk permainan ini. Bahkan dari segi aspek yang lain, ianya hanyalah satu bentuk koperasi yang ringkas sahaja.
Dari segi aspek untuk bermula bermain secara koperasi, pemain berupaya untuk membuka sesi permainan supaya pemain lain boleh sertai, ataupun sertai sesi permainan orang lain secara rawak. Namun, jika pemain sertai sesi permainan lain secara rawak, pemain tidak berupaya untuk memilih misi yang dimainkan oleh pemain tersebut malah akan terus sambung sahaja sesi permainan mereka.

Dukacitanya juga, permainan ini tidak menyertakan bentuk multi-pemain secara skrin pembahagian yang mana pada pendapat saya agak mengecewakan memandangkan permainan ini akan menjadi lebih menarik jika boleh dimainkan secara setempat.
Dari segi aspek mikro-transaksi pula, semestinya permainan ini menyertakan beberapa kandungan yang pemain boleh beli dengan menggunakan wang nyata. Namun, ianya terhad kepada bentuk kosmetik sahaja seperti kostum berwarna lain ataupun helmet rekaan berlainan.
Kesimpulan
Apa yang saya boleh simpulkan adalah Wolfenstein: Youngblood sememangnya satu permainan penembak yang baik sekali. Bukan sahaja ianya mempunyai bentuk penaik-tarafan senjata bersama-sama dengan pilihan jenis senjata yang pelbagai, ianya juga mempunyai bentuk penembak yang sangat memuaskan dari segi elemen beraksi peperangan bersama Nazi yang pasti menjadi kesukaan ramai buat peminat siri Wolfenstein.
Sistem penaik-tarafan watak juga membuka lebih banyak gaya permainan yang bercabang dan bentuk permainan berbeza buat mereka yang ingin terus bermain berulang kali.
Meskipun begitu, dengan penceritaan yang agak membosankan dicampur dengan elemen koperasi yang hanya sebagai satu elemen tambahan sahaja tanpa sebarang kesan menarik untuk keseluruhan pengalaman permainan, membuat permainan ini berasa kurang memuaskan sebagai sekuel kepada siri Wolfenstein yang epik sebelum ini.
Bahkan sebagai seorang peminat buat siri Wolfenstein, sudah pasti ini merupakan permainan paling mengecewakan untuk siri tersebut dengan sekali lagi tindakan pembangun untuk mengumpan sekuel pada masa akan datang.

Penafian: Kod Ulasan Wolfenstein: Youngblood disediakan oleh Bethesda Softworks