The Dark Pictures Anthology: Man Of Medan merupakan siri permainan seram oleh pembangun Supermassive Games di mana mereka terkenal dengan permainan Until Dawn dan juga Hidden Agenda sebelum ini yang dilancarkan di Playstation 4.

Kini dengan kerjasama Bandai Namco, mereka sekali lagi membawa permainan seram berbentuk naratif pilihan penceritaan secara bersiri di mana siri pertama, iaitu Man Of Medan, dilancarkan 30 Ogos 2019 lepas di konsol Playstation 4, Xbox One dan juga PC.

Semestinya, bentuk permainan naratif bercabang oleh Supermassive Games adalah tidak asing terutamanya buat mereka yang sudah biasa dengan permainan keluaran mereka, meskipun begitu adakah Man Of Medan ini satu permainan yang berjaya untuk menumpaskan Until Dawn? Ini adalah ulasan saya.

Cerita

Secara asasnya, penceritaan The Dark Pictures: Man Of Medan ini agak ringkas. Ianya bermula di mana pemain akan bermain sebagai sekumpulan kawan di mana mereka ingin mencari harta karun dengan mencari kapal terbang terhempas dari perang dunia kedua di dalam laut. Seperti kebanyakan penceritaan seram yang lain, terdapat beberapa perkara yang berlaku, sekaligus membuatkan sekumpulan tersebut menjumpai satu kapal perang terbiar di tengah laut.

Semestinya penceritaan permainan ini agak tipikal dan ianya bukanlah sesuatu yang negatif memandangkan permainan ini masih lagi menyertakan bentuk naratif bercabang dengan pelbagai pengakhiran. Meskipun begitu, ianya tidaklah menyertakan sebarang bentuk penceritaan baharu dan kebanyakan pengakhirannya berasa sangat hambar.

Atas kertas, permainan ini sememangnya boleh dikatakan satu permainan yang ingin kembali menjadi seakan permainan Supermassive Games sebelum ini iaitu Until Dawn yang mana ianya menyertakan cabang penceritaan yang pelbagai dengan pelbagai watak-watak yang menarik. Namun, penulisan Man Of Medan agak mengecewakan di mana terdapat beberapa plot yang tidak masuk akal di campur dengan perubahan resolusi watak secara mendadak.

Antara aduan utama berkenaan permainan ini adalah penceritaannya sendiri di mana ianya sememangnya mempunyai misteri yang sangat menarik pada awal penceritaan. Namun, sepanjang dua setengah sesi permainan saya, penceritaan permainan ini tidak langsung memberi sebarang konklusi yang menarik, malah plotnya agak membosankan. Ini kerana, permainan ini secara asasnya mempunyai satu cabang utama sahaja dari segi bentuk naratif.

Ini sekaligus membuat saya untuk mengulang bermain semula permainan ini berasa agak tidak berbaloi kerana misteri utama sudah pun diselesaikan melalui sesi permainan pertama saya. Apabila saya mainkan sesi kedua saya, ianya masih mengekalkan misteri yang sama, namun pengakhiran berbeza lain hanya berdasarkan watak yang masih hidup.

Selain itu, terdapat juga saat di mana plot bertukar secara tiba-tiba yang mana ianya berasa agak janggal di sesetengah bahagian permainan tersebut. Ini juga merosakkan beberapa sikap dan penulisan watak-watak yang mana ianya terus berasa permainan ini tidak masuk akal.

Untuk mengeruhkan keadaan lagi, penceritaan permainan ini juga berasa agak lama dan melarut yang mana terdapat saat di mana watak-watak tersebut mengambil keputusan yang sangat bodoh dan ianya membuatkan penceritaannya meleret lebih panjang dan sangat membosankan.

Ini dapat dilihat ketika saat di mana sekumpulan kawan tersebut tiba di kapal perang terbiar tersebut yang mana mereka mempunyai pilihan untuk melarikan diri ataupun bersembunyi. Namun, mereka mengambil keputusan untuk terus meneroka kapal tersebut yang mana pasti akan memberi risiko yang lebih tinggi dan ia semestinya taktik tipu untuk pembangun untuk menambahkan dan memanjangkan plot permainan ini yang mana membuahkan hasil yang sangat mengecewakan.

Walaupun begitu, konsep pilihan yang pelbagai dengan pengakhiran yang banyak perlu dipuji buat Supermassive Games yang mana semestinya setiap pilihan pemain, termasuklah pilihan kecil pasti akan memberi kesan buat permainan tersebut. Ini juga membuat pembangun sangat teliti dengan beberapa kandungan secara teperinci. Akan tetapi, ianya masih tidak berjaya untuk memberi satu pengalaman naratif yang menarik buat saya.

Grafik

Dari segi grafik, boleh katakan Supermassive Games sememangnya tidak mengecewakan saya dari segi rekaan watak dan juga visual persekitaran permainan yang mana saya boleh katakan ianya adalah setanding dengan permainan Until Dawn oleh mereka sebelum ini.

Namun, ianya masih lagi mempunyai beberapa masalah seperti pepijat lain yang mana sedikit mencacatkan keseluruhan visual permainan ini dan ianya menyebabkan pengalaman immersif permainan ini menjadi sangat mengecewakan. Antara masalah utama adalah tekstur yang lambat dimuatkan, dan ianya merosakkan persekitaran permainan tersebut dan membuatnya berasa janggal.

Selain itu, riak wajah ekspresi watak-watak di dalam permainan ini juga berasa agak pelik di mana terdapat beberapa adegan yang dimainkan dengan baik. Namun, terdapat juga beberapa adegan permainan yang mempamerkan riak wajah yang sangat janggal sehingga membuatkan permainan ini berasa tidak lengkap.

Selain itu, permainan ini juga terdapat beberapa masalah dari segi objek-objek model yang sering berlanggar antara satu sama lain yang menyebabkan “clipping” antara model-model tersebut. Meskipun masalah tersebut tidak merosakkan pengalaman permainan, namun sedikit sebanyak ianya juga menyebabkan beberapa adegan menjadi perlahan akibat kadar bingkai sesaat yang sering jatuh. Terdapat juga beberapa saat di mana adegan permainan akan terus beku dan memerlukan beberapa saat untuk ianya dimuatkan semula.

Meskipun begitu, pengalaman permainan saya ini adalah berdasarkan sesi permainan dengan menggunakan konsol Playstation 4 Pro. Saya percaya ianya mungkin adalah lebih baik jika dimainkan di konsol Xbox One X ataupun di PC.

Walaubagaimana pun, saya perlu puji beberapa elemen sinematografi yang dihasilkan buat permainan ini yang mana ianya sering memaparkan adegan-adegan dalam bentuk tayangan sangan menarik dan kreatif. Kesan daripada sinematografi tersebut juga membuahkan beberapa elemen seram yang sangat berkesan dan mengejutkan.

Ini juga merupakan satu aspek peningkatan berbanding permainan mereka sebelum ini yang mana The Dark Pictures: Man Of Medan ini berasa seolah satu filem seram dengan arah kamera yang seakan filem seram bertarafkan Hollywood.

Audio

Dari segi aspek audio, semestinya perkara pertama saya akan tekankan adalah pelakon suara latar di dalam permainan ini yang mana pada pendapat saya, kesemuanya melakonkan dengan baik sekali.

Terutamanya watak-watak utama di dalam permainan ini termasuklah watak Shawn Ashmore yang mana beliau sebelum ini terkenal sebagai watak Jack Joyce dari permainan Quantum Break. Melalui Man Of Medan ini, beliau sememangnya melakonkan watak Conrad dengan baik sekali, walaupun terdapat beberapa adegan yang merosakkan resolusi watak secara tiba-tiba. Namun, masalah tersebut adalah masalah penulisan, dan tidak berkaitan dengan persembahan beliau di dalam permainan ini.

Manakala bagi watak-watak seperti Kareem Alleyne, Chris Sandiford, Arielle Palik dan Ayisha Issa juga mempersembahkan dengan baik sekali yang mana pada pendapat saya ianya bertarafkan seakan kualiti lakonan bertarafkan filem.

Dari segi muzik latar pula, sememangnya pengalaman permainan seram di dalam Man Of Medan diterjemahkan dengan baik melalui pelbagai muzik-muzik yang menyeramkan dicampur beberapa muzik mengejut untuk adegan-adegan kejutan.

Tambahan itu, konsep audio kesukaan saya semestinya bunyi bisikan-bisikan hantu ketika pemain meneroka kapal perang terbiar tersebut yang mana bukan sahaja memberi pengalaman menyeramkan dan menakutkan, malah ianya juga membuatkan permainan ini berasa lebih immersif. Saya juga menyukai beberapa kesan audio gema yang terdapat di dalam permainan ini yang mana ianya dihasilkan dengan baik sekali ketika pemain berada di lokasi yang tertutup.

Secara keseluruhan untuk audio, saya boleh katakan Supermassive Games tidak mengecewakan saya dan saya akui pasukan yang terlibat dengan pembangunan audio permainan sememangnya sangat berbakat dalam menghasilkan pengalaman seram yang setaraf dengan permainan mereka sebelum ini.

Kawalan

Apabila bercakap berkenaan kawalan pula, permainan ini sememangnya agak mengecewakan memandangkan ianya tidaklah mempunyai elemen-elemen permainan beraksi, malah seperti kebanyakan permainan bergenre ini, ianya banyak menyertakan elemen QTE (Quick Time Event) yang mana pada pendapat saya agak mengecewakan.

Semestinya saya sendiri tidak berharap untuk mempunyai sebarang elemen permainan beraksi lain, namun setelah bermain permainan seperti Detroit: Become Human sebelum ini, taraf dan bentuk permainan QTE yang terdapat di dalam permainan ini agak menghampakan.

Ini kerana, elemen-elemen QTE yang terdapat di dalam permainan ini agak janggal dan tidak masuk akal. Contohnya adalah saat di mana pemain perlu menahan nafas daripada ditemui oleh musuh, pemain perlu menekan butang tepat pada masa degupan jantung, yang mana pada pendapat saya agak menyusahkan dan langsung tidak memberi sebarang konsep permainan yang menarik. Dari segi aspek QTE lain seperti menumbuk ataupun mengutik barang juga berasa agak pelik dan tidak langsung memberi sebarang pengalaman permainan yang seronok dan ianya seolah diletakkan sebagai kerja minit akhir pembangun sahaja.

Selain itu, aspek pemilihan dialog dan juga tindakan juga sangat penting di dalam permainan ini yang mana kesilapan kecil akan mengubah keseluruhan permainan tersebut yang mana pada pendapat saya agak menjengkelkan kerana pemain tidak berupaya untuk patah balik dan sambung semula seperti Detroit: Become Human.

Sekaligus, setiap pilihan pemain pasti akan memberi kesan kekal sama ada baik ataupun buruk buat keseluruhan permainan dan untuk mengetahui sama ada pilihan pemain itu buruk atau pun tidak, pemain perlu bermain berulang kali untuk melihat kesan tersebut. Contohnya, terdapat pilihan ketika awal permainan akan memberi kesan pada penghujung permainan. Yang mana untuk membetulkan tindakan itu, pemain perlu ke bahagian tersebut dan bermain semula keseluruhan permainan dari saat itu untuk melihat sama ada pilihan pemain terkesan ataupun tidak.

Dari segi aspek kawalan yang lain, permainan ini sedikit sebanyak adalah seakan permainan Until Dawn yang mana pemain juga akan perlu menjaga hubungan antara watak-watak di mana pilihan dialog interaksi antara watak akan menghasilkan ciri-ciri watak pemain sama ada mereka rapat antara satu sama lain ataupun tidak.

Selain itu, pemain juga akan menemui bayangan masa hadapan yang dipanggil “Premonition” yang mana seperti Until Dawn, ianya adalah petua-petua buat pemain ketika membuat pilihan. Bayangan-bayangan tersebut boleh dilihat apabila pemain menerokai dunia permainan tersebut dengan melihat gambar ataupun lukisan yang terdapat di dalam permainan ini.

Bercakap berkenaan bayangan tersebut, pemain juga berupaya untuk bergerak secara bebas dan meneroka lokasi-lokasi permainan tersebut. Ini membenarkan pemain untuk berinteraksi dengan barangan-barangan untuk mencari klu dan sebagainya. Namun, kawalan ketika penerokaan ini agak menyusahkan memandangkan terdapat sesetengah bahagian permainan menggunakan kamera statik, sekaligus ketika kamera tersebut berubah, pergerakan juga akan berubah dan membuatkan pemain mungkin akan tertoleh ke arah berlainan.

Permainan ini juga mempunyai bentuk multi-pemain yang mana ianya terbahagi kepada dua iaitu bentuk multi-pemain secara atas-talian dan juga secara setempat. Meskipun begitu, fungsi atas-talian tidak langsung berjaya dicuba oleh saya kerana saya tidak menjumpai pemain ketika saya mencubanya.

Namun dari segi aspek setempat pula, Man Of Medan menyertakan satu bentuk yang dipanggil “Movie Night” yang mana ianya hanya memerlukan satu alat kawalan sahaja dan pemain akan berkongsi alat kawalan tersebut dengan pemain lain, mengikut watak pilihan pemain pada awal permainan tersebut. Konsep ini sememangnya menarik, terutamanya buat mereka yang ingin bermain secara berparti antara dua hingga lima pemain.

Kesimpulan

Jika ingin dibandingkan dengan permainan Supermasive Games sebelum ini iaitu Until Dawn, sememangnya Man Of Medan mempunyai beberapa elemen yang dibaik-pulih seperti elemen sinematografi yang sangat menawan di campur rekaan watak dan persekitaran yang sangat menawan.

Namun, ianya terbantut dengan masalah prestasi permainan bersama-sama dengan penulisan penceritaan naratif bercabang yang agak berterabur dan meleret, membuatkan pengalaman seram permainan menjadi bosan. Untuk memburukkan lagi, misteri penceritaan yang boleh diselesaikan dengan satu sesi permainan sahaja, membuat permainan ini lagi tidak berbaloi untuk dimainkan berulang kali, walaupun ianya mempunyai pelbagai pengakhiran.

Semestinya perkara tersebut tidak cukup untuk membuahkan satu pengalaman permainan yang menyeronokkan malah sesi permainan menjadi sangat hambar dengan hanya elemen-elemen kejutan seram sahaja.

Pada penghujung permainan ini juga, Bandai Namco mengacahkan permainan seterusnya buat koleksi The Dark Pictures Anthology iaitu Little Hope dan ia akan dilancarkan tahun hadapan yang mana kami berharap mereka akan tingkatkan kualiti permainan tersebut untuk lebih baik berbanding permainan ini.

Penafian: Kod Ulasan The Dark Pictures: Man Of Medan disediakan oleh Bandai Namco

Sohor Kini