Homeworld merupakan permainan strategi masa-nyata berdasarkan peperangan di angkasa. Homeworld pertama kali dikeluarkan pada tahun 1999 dan diikuti Homeworld 2 yang dikeluarkan pada tahun 2003. Ia dibangunkan oleh Relic Entertainment dan diterbitkan oleh Sierra Studios.
Relic Entertainment kemudiannya diambil alih oleh THQ, akan tetapi IP Homeworld pada masa itu dimiliki oleh Sierra Studios yang membuatkan ia tidak menerima permainan baharu. Pada tahun 2007, THQ mengambil alih IP Homeworld, tetapi pembangunan untuk sekuel sering tergendala.
Sehinggalah pada tahun 2013, THQ mengalami masalah kewangan dan terpaksa menjual syarikat serta IP mereka, Sierra Studios dijual kepada SEGA manakala IP Homeworld dijual kepada Gearbox Software.
Gearbox tidak mengambil masa yang lama untuk menghidupkan kembali Homeworld apabila mengeluarkan Homeworld Remastered (menyertakan Homeworld, dan Homeworld 2) pada tahun 2015.
Minggu lepas, di acara PAX West, Gearbox telah mengumumkan yang Homeworld 3 sedang dibangunkan dan turut berkongsi video acah pengumuman yang kami sertakan di atas.
Ia akan dibangunkan oleh Blackbird Interactive iaitu syarikat pembangun yang bertanggungjawab membangunkan Homeworld Remastered. Walaupun, disokong oleh Gearbox sendiri, tampaknya mereka tetapi menjadikan biayasama sebagai sebahagian daripada sumber dana.
Menurut penulisan di laman biayasama Fig.com, mereka memilih untuk menggunakan biayasama terutamanya melalui Fig kerana mereka percaya yang ia dapat membantu untuk lebih mengeratkan lagi pembangun dan pemain. Tambahan lagi, mereka mengatakan komuniti Homeworld adalah komuniti yang positif.
Semasa penulisan ini, ia telah mengutip sebanyak $493 ribu (~RM2 juta) dan kempen biayasama tersebut akan berlangsung selama hampir sebulan lagi.
Permainan tersebut masih di awal pembangunan dan menurut laman Fig, permainan tersebut dijangkakan akan tiba pada suku keempat tahun 2022.
[info]FIG: Homeworld 3[/info]