No Straight Roads merupakan permainan pertama oleh Metronomik iaitu pembangun permainan daripada Malaysia di bawah Wan Hazmer dan Daim Dziauddin yang mana sering kami kongsikan sebelum ini di Aksiz.

Permainan aksi pengembaraan berdasarkan rentak muzik tersebut sebelum ini disahkan akan dilancarkan di PC dan Playstation 4 sekitar awal tahun hadapan dan kini, Metronomik mengumumkan bahawa versi PC buat permainan tersebut akan dilancarkan secara eksklusif di Epic Games Store.

Menurut Metronomik, kerjasama bersama Epic Games sememangnya akan membantu mereka dari segi kewangan untuk menerbitkan permainan tersebut kelak tahun hadapan. Pada masa yang sama, mereka juga amat bergembira dengan sokongan oleh Sold Out untuk menerbitkan permainan tersebut secara fizikal dan digital secara global.

Metronomik juga menyatakan bahawa mereka ingin menghasilkan satu permainan yang akan disukai ramai buat pemain di seluruh dunia yang mana dengan kerjasama ini, mereka pasti akan melancarkan permainan tersebut dengan kandungan dan kualiti yang bagus.

Kami dengan ini juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya buat Metronomik atas kerjasama bersama Epic Games. Kami sendiri di Aksiz juga tidak sabar untuk bermain permainan ini menjelang tahun hadapan dan pasti akan kami kongsikan sebarang informasi lanjut berkenaannya setelah ia diumumkan kelak.

Sohor Kini