Skip to main content

Menurut laporan Polygon, sebuah syarikat iaitu LCG Entertainment telah membeli aset yang ditinggalkan oleh Telltale Games yang ditutup tahun lepas. Mereka merancang untuk mengembalikan studio pembangun Telltale Games dan ingin menjual kembali permainan-permainan keluaran mereka.

LCG Entertainment akan menjadikan Athlon Games iaitu sebuah syarikat penerbitan untuk menjaga bahagian penjualan dan edaran. Ia juga dikatakan telah menerima pelaburan daripada orang industri seperti Chris Kingsley(Rebellion), Lyle Hall(Heavy Iron) dan Tobias Sjögren(Starbreeze).

Telltale Games yang akan dihidupkan semula ini akan diketuai oleh Jamie Ottilie dan Brian Waddle. Ottilie merupakan pengasas kepada Galaxy Pest Control yang mengeluarkan permainan berdasarkan IP-IP siri TV antaranya Duck Dynasty dan Power Rangers.

Manakala Waddle berpengalaman bekerja sebagai penjualan dan pemasaran untuk Havok. Kedua-dua mereka tidak pernah terlibat dengan Telltale Games sebelum ini.

Berdasarkan temubual bersama dengan Polygon, Ottilie mengatakan antara IP yang diperoleh melalui pembelian ini adalah The Wolf Among Us, Batman dan Puzzle Agent.

IP The Walking Dead iaitu permainan yang boleh dikatakan sebagai batu asas untuk Telltale Games bukan sebahagian daripada pembelian tersebut kerana ia sudah dimiliki oleh Skybound Games. Sama juga Stranger Things, di mana ia dimiliki oleh Netflix.

Manakala IP lain seperti Borderlands, Game of Thrones, Guardians of the Galaxy dan Minecraft tidak diketahui lagi. Hampir kesemua IP tersebut merupakan jenama yang asalnya dimiliki oleh syarikat lain, jadi tidak pasti jika Telltale Games baharu ini dibenarkan untuk terus menggunakan IP tersebut.

Mengenai permainan baharu, Ottilie mengatakan yang mereka akan mengekalkan konsep episod seperti permainan-permainan sebelum ini. Namun, dengan tidak menyertakan pembangun-pembangun asal, agak sukar untuk menerima syarikat Telltale Games ini sebagai Telltale Games yang pernah kita sukai dahulu.

Ottilie ada mengatakan yang mereka akan menawarkan pekerjaan sebagai ‘freelance’ dengan peluang untuk dijadikan sebagai pekerja sepenuh masa kepada bekas-bekas pembangun di Telltale Games yang dahulu.

Dengan masa yang sudah lama sejak Telltale Games ditutup, agak sukar untuk memikirkan yang bekas pekerja-pekerja masih tidak mempunyai pekerjaan yang lain, dan jika sudah bekerja, kemungkinan besar mereka tidak akan menerima tawaran sebagai ‘freelance’. Beberapa bekas Telltale Games juga telah membuka studio baharu iaitu AdHoc Studio.

Buat masa ini masih sukar untuk menentukan sama ada ia akan mengembalikan kegemilangan Telltale Games ataupun tidak, namun ia sesuatu yang kita sama-sama perhatikan.

Leave a Reply