Tahun ini sahaja kita sudah lihat banyak filem aksi-nyata Disney yang diolah semula daripada filem animasi klasik. Kita ada Dumbo, Aladdin dan kemudiannya yang paling baru, The Lion King. Terdapat banyak lagi filem aksi-nyata lain yang telah Disney rancang dan akan disiarkan dan ditayangkan pada tahun ini dan tahun hadapan.

Saya sebut ‘akan disiarkan’ kerana salah satu filem aksi-nyata yang Disney rancang tidak akan ditayangkan di pawagam. Sebaliknya hanya boleh distrim melalui platform penstriman video Disney+. Filem ini adalah Lady and the Tramp. Filem animasi asal ditayangkan pada tahun 1955. Video acah buat filem ini baru sahaja Disney terbitkan di acar D23 pagi tadi.

Ia adalah filem romantik mengisahkan dua ekor anjing spesis Cocker Spaniel. Si betina bernama Lady dan si jantan bernama Tramp. Ia akan mengisahkan pengembaraan romantik dua ekor anjing ini di jalanan di sebuah bandar. Sudah tentu, adegan yang ikonik memakan spaghetti dan ‘tercium’ turut akan disertakan.

Menjadikan filem ini lebih menarik adalah, semasa penggambaran filem ini berlangsung – dua ekor anjing sebenar digunakan. Ia bukannya 100% CGI seperti The Lion King. Suara bagi watak Lady adalah Tessa Thompson, manakala Tramp pula adalah Justin Theroux. Filem ini boleh distrim secara terus selepas Disney+ dilancarkan pada 12 November nanti.

Sohor Kini