Dua tahun lepas, Microsoft mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan permainan Age Of Empire IV, iaitu permainan seterusnya buat siri tersebut.
Terkini menurut laporan PCGamesN, Aaron Greenberg pengurus pemasaran Xbox menyatakan bahawa mereka akan berkongsikan informasi lanjut dan juga bentuk permainan Age Of Empire IV secara rasmi menjelang November ini, di acara komuniti Xbox, XO19.
Seperti anda sedia maklum, acara XO19 akan berlangsung pada 14 hingga 17 November ini di London yang mana ianya akan menempatkan pelbagai pameran dan pengumuman buat konsol Xbox One, sebagai salah satu acara komuniti terbesar buat Microsoft.
Dengan pengumuman Age Of Empire IV dua tahun lepas, sudah pasti ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan permainan tersebut. Meskipun begitu, bagi anda yang tidak sabar untuk bermain permainan Age Of Empire, Microsoft juga telah pun melancarkan permainan pernambah-baikkan Age Of Empire pertama, diikuti Age Of Empire II: Definitive Edition yang bakal hadir November ini.