E3 2019 lepas, Ubisoft mengumumkan secara rasmi Watch Dogs Legion akan dilancarkan awal tahun hadapan yang mana ianya sekali lagi akan memfokuskan dunia berteknologi dengan bentuk permainan dunia terbuka dan memfokuskan bandaraya London.

Terkini, bersempena dengan acara Gamescom 2019 yang berlangsung hari ini, Ubisoft berkongsi satu video khas yang memperlihatkan konsep permainan yang menyertakan pelbagai jenis watak.

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Watch Dogs Legion menyertakan konsep bermain sebagai sesiapa yang mana kesemua watak yang terdapat di dalam permainan ini boleh dimainkan dan direkrut sebagai pemain.

Berdasarkan video acah yang diperlihatkan di atas, Ubisoft juga memperlihatkan sebilangan jenis watak yang mana setiap satunya mempunyai kemahiran berbeza, termasuklah seorang watak lelaki tua yang akan mati secara tiba-tiba dalam waktu yang rawak.

Video acah tersebut juga memperlihatkan sebilangan gajet-gajet yang berbeza dengan pelbagai pengubah-suaian kostum yang berbeza dan sebilangan kemahiran-kemahiran yang pemain boleh dapatkan.

Watch Dogs Legion akan dilancarkan pada 6 Mac 2020 ini di konsol Playstation 4, Xbox One, Stadia dan juga PC.

Sohor Kini