Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Bandai Namco akan melancarkan permainan perlawanan berdasarkan siri anime terkenal, One Punch Man. Semestinya seperti anda sedia maklum, watak One Punch Man ataupun Saitama itu sendiri sememangnya sangat berkuasa yang mana beliau hanya menggunakan satu tumbukan sahaja untuk menewaskan musuh-musuh di dalam siri anime tersebut.
Terkini, melalui video acah baharu yang diperlihatkan sempena acara Gamescom 2019 minggu ini, Bandai Namco memperlihatkan sistem ketibaan adiwira Saitama, yang mana ianya tampaknya memainkan peranan penting buat mekanik permainan perlawanan tersebut.
Berdasarkan video acah yang diperlihatkan, Saitama tampaknya tidak boleh digunakan sebagai watak pilihan utama namun beliau bakal hadir dan membantu pemain setelah tempoh masa yang ditetapkan tamat.
Ini sekaligus memperlihatkan sistem ketibaan adiwira Saitama yang mana ianya seolah mengimbangkan bentuk permainan tersebut supaya pemain diberi peluang untuk bermain sebagai adiwira lain, sebelum menggunakan watak Saitama untuk menumpaskan musuh dengan satu tumbukan sahaja.
Meskipun begitu, buat masa ini sistem ini tidak disahkan akan menjadi sistem utama buat keseluruhan permainan tersebut dan kami percaya untuk memastikan keseimbangan permainan perlawanan ini, mekanik ini perlu dilaksanakan dengan baik.
Juga di dalam video acah yang sama, Bandai Namco juga memperlihatkan watak adiwira Tatsumaki, Silver Fang dan Atomic Samurai yang mana juga bakal tiba sebagai watak yang boleh dimainkan.
One Punch Man: A Hero Nobody Knows bakal dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Dari segi tarikh pelancaran, Bandai Namco masih belum mengumumkannya.