Skip to main content

The Surge 2 merupakan permainan seterusnya untuk siri The Surge oleh Deck13 Interactive, ia sudah diumumkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC dan akan tiba pada 24 September 2019.

Focus Home Interactive hari ini berkongsi satu video acah permainan tersebut yang memfokuskan pengubahsuaian exo-suit yang akan dipakai oleh pemain.

Ia membawa kembali sistem modular untuk exo-suit tersebut di mana pemain boleh memasang pelbagai bahagian berlainan yang boleh diambil daripada penjahat dengan menggunakan ‘limb targeting system’.

Exo-suit juga boleh ditingkatkan tahap untuk menambah kelajuan ataupun kekuatan. Ia akan menggunakan Core Power sebagai penentu jumlah penambahan yang boleh diletakkan di exo-suit. Ia penting untuk memastikan permainan menjadi seimbang.

Manakala untuk senjata pula, The Surge 2 menyertakan lebih 80 senjata berbeza daripada 9 jenis berlainan seperti baton dan juga lembing. Setiap senjata mempunyai kelajuan, kekuatan dan juga elemental berbeza.

Manakala untuk sistem pertahanan, pemain boleh mengelak, ia adalah sistem pertahan paling selamat tetapi menyukarkan pemain untuk melakukan serangan balas.

Bagi pemain yang lebih mahir mereka boleh menepis, yang kemudiannya diikuti dengan serang balas yang boleh membuatkan penjahat terhuyung-hayang dan membuka peluang untuk pemain melakukan serangan yang kuat.

Blok juga boleh digunakan dan setiap blok yang berjaya akan memberikan tenaga untuk digunakan di dalam serangan. Blok akan menggunakan stamina dan perlu dielak daripada digunakan secara berterusan.

Kesemua jenis pertahanan tersebut juga boleh digunakan bersama untuk memastikan sistem pertahanan yang efektif di dalam membantu pemain untuk menumpaskan penjahat.

Pemain juga akan mempunyai akses kepada dron yang boleh disertakan dengan pelbagai kebolehan seperti bom EMP, penembak laser, magnet dan rifel. Ia juga boleh digunakan untuk aktiviti sosial, seperti melukis grafiti.

Jika anda ingin menonton video perkongsian tersebut, kami sertakan di bawah.

Leave a Reply