Sebelum ini, Bandai Namco mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan permainan One Piece: Pirate Warriors 4 di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC menjelang tahun hadapan.
Terkini bersempena acara Gamescom 2019 yang berlangsung minggu ini, Bandai Namco mempertontonkan satu lagi video acah baharu buat permainan tersebut yang mana mereka memperlihatkan bahagian “Whole Cake Island” yang diperlihatkan di dalam anime One Piece tahun lepas.
Melalui bahagian Whole Cake Island, penceritaan permainan tersebut akan memfokuskan pertelingkahan antara Luffy dan Sanji di mana ianya akan menyertakan sebilangan adegan-adegan ikonik seperti perkahwinan Sanji dan Pudding dan juga beberapa watak tambahan seperti Germa 66 dan ketua musuh Big Mom.
Siri One Piece: Pirate Warriors semestinya adalah salah satu siri permainan yang sangat terkenal di mana siri tersebut mula dilancarkan pada 2012 dan telah pun terjual melebihi 4 juta salinan secara global. Dengan bentuk permainan aksi pengembaraan, Koei Tecmo dan Omega Force kali ini pasti akan membawa kembali permainan ini dengan pelbagai bentuk permainan baharu bersama-sama watak dari siri one Piece dengan pelbagai jenis kemahiran pertempuran yang menarik.
Menurut Bandai Namco, permainan ini akan dilancarkan pada sekitar tahun 2020 ini dan ianya akan menyertakan sari kata bahasa Inggeris dan suara latar bahasa Jepun. Bandai Namco juga mengesahkan bahawa permainan ini akan dilancarkan secara rasmi buat pasaran Malaysia.