Bersempena dengan Piala Malaysia 2019, iaitu kejohanan bola sepak negara yang berlangsung bulan ini, Malaysian Football League (MFL) kini mengumumkan satu kejohanan e-sukan, E-Piala Malaysia yang mana ianya adalah kerjasama bersama Gamesbond Global Sdn Bhd.
Menurut pengarah urusan Gamesbond, Muhammad Fazli Razak menyatakan kejohanan tersebut akan memfokuskan permainan FIFA 20 yang bakal tiba September ini dan senarai pendek untuk pemilihan pemain-pemain telah pun dilakukan berdasarkan carta rasmi antarabangsa terkini pencapaian pemain.
Ketua pegawai eksekutif MFL, Kevin Ramalingam juga menyatakan bahawa dengan berkembangnya arena e-sukan di Malaysia, mereka semestinya ingin memberi peluang buat generasi muda untuk menyertai kejohanan sebagai satu kerjaya buat mereka di samping menyediakan wang hadiah yang lumayan seperti kejohanan yang diadakan di luar negara.
Menariknya sekali, beliau juga menyatakan bahawa pada masa akan datang, mereka juga berminat untuk mengadakan kejohanan ini seiring dengan Piala Malaysia.
Sememangnya dengan pelbagai kejohanan e-sukan yang diperkenalkan di Malaysia, e-sukan bukan sahaja semakin berkembang malah ianya sudah mula menjadi satu kerjaya di Malaysia. Kami di Aksiz pasti akan mengemaskini sebarang informasi lanjut setelah pihak MFL mengumumkannya kelak.