Lanjutan tertirisnya permainan seterusnya buat siri Need For Speed awal hari ini, EA kini mengumumkan secara rasmi permainan Need For Speed: Heat yang mana ianya bakal tiba 8 November 2019 ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC melalui Origin.

Menariknya, bagi anda yang mempunyai langganan EA Access ataupun Origin Access, anda berupaya untuk mencuba dan bermain selama 10 jam bermula 5 November ini.

Need For Speed: Heat dibangunkan oleh Ghost Games dan dilancarkan oleh EA. Ianya merupakan permainan perlumbaan seterusnya buat siri Need For Speed yang mana sekali lagi permainan ini akan memfokuskan bentuk perlumbaan jalanan dengan pelbagai pengubah-suaian kenderaan dicampur dengan bentuk penceritaan yang mendalam.

Need For Speed: Heat akan meletakkan pemain di bandaraya Palm City, satu lokasi baharu dengan bentuk dunia terbuka di mana pemain akan berlumba di dalam Speedhunters Showdown di waktu siang dan setiap ganjaran yang diterima, pemain berupaya untuk membeli dan mengubah-suai kenderaan.

Manakala ketika malam pula, pemain akan perlumba secara haram yang mana pemain akan bertempur untuk berebut nilai “Rep” iaitu mata wang perlumbaan jalanan dan pada masa yang sama polis juga akan mengejar dan menangkap pemain, yang mana pasti akan memberi lebih banyak cabaran.

Menurut Riley Cooper, pengarah kreatif buat Ghost Games, Need For Speed: Heat akan menyertakan pelbagai pengubah-suaian buat pelumba bukan sahaja watak, malah kenderaan dengan pelbagai aspek pernaik-tarafan yang mendalam. Beliau juga menjanjikan bahawa permainan ke-16 buat siri Need For Speed ini pasti akan membawa kelainan buat peminat.

Selain itu, EA juga menyatakan bahawa mereka akan berkongsi video acah bentuk permainan Need For Speed: Heat menjelang acara Gamescom 2019 kelak yang bakal berlangsung minggu hadapan. Seperti biasa, kami akan mengemaskini jika terdapat sebarang informasi tambahan berkenaannya.

Sohor Kini