Tampaknya pengumuman yang bakal diumumkan oleh EA malam ini mungkin akan berlangsung dengan lebih awal di mana permainan seterusnya buat siri Need For Speed secara tidak sengaja tertiris di Internet.
Dengan nama Need For Speed: Heat, permainan tersebut tampaknya akan mempunyai bentuk dunia terbuka dan ianya dibangunkan oleh studio dari EA sendiri, iaitu Ghost Games di mana mereka juga bertanggung jawab untuk permainan Need For Speed sebelum ini seperti Need For Speed Payback.

Selain itu, Need For Speed: Heat juga dilaporkan akan memfokuskan lokasi Miami dengan bertemakan era 80an. Namun, berdasarkan imej acah yang diperlihatkan di atas, kami percaya ianya tidak akan bertempatkan pada tahun tersebut namun hanya mempunyai visual tema berdasarkan 80an sahaja.
Menariknya sekali, laporan juga mengesahkan permainan ini tidak memerlukan pemain untuk sentiasa berada di atas talian seperti permainan Need For Speed sebelum ini dan juga kandungan Speed Cards juga tidak akan disediakan. Namun dari segi bentuk permainan lain, seperti berlumba dan mengejar kenderaan polis, ianya akan kembali.
Seperti yang dijanjikan oleh EA sebelum ini, permainan ini dikatakan akan dilancarkan tahun ini. Walaubagaimana pun, kami di Aksiz pasti akan mengemaskini sebarang informasi lanjut berkenaan permainan ini setelah ianya diumumkan malam ini.