Skip to main content

Borderlands boleh dikatakan sebagai permainan terawal yang membawa genre Looter Shooter jika tidak yang pertama, sebelum hadirnya permainan lain seperti Warframe, Destiny dan The Division.

Manakala bagi saya, genre ini masih baharu dan saya mempunyai dua pengalaman berbeza sebelum ini iaitu sangat menyukai The Division 2 tetapi tidak untuk Anthem.

Take Two dan 2K hari ini telah memberi peluang kepada saya untuk mencuba sedikit kandungan Borderlands 3 iaitu permainan seterusnya bagi siri Borderlands yang dibangunkan oleh Gearbox Software. Ia akan tiba secara rasmi bulan hadapan.

Jika anda ingin tahu serba sedikit mengenainya, melalui pandang pertama ini saya akan memfokuskan kepada tiga bahagian iaitu penceritaan dan watak, bentuk permainan serta grafik.

Oleh kerana pengalaman saya bermain Borderlands sebelum ini agak terhad, jadi saya tidak akan membandingkan antara permainan-permainan tersebut sebaliknya akan menerangkan berdasarkan permainan ini sendiri dan mungkin sedikit perbandingan dengan looter shooter yang lain terutama The Division 2 dan Anthem.

Seperti biasa, ini adalah pandang pertama dan ia mungkin tidak menggambarkan keseluruhan pendapat saya mengenai permainan ini, dan semasa mencubanya saya berkesempatan untuk melakukan satu misi permulaan menggunakan watak Fl4k dan satu misi menggunakan watak Moze.

Penceritaan

Selain mencuba permainan Borderlands 3, saya juga berkesempatan untuk melakukan temubual bersama dengan pengarah kreatif untuk Borderlands 3 iaitu Paul Sage. Soalan pertama yang saya tanyakan adalah, jika dibandingkan dengan permainan looter shooter yang lain, apa yang membuatkan Borderlands 3 unik atau lebih baik.

Beliau menyatakan 4 perkara, tetapi 2 daripadanya adalah tone dan watak yang disertakan di dalam permainan ini. Tambah beliau, tone dan juga watak di dalam Borderlands sentiasa mempunyai keunikan tersendiri, ia lebih seronok tetapi masih rasa asli. Sesuatu yang permainan lain tidak dapat mengikut.

Untuk perkara tersebut, saya bersetuju. Pada permulaan permainan menggunakan watak Fl4k, saya terus berinteraksi dengan Claptrap, iaitu watak yang sudah semestinya dikenali oleh pemain Borderlands. Daripada interaksi ringkas tersebut saya sudah merasakan satu pengalaman yang berbeza jika ingin dibandingkan dengan The Division 2 ataupun Anthem.

Saya sekadar mencuba sedikit bahagian awal, dan sedikit pertengahan permainan, jadi saya tidak boleh menulis mengenai penceritaan yang akan disertakan, tetapi ia akan menyertakan 2 watak jahat baharu iaitu Calypson Twins dan tidak sekadar berlaku di Pandora sahaja tetapi di beberapa planet yang lain.

Tone seperti yang dikatakan oleh Paul Sage juga menjadi kelebihan untuk permainan ini. Sepanjang melakukan misi, sentiasa ada jenaka yang akan diperkatakan oleh bukan sahaja Claptrap tetapi juga watak lain seperti AI, BALEX yang mendapat nama kerana perekanya tidak dapat memilih di antara nama Barry ataupun Alex. Watak tersebut disuarakan oleh penyanyi Rap dan juga ‘gamer’ iaitu Ice-T.

Lebih menarik, watak yang anda kawal juga akan memulakan perbualan dan ia bukanlah satu suara di kepala anda yang bercakap dan watak anda sekadar berdiam diri, interaksi tersebut terasa asli dan sudah semestinya menjadi teman yang baik sepanjang melakukan misi.

Saya tidak boleh katakan sama ada penceritaan yang disertakan di dalam permainan ini adalah baik ataupun tidak sehinggalah saya mencuba permainan ini sepenuhnya, tetapi berdasarkan apa yang saya lihat secara terhad ini, ia akan menjadi satu penceritaan yang seronok yang penuh dengan gelak tawa.

Bentuk Permainan

Sebagai satu permainan looter shooter, sudah semestinya elemen ‘shooter’ adalah komponen utama di dalam permainan ini. Seperti permainan-permainan Borderlands yang lain, Borderlands 3 juga menyertakan berjuta pilihan senjata yang mempunyai kombinasi berbeza.

Semasa bermain watak Fl4k, ia adalah pada awal permainan dan masih lagi di bahagian pengenalan, saya hanya menggunakan dua senjata berbeza iaitu pistol dan shotgun. Semasa menggunakan watak Moze saya mempunyai 5 senjata berbeza.

Selain jenis senjata yang berbeza, ia juga mempunyai mod tembakan yang berbeza. Contohnya ada Pulsar yang anda boleh di-tukar untuk menembak menggunakan elemen elektrik ataupun kimia. Ada juga pistol yang jika anda ingin mengisi peluru, anda akan membaling pistol lama sebagai bom dan bahkan ia juga mempunyai kaki yang boleh membantu anda untuk menyerang. Ia juga boleh diletakkan di dinding sebagai turret.

Walaupun semasa bermain saya menjumpai pelbagai senjata, tetapi oleh disebabkan watak yang saya gunakan tidak mempunyai tahap yang mencukupi saya tidak dapat mencuba senjata-senjata tersebut, oleh disebabkan itu sebahagian daripada permainan ini iaitu ‘looter’ saya masih tidak sempat untuk mencuba sepenuhnya. Namun, berdasarkan apa yang dapat saya cuba, mencari dan menggunakan pelbagai jenis senjata adalah satu keseronokan utama untuk Borderlands 3.

Bahkan Paul Sage juga mengatakan yang loot di dalam permainan ini adalah perkara seterusnya yang membezakan Borderlands 3 dengan permainan-permainan looter shooter yang lain.

Selain senjata, setiap watak yang digunakan juga mempunyai kebolehan tersendiri, Fl4k mempunyai kebolehan untuk mengawal haiwan, Moze pula mempunyai robot yang boleh dikawal. Dua watak yang saya tidak sempat untuk cuba adalah Amara yang merupakan Siren dan Zane yang mempunyai kebolehan seperti menghasilkan klon sendiri.

Fl4k saya tidak sempat untuk mencuba dengan lebih mendalam, seperti menggunakan kebolehan mengawal haiwan tetapi saya merasakan ia akan menjadi se-epik watak Sofia di dalam John Wick 3. Manakala, Moze pula, ia memberi kelainan kepada pertempuran apabila mengawal robot yang digelar sebagai Iron Bear.

Iron Bear boleh ditetapkan untuk menggunakan senjata yang berbeza apabila mennyah-kunci kebolehan bagi Moze. Bergantung kepada pilihan pemain, ia akan menjadi kombinasi yang menarik di antara Moze dan Iron Bear, anda bagaikan mempunyai dua watak yang berbeza dan mungkin mempunyai kelebihan tersendiri bagi bertempur dengan lawan yang berbeza.

Selain daripada itu, saya tidak dapat memberi pandangan lanjut mengenai kebolehan untuk setiap watak, namun Paul Sage semasa sesi temubual yang sama mengatakan yang pemain Borderlands sebelum ini kebanyakan memilih untuk menggunakan satu watak sahaja. Oleh disebabkan itu, melalui Borderlands 3 mereka ingin memberi pelbagai kebolehan dan peluang untuk menjadikan satu watak tersebut unik bagi setiap pemain.

Jika anda ingin melihat keseluruhan kebolehan untuk setiap watak, Gearbox ada menyertakan melalui laman mereka yang anda boleh lawati menggunakan pautan ini.

Secara keseluruhan saya boleh katakan sangat menyukai bentuk pertempuran yang disertakan. Ia adalah pantas, dan jika anda pernah bermain permainan FPS oleh Bethesda seperti Wolfenstein ataupun DOOM ia menyertakan satu pengalaman yang sama, dengan kata lain ia adalah menyeronokkan dan memberi anda perasaan seperti seorang yang “badass“.

Bagi segi kawalan permainan pula, walaupun anda bermain di PS4, setiap butang boleh diubah mengikut kehendak pemain sendiri, dan berdasarkan percubaan menggunakan tetapan asal saya tidak mengalami sebarang masalah kecuali mengenai penukaran senjata.

Jika bermain di PS4 cara untuk menukar senjata adalah dengan menggunakan butang segi tiga, jika anda mempunyai lima senjata, anda perlu menekan beberapa kali untuk mendapatkan senjata tersebut. Ia agak menyusahkan terutama semasa sedang bertempur, saya sering terlepas senjata yang diinginkan.

Jika bermain di PC, ia tidak menjadi masalah kerana setiap slot senjata boleh ditetapkan di tempat yang berbeza, untuk PS4, melainkan anda menggunakan alat kawalan yang mempunyai lebihan butang, anda akan mengalami sedikit masalah. Ia juga boleh diselesaikan dengan menyertakan “weapon wheel”, tetapi buat masa ini Borderlands 3 tidak menyertakannya.

Semasa saya menggunakan watak Moze, saya merasakan tahap watak saya adalah lebih rendah berbanding watak-watak penjahat ataupun binatang di kawasan tersebut. Saya menghadapi sedikit kesukaran kerana setiap serangan yang terkena dapat menghilangkan kesemua shield yang ada. Namun, fungsi Crippled kembali lagi di dalam Borderlands 3, di mana apabila nyawa anda menjadi 0, anda akan Crippled tetapi masih boleh menembak, jika anda membunuh mana-mana watak ataupun penjahat, anda akan hidup semula melalui Second Wind.

Saya menyukai pengalaman bentuk permainan terutama pertempuran untuk Borderlands 3 semasa saya mencubanya, tetapi saya merasakan jika mengambil masa yang lebih lama untuk membentuk watak daripada awal dengan kebolehan tertentu, saya merasakan ia akan menjadi jauh lebih seronok dan saya tidak sabar untuk mencubanya.

Borderlands seperti permainan looter shooter yang lain adalah lebih seronok jika dimainkan bersama dengan rakan secara dalam talian. Saya tidak sempat untuk mencuba mod permainan tersebut, tetapi seperti dilaporkan sebelum ini, ia akan menyertakan pelbagai perubahan yang menjadikan mod koperasi lebih baik.

Antaranya adalah jika anda bermain bersama dengan rakan yang sudah mempunyai tahap yang tinggi, tahap anda akan disamakan dengan rakan anda. Ia fungsi yang sama dengan The Division 2 yang menjadikan anda satu tahap di bawah tahap tertinggi.

Selain itu, setiap pemain akan mendapat loot tersendiri, jadi tidak lagi perlu berebut untuk dapatkan loot seperti siri permainan Borderlands sebelum ini. Loot tersebut juga akan mengikut tahap asal pemain, jadi pemain yang tahap 10 tidak akan mendapat senjata yang memerlukan tahap 20 contohnya.

Borderlands 3 juga menyokong koperasi secara setempat melalui split-screen seperti Borderlands sebelum ini. Buat masa ini ia hanya disahkan untuk PS4 dan Xbox One sahaja, versi PC tidak disahkan lagi.

Grafik dan Prestasi

Jika bercakap mengenai Borderlands, walaupun saya tidak mempunyai pengalaman yang banyak bermain permainan bagi siri ini, tetapi grafik yang disertakan adalah antara perkara utama yang mudah untuk dicam sebagai ini adalah permainan Borderlands.

Paul Sage, apabila ditanya mengenai bagaimana pembaharuan dilakukan untuk grafik tetapi pada masa yang sama mengekalkan identiti siri tersebut, beliau berkongsi kata-kata pengarah seni untuk Borderlands 3 iaitu “Ia (Borderlands 3), akan nampak lebih baik, tetapi tidak akan nampak lebih baik berbanding ingatan pemain”.

Tambah beliau lagi, jika dilihat secara sebelah menyebelah, pemain akan menyedari perbezaan grafik yang disertakan di dalam Borderlands 3 berbanding permainan sebelum ini walaupun ia masih nampak seperti permainan Borderlands.

Penambah-baikkan dari segi pencahayaan dan Pyshical-Based Rendering (PBR) memberikan kualiti grafik yang lebih baik untuk permainan ini, kata beliau lagi. Bahkan beliau juga mengatakan yang jika pemain memilik TV ataupun monitor yang menyokong HDR, Borderlands 3 adalah permainan yang baik untuknya.

Saya secara peribadi semasa mencuba permainan ini, saya boleh katakan grafik yang disertakan adalah baik. Ia mempunyai keunikan tersendiri dan rekaan watak, serta persekitaran dilakukan dengan cukup baik, walaupun ada beberapa tekstur yang tidak jelas akan tetapi saya hanya sempat untuk melawat beberapa kawasan sahaja berbanding banyak lagi kawasan berbeza yang akan disertakan di dalam permainan ini (termasuk juga planet berlainan).

Satu perkara yang mungkin saya rasa boleh dipertingkatkan adalah rekaan penjahat, ataupun penggunaan warna, kerana sesetengah penjahat mempunyai warna seakan persekitaran yang membuatkan sukar untuk saya mengesannya dan terpaksa bergantung kepada peta kecil. Tidak pasti jika ia disengajakan, tetapi saya berharap penampilan penjahat dilakukan dengan lebih menyerlah.

Manakala untuk prestasi pula, saya mencubanya di PS4 Pro, dan prestasi yang disediakan cukup memuaskan. Seperti saya katakan sebelum ini, ia mempunyai pertempuran yang pantas, dan kelancaran permainan selari dengan kepantasan tersebut.

Borderlands 3 baru sahaja siap dibangunkan pada awal Ogos ini, dan permainan yang kami cuba merupakan binaan yang lebih awal berbanding versi yang akan dipasarkan kelak, oleh kerana itu, masalah seperti pepijat tidak dapat dielakkan.

Saya tidak mempunyai masalah dalam bentuk prestasi tetapi semasa berlawan dengan satu penjahat bernama GenIVIV di bahagian akhir bagi percubaan menggunakan watak Moze, GenIVIV tersangkut di satu tempat dan beliau tidak dapat bergerak. Ia memudahkan untuk saya menang tetapi saya tidak merasakan ia sepatunya berlaku.

Jika anda mati, ia juga mengambil sedikit masa untuk bermula kembali, saya berharap ia lebih dipercepatkan, kalau tidak, saya boleh katakan mati akan menjadi satu perkara yang lebih menjengkelkan.

Secara keseluruhan, saya boleh katakan kualiti grafik sudah cukup memuaskan untuk menjadi permainan terbaru bagi siri ini tetapi pada masa yang sama, ia terus mengekalkan identitinya. Manakala untuk prestasi pula, ia adalah di satu tahap yang sudah cukup baik. Beberapa masalah yang ada, mungkin akan diselesaikan apabila ia dikeluarkan secara penuh kelak.

Kesimpulan

Akhir kata, saya boleh katakan walaupun saya mencuba lebih kurang satu jam sesi permainan untuk Borderlands 3, apa yang ditawarkan sudah cukup untuk membuatkan saya ingin cuba dengan lebih mendalam. Terutama untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penceritaan serta watak yang akan disertakan dan juga untuk menjumpai pelbagai senjata serta membina watak dengan kebolehan pilihan sendiri.

Buat masa ini, tiada kepastian lagi bila ulasan penuh untuk Borderlands 3 akan dikeluarkan di Aksiz, tetapi saya boleh janjikan ia akan datang.

Borderlands 3 akan dilancarkan pada 13 September 2019 ini buat konsol Playstation 4, Xbox One dan PC melalui Epic Game Stores (buat sementara waktu).

Leave a Reply