Semasa FIFA 20 pertama kali diumumkan, mod baharu iaitu VOLTA yang jelas mengambil inspirasi daripada FIFA Street adalah antara mod yang menarik minat ramai pemain.
Melalui satu video acah baharu, EA berkongsi lanjut mengenai bentuk permainan bagi mod tersebut. Video tersebut berkongsi beberapa maklumat yang kita sudah tahu mengenai VOLTA, iaitu pemain boleh mereka watak sendiri dan menghias pakaian.
Ia juga akan menyertakan 17 padang yang berdasarkan beberapa tempat seperti London, Paris, Tokyo, Rio de Janeiro dan New York. Ia akan menyertakan mod perlawanan berbeza iaitu 3v3 (tanpa penjaga gol), 4 lawan 4, 4 lawan 4 (tanpa penjaga gol) dan juga Futsal biasa.
Tampaknya ia juga akan menyertakan tiga mod permainan berbeza iaitu VOLTA Tour, VOLTA Story dan VOLTA League. VOLTA Tour adalah mod permainan di mana anda akan lawan dengan pasukan yang dibina oleh pemain lain tetapi di kawal oleh AI.
Manakala VOLTA League adalah liga dalam talian di mana anda akan lawan dengan pemain lain untuk meningkatkan tahap liga pasukan. Manakala VOLTA Story adalah mod penceritaan yang memfokuskan pembinaan pasukan.
Seperti yang diharapkan, VOLTA juga akan menyertakan kawalan serta kemahiran yang berbeza berbanding permainan bola sepak. Ia akan memberi lebih ruang untuk pemain bermain dengan lebih bergaya.
FIFA 20 akan dikeluarkan pada 27 September 2019 untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.