Sesi percubaan beta buat permainan penembak Call Of Duty: Modern Warfare bakal tiba tidak lama lagi dan semestinya peminat siri Call Of Duty di luar sana tidak sabar untuk bermain permainan tersebut. Dengan kenyataan Activision berkenaan “olahan semula” buat siri Modern Warfare, semestinya permainan ini mendapat perhatian ramai.
Terkini, Coddy Johnson, Presiden Activision Blizzard menyatakan ketika sesi laporan kewangan syarikat tersebut bahawa permainan Call Of Duty: Modern Warfare akan menyertakan pelbagai kejutan buat peminat bukan sahaja dari segi visual, malah dari segi prestasi permainan tersebut.
Menariknya sekali, beliau juga menyatakan bahawa permainan tersebut akan mempunyai kandungan pasca-pelancaran terbesar buat siri Call Of Duty, dan menariknya sekali seperti yang dijanjikan oleh Activision sebelum ini, Call Of Duty: Modern Warfare tidak akan menyertakan sebarang pas musim dan segala kandungan tambahan akan dilancarkan secara percuma.
Semestinya ini adalah satu kenyataan yang menarik terutamanya buat mereka yang telah jemu membeli pas-pas musim di pelbagai permainan yang dilancarkan sejak baru-baru ini. Tambahan itu, dengan kandungan terbesar yang dinyatakan, semestinya permainan ini akan menjadi siri Call Of Duty yang sangat menarik buat mereka yang menyukai permainan bergenre sebegini.
Meskipun begitu, buat masa ini sebarang informasi lanjut berkenaan permainan tersebut masih belum dikongsikan. Malah bagi anda yang menanti sebarang bentuk mod pertempuran royale, Blackout seperti Call Of Duty: Black Ops 4, ianya belum disahkan lagi bakal tiba di dalam Call Of Duty tahun ini. Kami di Aksiz pasti akan mengemaskini jika terdapat sebarang pengumuman.
Selain itu, Infinity Ward juga berkongsi satu video khas yang memperlihatkan bentuk permainan multi-pemain bagi permainan ini dengan lebih lanjut.
Call Of Duty: Modern Warfare akan dilancarkan pada 25 Oktober ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.