Skip to main content

Salah satu permainan kesukaan saya sendiri ketika di konsol Nintendo DS semestinya adalah siri Cooking Mama yang mana permainan tersebut bukan sahaja mempunyai konsep permainan simulasi yang menarik bersama bentuk mini permainan yang mengasyikkan, malah ianya menyertakan pelbagai jenis resipi masakan yang boleh diguna pakai untuk masakan secara nyata.

Terkini melalui laporan Kotaku, tampaknya siri tersebut bakal kembali ke konsol Switch di mana penerbit permainan tersebut, Planet Digital Partners menyatakan permainan Cooking Mama kali ini adalah dalam bentuk olahan semula yang memfokuskan bentuk rantaian-blok.

Menurut laporan, bentuk rantaian-blok tersebut akan meletakkan setiap salinan permainan yang dimiliki oleh pemain adalah unik dan ianya juga akan mengembangkan lagi kandungan multi-pemain, ganjaran dan sebagainya, untuk mengembangkan lagi bentuk permainan tersebut. Menariknya sekali, ianya juga akan menggunakan sistem mata wang di dalam permainan dan akan menyertakan pelbagai acara dan ganjaran buat pemain. Meskipun begitu informasi lanjut berkenaannya masih belum diumumkan.

Selain itu, mod vegetarian juga disahkan bakal tiba buat mereka yang tidak ingin memasak masakan-masakan yang menggunakan sebarang daging dan ingin memfokuskan masakan vegetarian. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa permainan Cooking Mama kali ini juga menyertakan kawalan secara pergerakan.

Buat masa ini sebarang imej, mahupun informasi lain masih belum diumumkan. Namun, ianya disahkan bakal tiba sekitar tahun ini dengan nama rasmi permainan, Cooking Mama: Coming Home To Mama.

Leave a Reply