Dengan pelancaran permainan Gears 5 yang semakin hampir September ini, The Coalition iaitu pembangun buat permainan tersebut minggu ini mengumumkan bahawa Gears 5 kini sudah siap dibangunkan dan kini di dalam proses peredaran untuk dipasarkan.
Bersempena dengan pengumuman ini, pembangun juga berkongsi senarai pencapaian permainan ataupun trofi buat permainan tersebut yang mana anda boleh melihat senarai penuh tersebut di laman rasmi Xbox.
Matt Brody, iaitu ketua bagi Xbox Game Studios juga menyatakan bahawa Gears 5 merupakan permainan terbesar bagi siri tersebut di mana permainan ini bukan sahaja mempunyai sokongan resolusi 4k dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS, malah ianya juga mempunyai sokongan rentas platform antara konsol dan PC dan juga sokongan alat kawalan Adaptive Controller.
Sebelum ini, Microsoft juga memperlihatkan berkas konsol khas Xbox One X dengan rekaan Gears 5 di mana anda boleh membacanya lebih lanjut melalui artikel di bawah.
Gears 5 akan dilancarkan secara rasmi pada 10 September 2019 ini di konsol Xbox One dan juga di PC. Menariknya, bagi anda yang mempunyai langganan Xbox Game Pass Ultimate ataupun membuat pra-tempahan bagi edisi Gears 5 Ultimate, anda boleh mula bermain permainan tersebut pada 6 September ini.