Industri kreatif digital tempatan ialah sebuah industri yang boleh dikatakan sedang berkembang dengan pesat sekali. Nama-nama seperti Les Copaque, Animonsta, Metronomik dan Kurechii kini hangat diperkatakan di persada antarabangsa.

Sewaktu sidang media pengumuman Level Up KL yang berlangsung hari ini, Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia mengumumkan bahawa kementeriannya, bersama-sama dengan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) akan menubuhkan sebuah polisi ekosistem kreatif baru yang dinamakan Digital Content Ecosystem, ataupun DICE.

Melalui DICE, pihak kerajaan dan MDeC akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat kreatif tempatan untuk membina syarikat-syarikat tersebut menjadi gergasi animasi dan permainan bukan sahaja di rantau ini, tetapi juga di seluruh dunia.

Polisi yang akan diperkenalkan melalui DICE terdiri daripada empat tiang utama:

  • Memperkasakan modal insan melalui pembelajaran kemahiran, bersama-sama dengan pendedahan dan pemberian akses kepada ekosistem kandungan digital
  • Meningkatkan nilai industri kreatif digital melalui persaingan diantara syarikat-syarikat yang akan meningkatkan kualiti kandungan, yang akan mempercepatkan pembikinan kandungan bertaraf dunia
  • Mengkomersilkan IP untuk meningkatkan kualiti kandungan secara keseluruhan
  • Menaiktarafkan infrastruktur internet dan digital tempatan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab studio animasi dan pembangun permainan terkenal di rantau ini.

Dengan polisi DICE ini, kerajaan bersama-sama dengan MDEC bukan sahaja akan memastikan syarikat-syarikat tempatan mendapat bantuan infrastruktur yang terbaik, tetapi juga mengharapkan studio-studio antarabangsa akan membuka pejabat disini dan mengambil ramai anak-anak muda tempatan sebagai pakar-pakar animasi dan pembinaan permainan video, sekaligus menaikkan taraf dan nilai industri kreatif tempatan ke tingkat yang seterusnya.

Sohor Kini